Showing posts with label kisah diri. Show all posts
Showing posts with label kisah diri. Show all posts

Sunday, July 8, 2012

Lumrah hidup aku seorang budak hostel..

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..

Malam ini, saya gigihkan lagi jari-jemari saya untuk melakarkan sebuah perkongsian mengenai perjalanan hidup saya yang bergelar seorang budak hostel. Ya, setelah dikira-kira, rupanya  telah 10 tahun saya menjalani hari-hari dalam kehidupan selaku budak hostel. Mendapat tawaran ke asrama sejak dari tingkatan satu lagi sedikit sebanyak mengajar saya erti berdikari dan tidak memanjakan diri sendiri. Dan apa yang kalian lihat pada diri saya kini, adalah hasil pentarbiyahan selama 10 tahun itu dalam mencari identiti diri yang akhirnya membawa saya untuk menggalas taklifan sebagai seorang dai'e. Tidak layak untuk mengakui saya adalah seorang dai'e, sekadar mahu memberi peringatan pada diri bahawa saya punya tugasan penting di muka bumi. Dan bukan diciptakan untuk menikmati keseronokan duniawi semata-mata. Ohh, jauh sungguh saya melencong rupanya.. Hakikatnya, lain yang ingin saya sampaikan pada entry kali ini. hoho.. :)

Menamatkan kehidupan asrama selama 5 tahun di sekolah menengah bukanlah menjanjikan pengakhiran buat saya dari berpisah dengan keluarga apabila mendapat tawaran meneruskan pengajian di peringkat matrikulasi selama 1 tahun dan 4 tahun di kampus UKM. Ini bermakna, selama 10 tahun itu saya kerap kali melangkah kaki keluar dari rumah untuk meninggalkan keluarga demi tuntutan mengutip ilmu pengetahuan. 

Nak tak nak, saya perlu mengakui bahawa walaupun saya sudah meningkat dewasa, namun perasaan homesick itu masih ada. Lebih-lebih lagi bila pulang ke rumah sebentar dan perlu kembali semula ke kampus, memang liat hendak meninggalkan perkarangan rumah. Namun, demi mengekalkan kemachoan diri, maka saya tetap berlalu pergi dengan wajah yang tenang. Walaupun di hati dah banjir dengan takungan air mata. Cewah! Nak dijadikan ceritanya, bila dah berada di alam kampus ni, saya jarang pulang ke rumah berbanding zaman sekolah dan matrikulasi dulu. Nak kata sibuk, tak la terlalu sibuk. Tetapi hinggakan tahap mak saya terpaksa telefon suruh pulang ke rumah. Bukannya tidak rindu pada keluarga, namun apabila telah biasa duduk jauh dari mereka, tidak sampai hati nak susahkan kerana sekiranya saya pulang ke rumah nanti, kakak atau abang saya perlu menghantar saya semula ke kampus. Nak naik kenderaan awam, amatlah memerlukan tahap kesabaran yang tinggi melebihi tahap dewa. (al-maklumlah mengambil masa yang lama untuk jarak rumah yang dekat. Klang je kot. Kalau dengan Bangi, sekangkang kera je beb.. Bak kata orang jauh la.. aiseyy..)

Dan seperkara lagi, yang membuatkan saya jarang pulang ke rumah adalah kerana mak saya akan memastikan dia membekalkan wang saku untuk saya setiap kali sebelum saya kembali meninggalkan rumah. Hal ini kerana saya jarang meminta-minta wang pada keluarga walaupun berada dalam kesempitan. Ini semua atas hasil pembentukan sifat berdikari apabila duduk di asrama pada jangka masa yang lama. Oleh kerana itulah, mak saya terlalu bimbangkan saya sekiranya kurang makan. Padahal, berat badan dah menaik pun masih kata anak dia kurus. Berat nanang ni. Jadinya, saya cukup tidak selesa dengan situasi jika saya pulang ke rumah, mak saya akan tidak keruan untuk mencari wang untuk dijadikan wang saku saya walaupun saya tidak memerlukannya. Saya merasakan seolah-olah kepulangan saya lebih merungsingkan keluarga. 

Natijahnya, untuk semua ini, mak saya pernah berpesan kepada saya, setelah tamat belajar nanti, saya tidak boleh terus berkahwin kerana bimbang saya akan kembali meninggalkan keluarga. Mak saya pernah meluahkan bahawa dia sangat sedih sekiranya saya berkahwin nanti. Alamak, parah jugak kalau jadik anak yang baik dan solehah ni.. kui33. 

Makanya, inilah kisah perjalanan hidup saya sebagai seorang budak hostel yang sering terpaksa meninggalkan kampung halaman. Saat ini, terngiang-ngiang lagu "Balik Kampung" nyanyian Allahyarham Sudirman. :) Lagi setahun untuk saya menamatkan pengajian secara keseluruhan. Oh, tidak sabar rasanya untuk membuang title "budak hostel" ni. Nantikan kepulanganku mak.. 


Ok setakat ini sahaja.. Moral of the story, majulah sukan untuk negara.. Opppss... ada kena-mengena ke? kui33..

Selamat malam.. :)

Friday, March 30, 2012

Cukuplah sampai di sini..


Melewati hari-hari dalam hidup ini, saya kerap berusaha untuk memperbaiki diri. Ya, semestinya manusia itu tidak pernah sempurna. Lebih-lebih lagi, apabila kita telah menginfakkan diri untuk berbakti di jalan dakwah ini, banyak mehnah dan tribulasi yang datang bertubi-tubi.. 

Belajar dari kesilapan lalu, saya semakin berhati-hati agar tidak rebah lagi.. Namun, untuk menepis masalah hati, saya masih tidak mempunyai kepakaran tersendiri. Sehebat mana pun kita berpencak, saya cukup pasti semua sahabat pasti akan menghadapi situasi seperti ini.

Cukuplah sampai di sini. Cukuplah saya seringkali mengenepikan perhatian Allah dan cintaNya yang hakiki.  Buat ketika ini, jiwa saya telah kosong dan bersih dari masalah duniawi.. Sungguh saya orang yang rugi sebelum ini. Saya perlu melakukan sesuatu untuk mengaut kembali Mardhatillah itu di setiap langkahan kaki ini.

Oleh itu, saya cukup tegas untuk berpesan pada mereka yang sedang bahagia dan telah selesai urusannya, janganlah terlalu asyik bicara mengenainya dihadapan orang seperti ku ini, kerana ia amat perit ditanggung jiwa nurani. Sedangkan kami punya wawasan dan perjuangan haraki yang lebih utama untuk dikendali. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui yang terbaik buatku.

Dan buat masa ini dan selamanya, cukuplah Allah bagiku.. dan saya akan berhenti berharap pada sesuatu yang tidak pasti sehingga Allah tetapkan ianya yang terbaik buat diri. Cukuplah, aku akan berhenti.. berhenti berharap..

Thursday, March 8, 2012

Lamaran buat sang "muzzammil" yang ditolak..

Malam itu berlalu seperti malam-malam biasa. Namun, sedikit bezanya apabila hati ini cukup bersungguh untuk bertemu pemilik cintaku, Allah Ya Rahman Ya Rahim.. Ya, terlalu cukup bersungguh..

Dan sebelum merebahkan diri di pembaringan dan kain selimut ditarik rapi, kedua tapak tangan ditadah kemas dan hasratku diluahkan.. Ya Allah, moga malam ini aku dapat tidur seketika dan bangun untuk menghadapmu di sepertiga malam terakhir. Dan mataku mula terlelap mula meninggalkan alam nyata..

Maka bermulalah mimpiku.. mimpi yang tidak pernah dialami sebelum ini. Takjub.. Kaku.. Ya, mimpiku penuh diselubungi dengan alunan bacaan surah Muzzammil.. 


 yang bermaksud:

Wahai orang yang berselimut! Bangunlah di malam hari, kecuali sedikit.  Satu perduanya atau kurangilah daripadanya sedikit.  Atau lebih daripadanya. Dan bacalah al-Qur’an itu dengan perlahan-lahan.  Sesungguhnya Kami (Allah) akan menurunkan kepada engkau perkataan yang berat.  Sesungguhnya bangun di waktu malam adalah lebih mantap dan bacaan lebih berkesan.  Sesungguhnya bagi engkau pada siang hari, urusan yang panjang.  Sebutlah nama Rab (Tuhan) engkau, dan beribadahlah kepada-Nya (kepada Allah) dengan sebenar-benar ibadah.

Namun, dengan fikiran yang tidak mampu berjalan, jiwa yang kekosongan, akhirnya terasa diri tenggelam dalam keheningan malam. Tiba-tiba aku tersedar dari tidur.. rasa sungguh sekejap lelapku itu. Allahuakbar.. pukul 6.30 pagi.. lalu bergegas mengambil wudhu' untuk menunaikan solat subuh.. usai solat, aku termenung jauh mengingati perjalanan tidurku.. Dengan rasa yang cukup hiba kerana hasrat hati yang terlalu ingin berqiamullail malam itu telah lesap dengan terjaganya dari tidur yang boleh dikira sedikit lewat.

Dan aku cuba muhasabahkan diriku dan termenung jauh.. Ya, malam tadi aku telah bermimpi surah Muzzammil. Surah buat orang-orang yang berselimut agar bangkit menghadap Allah Azza Wajalla. Allah.. Allah.. Hinanya aku.. Tidakkah aku sedar bahawa itu adalah lamaran Allah buatku.. Ya, buat ku, orang yang berselimut. Namun aku tewas dengan keenakan tidur. Sungguh cukup malu di hadapan Allah. Aku telah meluahkan rasa cintaku, namun bila ALlah melamarku, aku hanya diam seribu.. Moga Engkau ampunkan dosaku Ya Allah dan memberi kesempatan waktu untukku bermunajat padaMU di sepertiga malam terakhir..

Dan pada malam itu, lamaran buat "Muzzammil" telah ditolak.. Maafkan ku Ya Allah..


Sunday, January 8, 2012

Izinkanku melepaskan "nanie mujahidah" pergi..



Sungguh berat hati ini. Namun aku perlu juga mengizinkannya. Saya cukup mengenali diri seorang muslimah yang menggelar dirinya nanie mujahidah ini. 3 tahun muslimah ini membina kekuatan diri. Ditarbiyah untuk menjadi muslimat terkehadapan. Tampil ceria dan bersemangat dihadapan khalayak. Hinggakan bila dalam kesedihan, dirinya diminta untuk menyembunyikannya. Namun, derita dia sampai juga kemuncaknya. Saya tahu dia cukup sengsara. Mempunyai impian menjadi muslimah yang ayu dan solehah namun terpaksa dikorbankan kerana dia kini menjadi tumpuan orang. Public figure untuk Islam. Dan baru-baru ini sesuatu berlaku padanya. Dia menangis pada saya dan meminta untuk membawa diri jauh ke satu tempat. Saya terpaku seketika dengan permintaan. Namun saya faham rapuhnya hati seorang muslimah kerana saya juga mempunyai hati seorang muslimah. Demi kebaikan dirinya, saya melepaskan dia. Dan cuba membina kehidupan baru tanpanya. Dia sempat berpesan pada saya, semoga saya menjadi lebih hebat darinya. Bukan untuk dipuji oleh manusia tetapi kerana Allah, dan untuk Islam yang saya bawa. Dia tidak mahu saya menjadi lemah sepertinya. Saya menangisi pemergiannya. Namun saya pasti ada hikmahnya.

Sinaran mata cerita segalanya
Duka lara terpendam
Memori semalam

Tinggal segala cinta
Tiada kembalinya abadi kasih kita
Kau bawa bersama
Mimpi indah mekar
Saat cinta bersemi
Sedetik asmara syurga selamanya

Pergilah rinduku hilangkan dirimu
Tak sanggup menanggung derita dikalbuku
Pergilah sayangku
Bermula semula semangat cintaku
Membara kerana dia
Tiada niatku

Tersemat jiwa setia bersamanya
Cinta murni berdua
Beribu tahunnya
Mimpi indah mekar
Saat cinta bersemi
Sedetik asmara syurga selamanya

Pergilah rinduku hilangkan dirimu
Tak sanggup menanggung derita di kalbuku
Pergilah sayangku
Bermula semula semangat cintaku
Membara kerana dia tiada niatku…

Pergilah sayangku
Bermula semula semangat cintaku membara
kerana dia tiada niatku…
maafkan daku duhai kasih izinkan ku pergi…

Selamat tinggal "nanie mujahidah". Jagalah dirimu. terus kuat dan istiqomah di Jalan Allah walau di mana sahaja kamu berada. Saya akan terus mendoakanmu. Dan saya akan mengambil pesanmu. Usah risau. Ingat x janji kita bersama. Sekali kita dikhitbah, selamanya kita akan setia. Setia dengan perjuangan. Pergilah dikau mencari ketenangan. Namun, satu pintaku, setelah engkau pulihkan semangatmu, kembalilah bersamaku. Selamanya bercinta hingga ke syurga.. =(
p/s : nanie mujahidah adalah sebahagian dari diriku. walau sebahagian diriku telah lemah, sebahagian lagi akan tetap tabah. kerana aku telah wakafkan diriku untuk Islam. Aku pegang amanah. Aku juga pegang kepercayaan ibu ayahku untuk menjadi anak solehah. Allah.. berkatilah perjalanan hidupku. Berilah kekuatan padaku. sementara aku menanti kepulangan semangat "nanie mujahidah" itu..


[Tribute buat nanie mujahidah..]

istimewa dari noraini jumahir.. T_T

Wednesday, August 10, 2011

Di ancam oleh si Lipas...

Diari Ramadhan 1

Mungkin kerana terlalu takut yang amat kepada makhluk Allah, si kecil lipas ini, ana telah dikurniakan satu deria bau dan penglihatan yang cukup tajam untuk mengenal pasti sama ada ana berada berhampiran lipas atau tidak di mana-mana sahaja ana berada. Sepanjang ana melalui hari-hari dalam hidup ana, setakat ini, ya memang betul. Deria ana ini belum pernah menipu. Setiap kali ana terbau lipas, walaupun di jarak yang amat jauh, lipas itu pasti wujud berdekatan tempat ana dan ana dapat mengesan kehadirannya.


Ana bangkitkan cerita ini sebagai diari Ramadhan ana kerana alkisahnya, satu petang setelah berbuka puasa di masjid UKM dan usai solat berjemaah maghrib, ana hendak ke tandas. Dengan hati yang tidak berasa sedap, ana meneruskan langkahan. Deria istimewa ana mula berfungsi. ana tahu pasti si kecil itu berada berhampiran ana. Dan pada saat yang sama, mata ana mula bertumpu pada satu jasad kecil berwarna hitam. Itu dia. Dah agak dah. memang lipas 2. Adakah serangga kecil ini sengaja ada di sisi ana sebab tahu ana memang takut spesies dia. Malam itu juga ana menggigil. Mungkin kerana terkejut ternampak lipas itu di pintu tandas. lalu ana pergi meluahkan perasaan takut itu pada kak Sakinah yang sudah sedia maklum bahawa ana takut pada lipas dan dia hanya mampu tergelak2 melihat gelagat ana.

Ana bukanlah jenis muslimat yang akan menjerit apabila terkejut malah ana sendiri tidak suka dengar mana-mana orang perempuan menjerit dengan kuat. Ana cukup bersyukur kerana Allah jadikan ana bukan jenis itu. Makanya, kalau ana terkejut apabila melihat lipas, ana akan menggigil dan menangis. Tapi disebabkan perangai kami inilah, mak makin sayang dengan kami. Sebenarnya, Ana, kakak dan juga adik perempuan ana semua takut lipas. Jadi kalau nampak lipas, memang kakak ana terlebih dulu akan menjerit panggil nama mak. Dengan menunjukkan bakat sebagai heroin, mak akan gelak kan kami dan pergi ke arah lipas tu. Kemudian, TAPPP!!! tamatlah riwayat lipas dibunuh mak.. mak adalah HERO kami. Kakak ana yang sulung dan adik lelaki pulak dok tergelak2 kan kami bertiga sebab mereka tak takut lipas. Adik lelaki ana dengan selambanya sambil buat muka berkata, "lipas kecik pun takut" dan berlalu tanpa menyelamatkan kami. Tak gentleman sungguh.. =)


adik yang x gentleman.. hoho

Mana la x takutnya, dah lipas tue dok terbang pergi kat kami yang takut lipas ni buat ape.. adoyai.. Berilah ana gajah ke, harimau ke, dinosaur ke, namun lipas juga yang ana paling takuti. Ya Allah, bukan niatku untuk takut pada makhluk Mu ini. Ampunkan daku Ya Allah. Bila kenang balik peristiwa bersama lipas ini, pasti ana akan tergelak. Suka duka hidup ana bersama sang lipas. Moga pasangan hidup ana nanti bukan jenis takut lipas juga. Kalau x, alamatnya dua-dua naik atas meja. itu pun kalau lipas tu tak boleh terbang. Kalau lipas boleh terbang, memanglah kena lari keluar rumah.. ^_^

p/s: sebenarnya melihat gambar lipas pun ana x boleh. Sebab tu la cuma dapat letak gambar kartun lipas je.. hehe.. Lipas mati pun x boleh, malah jika terpegang sayap lipas atau kakinya yang sudah tertanggal pun, ana akan menggigil. Aduh.. macam mana ni..  Allahuakbar. Ampun Ya Allah.. bukan niatku..T_T

Sekadar perkongsian bersama. Namun, apa yang utama yang perlu ana terapkan, sejauh mana ibadah kita di bulan Ramadhan pada kali ini. Semoga ianya lebih bermakna dari sebelumnya. Hinanya rasa diri kerana ana masih belum membuat yang terbaik. Sedih dengan diri namun harus terus mencuba..

Selamat Berpuasa semua!

Tuesday, July 19, 2011

Kasih Selamanya Buat Abah..


Tirai Ramadhan bakal menjelma. Jika dikira termasuk Ramadhan yang akan tiba nanti, bermakna sudah 5 tahun ana hidup tidak berayah. Pantas masa berlalu. Namun kasih buat abah masih panas di rasakan. Tiada gambar.. Tiada peninggalan. Yang ada hanya kenangan. "Ya Allah, janganlah Engkau lupuskan wajah ayahku dari kotak ingatanku..", getus hatiku.

Kami sekeluarga tidak pernah ambil gambar bersama. Setiap kali hari raya, memang pun kami nak ambil gambar bersama tapi kami tidak ada kamera. Bila kakak dah beli kamera, tanpa sempat mengambil gambar satu keluarga, abah pergi dulu menghadap Ilahi.

Ingat lagi waktu dulu, ana tinggal di asrama. Setiap kali menelefon rumah, pasti dengar suara abah tengah sebak menahan tangisan. Kalau balik rumah, abah pasti menitiskan air mata menyambut kepulangan ana. Apatah lagi bila nak pulang semula ke asrama, abah akan menangis lagi melepaskan ana pergi. Ana tahu, abah menangis kerana mahukan anaknya berjaya. Tapi tangisan abah itu seolah-olah seperti dia tahu bahawa dia tidak akan sempat melihat anak-anaknya membesar dengan berjaya. Kerana masa buatnya hampir tiba.

Ya, memang cemburu melihat semua teman ber ayah, namun ana gagah menjalani hidup sebagai anak yang berdikari. Walaupun abah seorang yang garang, namun kerana pengorbanan dan didikannya, ana menjadi seperti diri ana sekarang. Kerana ana tahu, seorang anak perempuan akan menarik 4 golongan lelaki dalam hidupnya andai berbuat dosa iaitu ayahnya, suaminya, abangnya dan anak lelakinya. Ana tidak ingin menempah tiket buat abah ke neraka. Oleh sebab itulah, ana memilih jalan kebenaran, menjadi seorang muslimah bertudung labuh, berpendirian teguh walaupun diri ana masih banyak kekurangan. 


Jika ana tidak ada kesedaran dan tanpa bekal didikan abah dulu, pasti ana sudah memilih jalan yang salah kerana ia pernah terdetik di hati ana dahulu sewaktu darah anak remaja mula mengalir. Ana bertuah, punya keluarga yang lengkap, dari abang, kakak, hinggalah adik perempuan dan adik lelaki. Cukup pakej yang tak semua orang dapat miliki. Itu kelebihan yang Allah beri pada keluarga kami walaupun abah telah dijemput pergi. 

Nukilan ini diluahkan kerana beberapa hari yang lepas adalah hari lahir abah. Yang x pernah kami sambut dan hargai. Hanya doa yang mampu diberi. Moga abah bahagia di alam sana. Ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Ameen..


Wahai teman-teman yang punya ayah, hargailah dia. Jangan bila sudah tiada, baru kalian akan menyesali. Hingga ke saat ini, ana masih dahagakan kasih ayah. Pernah satu ketika, ana mendesak kakak ana untuk kahwin cepat. Bukan apa, sebab di fikiran ini, ayah mertua kakak pasti akan menjadi ayah ana juga nanti. Tapi semuanya tidak menjadi kenyataan. Kakak telah pun berkahwin. Tapi ayah mertua itu hanya rapat dengan menantunya. Mungkin itu memang kebiasaan. Hanya ana yang tidak mengetahui lumrah kehidupan. Kerana itulah ana pernah menanamkan hasrat untuk walimah awal. Bukan kerana sudah bersedia atau tidak sabar-sabar, tetapi hanya mahukan belaian seorang ayah. Tapi hasrat ini diketepikan dulu. Kerana ana punya hasrat perjuangan. Andai syahid yang terlebih dahulu menjemput, biar ana bertemu abah di syurga nanti. 


Dalam diam, sebenarnya ana pernah menganggap ayah kepada sahabat-sahabat ana sebagai ayah kandung ana sendiri. Namun, bezanya ana tidak mendapat kasih seperti yang dicurahkan kepada mereka. Ana hanya mampu mengharap dalam diam, melihat di kejauhan, merasai di benak jiwa yang mendalam.  

Buat al-marhum abah, kasih selamanya buatmu. Maafkan anakmu andai tidak menjadi permata yang terbaik. InsyaAllah azamku menjadi anak solehah seperti idamanmu. Moga abah bahagia melihat anakmu berada di jalan perjuangan ini ke arah mendapatkan redha Allah. Al-fatehah.. 

rindu kasih abah~