Sunday, April 15, 2012

KONFLIK UKHWAH: Renggang Susah, Rapat Pun Susah..

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..


Dalam sesebuah organisasi atau jemaah, jika tidak mempunyai kesefahaman dan keserasian yang benar-benar utuh, maka pasti akan porak peranda gerak langkah organisasi itu. Hal ini kerana masing-masing cuba tampil dengan pemikiran tersendiri tanpa memikirkan ahli yang lain. Maka, permasalahan seperti ini haruslah diatasi dan cuba diperbaiki agar tidak membawa kesan buruk terhadap organisasi tersebut dan orang di bawah kepimpinannya.
 Namun. berlainan pula dengan kami. Saya tidak berapa pasti adakah saya seorang sahaja yang merasakannya atau sahabat-sahabat saya yang lain turut merasai perkara yang sama. Kerana saya mengakui diri saya ini terlalu sentimental, benar-benar menghayati dan mengambil kisah setiap apa yang Allah beri walau sesaat sekalipun. Kisah ini adalah kisah kami, kisah persahabatan di UKM. Dulu, memang kami tidak berapa rapat, sering membawa haluan masing-masing walaupun kami bergerak kerja dalam satu organisasi dan menggalas matlamat yang sama iaitu dakwah Islamiyyah. Namun, kerana kesusahan dan kesenangan yang dikongsi bersama sepanjang memegang taklifan besar ini, akhirnya Allah menyatukan hati-hati kami. Barakah doa rabithah hati yang dibacakan dalam Al-Ma’thurat, yang sekira membacanya, saya akan terbayang wajah sahabat-sahabat saya ini, maka pada saat ini kami bersatu menjadi sebuah keluarga. Gabungan abnaul haraki, berpencak di dunia yang sementara untuk bekalan akhirat yang kekal abadi.



Kemanisan ukhwah ini amat saya syukuri. Apabila kami sibuk melaksanakan kerja-kerja dunia, pasti ada yang mengingatkan tentang ukhrawi, memberi pengisian rohani dan tazkiyyatun nafs, agar perjuangan kami tidak pernah lari dari landasan yang lurus. Apabila ada yang rebah, pasti ada yang akan memberi motivasi dan pendorong hati serta menyakinkan hikmah mengapa Allah menguji. Apabila gembira, pasti ada yang berkongsi agar kami bersama-sama tersenyum dan turut merasai kebahagiaannya.
Mengapa saya mengatakan bahawa apabila rapat pun menjadi susah? Mestilah kerana saat ini, dan tidak lama lagi, sahabat-sahabat saya ini akan menamatkan pengajian mereka di bumi UKM. Mereka akan menyambung perjuangan mereka di medan masyarakat, medan praktikal yang sebenar. Manakala saya masih perlu menghabiskan baki setahun pengajian di sini. Pasti saya akan merindui mereka kerana dahulunya susah senang kami bersama. Dalam beberapa detik bersama yang masih tinggal ini, jika kami tidak bertemu kerana masing-masing sibuk dengan urusan tersendiri, pasti rasa tidak lengkap perjalanan hari itu. Rasa rindu itu pasti ada kerana manisnya ukhwah yang Allah hadirkan apabila segalanya bermula di atas jalan dakwah dan perjuangan.


Saya sering berdoa dan berharap agar kemanisan yang dirasai ini tidak sesekali menjadi penghalang kepada misi dan tujuan kami yang lebih utama iaitu perjuangan Islam dan Mardhatillah. Lebih-lebih lagi selepas ini saya perlu berdiri sendiri tanpa mereka. Alhamdulillah.. Tabarakallah.. Terima kasih Ya Allah atas pinjamanmu ini. Saya cukup bersyukur punya mereka sebagai keluarga saya walaupun mungkin hanya saya seorang sahaja yang merasai seperti ini.


“Ya Allah, Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihiMu, bertemu untuk mematuhi perintahMu, bersatu memikul beban dakwahMu, hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariatMu, maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya. Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini akan jalanNya yang sebenar. Penuhkanlah hati ini dengan cahaya RabbaniMu yang tidak kunjung malap. Lapangkanlah hati-hati ini dengan limpahan iman (keyakinan) dan keindahan tawakkal kepadaMu. Jika Engkau mentakdirkan mati, maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai para syuhada dalamperjuangan agamaMu. Engakulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong.”

Ya Allah, perkenankanlah permintaan ini.


p/s: perkongsian kisah ini adalah agar sesiapa jua yang membacanya menghargai sahabat-sahabat di sisi kalian walaupun pada mulanya seperti ada sahaja yang tidak kena antara kalian semua. Kerana untuk melahirkan rasa ukhwah itu pasti memerlukan sedikit masa seperti kita menantikan hasil buah dari pokok yang ditanam. Lebih-lebih lagi ukhwah yang terbina atas dasar kerana Allah. ^_^

“DI JALAN DAKWAH KAMI BERUKHWAH”

1 comment:

Akh Joko said...

subhaanallooh... keep istiqomah fid dakwah...:)