Tuesday, March 8, 2011

Tenangnya Berlapang Dada..

بسم الله الرحمن الرحيم

Maksud firman Allah SWT :
" Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan" (Al-Maidah :8)
                                                                                                                        
Segala pujian kepada Tuhan sekalian alam, Maha Suci Allah yang telah menciptakan, segala sesuatu terjadi adalah kehendaknya, Penguasa alam Pentadbir semesta. Selawat dan salam buat baginda junjungan, dengan nurnya alam diterangi, dengan hadirnya juga rahmat dilimpahi, Muhammad Rasulullah SAW kekasih tercinta.

Alhamdulillah, moga kita dapat mengambil ibrah atau pengajaran daripada sirah perjuangan Baginda Rasulullah SAW, para sahabat, ulama salaf dan khalaf serta lain-lainya. Kejayaan perjuangan sama ada di medan dakwah atau medan perang, didasari oleh banyak faktor. Faktor utama tentunya adalah keizinan daripada Allah SWT, namun perlu diingat kejayaan dan kekalahan yang berlaku bukan datang tanpa asal-usulnya. Kemenangan datang apabila syarat-syarat untuk mencapai kemenangan itu dicukupi, dan kekalahan datang apabila syarat kemenangan itu tidak dicukupi.

Apabila kita berbicara soal faktor kejayaan ini, lihat bagaimana Sultan Muhammad al-Fateh berjaya menawan Kota Konstantinopel yang dikatakan mustahil untuk ditembusi kerana kedudukannya yang amat strategik. Saya tidak berniat membincangkan semua faktor pentingnya, sekadar mahu mengambil satu daripadanya, iaitu sikap Salamatussodri atau berlapang dada al-Fateh dalam menerima pendapat tenteranya dengan tidak mengira pangkat. Lihat bagaimana idea pembinaan benteng Rumelli Hissari yang amat membantu itu yang sebenarnya datang daripada idea seorang tentera bawahan. Al-Fateh berlapang dada menerimanya, tidak seperti kebanyakan pemimpin yang menutup terus ruang bagi pengikut bawahan bersuara dek kerana perasaan yang ego membuta.

Begitu jugalah amalan khalifah Islam yang terdahulu, dan pastinya itu juga amalan Rasulullah SAW, iaitu berlapang dada! Di sini saya mahu menjelaskan, bahawa Salamatussodri ini ruangnya amat luas untuk diamalkan, contohnya, kita lihat bagaimana pertelingkahan antara umat Islam kini dalam pelbagai aliran, 'Asyairah dan Ibnu Taimiyyah, Salaf dan Khalaf, dan lain-lain. Pertelingkahan dalam hal ini semakin meruncing seolah-olah mahu menghancurkan Islam, Kenapa ini berlaku? Saya belum pernah mendengar ajaran daripada Rasulullah SAW yang menuntut kita berpecah belah, bahkan Baginda mengajar kita untuk berlapang dada apabila timbul khilaf atau perselisihan pendapat.

Kata Syeikh Rashid Ridha :
" Kita bekerjasama dalam perkara yang kita sepakati, dan saling bertoleransi dalam perkara yang berbeza "

Sangat merisaukan apabila kita melihat situasi kini, tidak tahu di mana hilangnya Salamatussodri. Masing-masing mahu mendabik dada, tidak kenal lagi erti tasamuh atau tolak ansur. Mana hilangnya ajaran Rasulullah SAW yang satu ini? Itu jika kita lihat dalam ruang lingkup yang besar, tapi bagaimana pula jika kita kecilkan skop, iaitu sikap kita dengan sahabat-sahabat di sekeliling kita. Mungkin perkara sebegini dipandang ringan sahaja, namun cuba lihat dalam hal-hal yang kita berselisih dengan sahabat kita, adakah seringkali kita bertindak membelakangi Salamatussodri dan sekaligus merajakan emosi?

Saya menyebut perkara ini dalam konteks yang lebih kecil kerana ia lebih dekat dengan kita. Selalunya kita lebih mendahulukan emosi, menjadikan emosi sebagai cara berhadapan dengan perbezaan pendapat, dan ini sebenarnya adalah sikap yang perlu dijauhi. Seringkali apabila berhadapan dengan situasi begini, kita akan merasakan kita betul, namun kita gagal untuk meletakkan diri kita dalam situasi pihak yang satu lagi. Disebabkan inilah Salamatussodri itu tidak kita capai. Merasakan diri kita sahaja yang betul dan tanpa berlapang dada untuk melihat atau menerima pendapat lain, sebenarnya kita telah pun membenarkan jarum-jarum syaitan menusuk, kita membenarkan tuntutan syaitan itu sendiri! Dan sememangnya kerja syaitan laknatullah itu menampakkan apa yang haq(benar) sebagai batil(salah), dan juga sebaliknya.

Kata al Imam Ahmad bin Hanbal :
"Tidak sewajarnya seorang ahli fiqh memaksa manusia kepada pendapatnya dan bersikap keras terhadap mereka."

Ingatlah, mengambil mudah akan sikap Salamatussodri serta tasamuh akan membuahkan penyakit yang amat bahaya, iaitu penyakit hati, yang semakin hari semakin membesar, jiwa juga akan menjadi semakin keras. Riya', ujub dan lain-lain sifat tercela akan menguasai diri. Ini semua akan berlaku dalam keadaan tidak kita sedar.  Kita akan menyangka kehebatan kita dalam berhujah, memberi pendapat dan sebagainya itu adalah sebagai kelebihan yang hanya kita perolehi, sedangkan apa yang dilontarkan oleh pihak lain adalah kurang tepat semuanya. Kita akan menyangka kita benar dalam segala perkara sedangkan inilah yang membuatkan syaitan bertepuk sorak!



Memang susah untuk berlapang dada dalam sesetengah keadaan, namun apabila kita meletakkan pengharapan yang tinggi pada Allah, ianya mampu melenyapkan segala prasangka dan membuatkan kita yakin untuk meneruskan agenda perjuangan. Ingatlah bahawa jangan kita sentiasa merasa kita sudah berada di tempat yang benar, kerana tidak semestinya kita akan benar selama-lamanya. Ketahuilah bahawa kejayaan hari ini boleh menjad musuh kejayaan esok hari.

PERINGKAT UKHWAH
  • Salamatus Sodri (berlapang dada)/Husnu Dzon (berbaik sangka)
  • Al-Musawamah(Persamaan-bersama mengharungi kesenangan dan kesusahan)
  • Al-ithar (mendahulukan kepentingan sahabat daripada diri sendiri)
Sesungguhnya setinggi- tinggi tahap ukhwah adalah ithar manakala serendah-rendah tahap ukhwah ialah Salamatus Sodri.

cuba berlapang dada,

nanie mujahidah..

2 comments:

Shah_MdNoor said...

salam ukhuwah fillah...:-)

visitor said...

jzkk...suke bace.. :)