Showing posts with label perjalanan dakwah. Show all posts
Showing posts with label perjalanan dakwah. Show all posts

Friday, July 13, 2012

Bertemu kembali di Segubang,Sarawak (Part 2)

to be continued..
Salam perjuangan..


Menyambung kembali coretan pengalaman di Kampung Segubang, Sarawak (Bahagian 1), kini saya terus melincahkan gerak tari jari saya untuk menaip. Untuk pengetahuan sahabat2, kebetulan ziarah kami ke kampung Segubang pada kali ini semasa penduduk kampung mengalami kekurangan air. Musim kemarau katanya. Tapi adalah jugak hujan turun dua tiga kali. Namun tidak menjadi masalah buat kami kerana masing-masing kelihatan lebih seronok untuk mandi di sungai nampaknya. :)


Di sungai inilah kami bermandi-manda, basuh baju, basuh pinggan mangkuk dan semestinya berenang.. (sayalah tukang basuh pinggan dan angkut air dari sungai ke rumah ust kancil. memang kurus terus.. cewah!)

Seperti juga OPKIM ISIUKM yang lepas, kedatangan kami ke sini kali ini juga membawa misi dan matlamat yang sama iaitu semestinya agenda dakwah. Meskipun tidak banyak yang dapat dilaksanakan, namun bagi saya, cukuplah sekadar kita ada usaha untuk memberi kefahaman kepada ummah mengenai agama Islam walaupun tidak secara langsung. Pelbagai aktiviti yang berjaya dijalankan yang tidak dapat saya ceritakan lebih lanjut. Cukuplah sekadar gambar yang berbicara.. (adakah ini alasan malas nak menaip.. hehe.. layan je la..)

Di sini memori kembali tercipta..


ekspedisi jelajah hutan (menikmati ciptaan Allah)


ziarah penduduk setempat untuk memberikan sumbangan..


Kelas fardhu ain (slot mengajar solat yang sempurna)




Kelas fardhu ain (slot wudhuk yang sempurna)


sesi sukaneka bersama kanak2 kampung


slot motivasi bersama pelajar SK Segubang.. buat ala2 macam tahun lepas di OPKIM ISIUKM.


Ikutkan perancangan, saya diminta untuk memberi motivasi kepada adik2 seperti tahun lepas. Setelah puas menolak, akhirnya Faisal yang kena ambil alih slot motivasi. Tapi last2 nak pegang jugak mikrofon tu.

p/s: nanie mujahidah ni memang kaki mikrofon.. adeh.. =_=" hehe..


    
rewang bersama penduduk kampung (untuk jamuan malam..)



Jamuan malam terakhir (menu: ayam pangsun, lemang, gulai ayam, nasi putih, serunding ayam) 

p/s: semua bertemakan ayam.. sahabat2 ingat lagi x yg ust kancil x boleh makan ayam?alamatnya, malam 2 kami kne sediakan menu spesel untuk ust.. :)


penyampaian hadiah pada malam penutup..


bergambar selepas tamat majlis penutupan.


Bergambar buat kali terakhir sebelum berpisah. Saat yang paling menyedihkan bila mak cik2 pakat menangis.. Jumpa lagi.. :(

p/s: mereka menangis mungkin sebab saya nak tinggalkan mereka lg kot.. hehe... (perasan pulak ye..)

Sungguh sepanjang berada di sana, saya jelas nampak betapa rindunya Ust kancil pada kita semua. Ust kerap mengambil gambar kami menggunakan telefon bimbit.. katanya untuk kenangan kalau rindu. (ust kancil guna fon mahal ada kamera.. hehe.. rezeki Allah.. alhamdulillah..)

Lebih mengharukan saya, hadiah plag dari ISIUKM tahun lepas masih terpampang di surau Nurul Sa'adah..


fuh.. kenangan ni. Bangga je tengok.. :)

Sebelum pulang, ustaz kancil sempat menghadiahkan kepada saya sebuah buku yang telah dibacanya, iaitu buku berjudul "Dialog Masalah Ketuhanan Yesus". Katanya, saya perlu membaca buku tersebut untuk memudahkan berdakwah kepada non-muslim nanti. Ustaz turut menuliskan sebuah doa menambah kewibawaan. Ust pesan untuk membaca doa tersebut agar orang mudah terima kita sewaktu berdakwah dan agar nampak lebih yakin. Tidak lupa juga, saya sempat meminta doa dipermudahkan jodoh dari ust.. ehem2.. :) al-maklumlah, doa jodoh yang ustaz beritahu masa OPKIM ISIUKM yang lepas saya dah lupa.. hoho.. ^_^

Jauh di sudut hati saya, antara sebab untuk kembali ke Segubang, Sarawak ini juga adalah untuk bertemu dengan dua orang kanak2 kecil yang bakal menjadi pemuda Islam yang hebat di kampung. Semestinya Taufiqurrahman iaitu anak ust Kancil dan juga Fathulrahman, sahabat baiknya. Hajat untuk mengambil gambar kenangan dengan Taufiq tercapai namun, untuk bergambar bersama Fathulrahman menjadi hampa kerana dikhabarkan bahawa beliau telah berpindah ke tempat lain yang jauh di Sri Aman.. Hilang sebuah permata di kampung itu. Moga lahir lebih ramai penggantinya kelak..


Bersama Taufiqurrahman.. masih petah seperti dulu. Sekarang dah pandai jadi muazzin di surau.. Alhamdulillah.. ;)


Fathulrahman.. tidak berkesempatan untuk bertemu.. sedikit hampa. Moga menjadi pemuda Islam yang soleh suatu hari nanti.. (UPSR tahun lepas beliau dapat 3A 2B.. pandaikan?? :) skrg belajar di Sekolah menengah Agama Sri Aman katanya.

Dan banyak lagi kenangan sepanjang di sana. Cukuplah sampai di sini saya kongsikan khusus buat teman2 OPKIM ISIUKM yang lepas memandangkan mereka tidak dapat turut serta untuk ke Segubang bersama saya baru-baru ini. Alhamdulillah, syukur ya Allah kerana memberiku kesempatan untuk ke sana.. Malah, saya cukup gembira dapat berkenalan dengan rakan2 baru saya. Banyak hikmah yang saya perolehi dari mereka. :)



Syukran juga buat semua penaja2 program ini termasuklah Urusetia Saudara Kita (USK) dan juga Pusat Islam Sarawak..

InsyaAllah Selagi Kudrat, Islam dinobat.. 
-TAMAT-

kenangan abadi di hati,

OPKIM '12
Kg Segubang, Bau, Sarawak..

nanie mujahidah..

Bertemu kembali di Segubang,Sarawak (Part 1)

بسم الله الرحمن الرحيم

Salam perjuangan..


Alhamdulillah, seinfiniti kesyukuran dipanjatkan pada Ilahi atas limpah kurnianya, tercapailah hasrat hati saya untuk menjejakkan kaki buat kali kedua di bumi Segubang, Sarawak selepas ziarah yang pertama iaitu bersama sahabat2 Ikatan Studi Islam UKM (ISIUKM) suatu masa dahulu. Pada mulanya, impian itu sememangnya saya terpaksa tolak ketepi kerana mana mungkin saya mampu untuk menaiki kapal terbang sekali lagi untuk ke Sarawak sedangkan untuk ke negeri2 di sekitar Semenanjung pun saya akan fikir berkali-kali untuk ke sana. Ini kan pula untuk merentasi Laut China Selatan, ohh sememangnya hanya dalam igauan sahaja boleh menjadi nyata, getus hati kecil saya suatu ketika dulu. Namun, perancangan Allah adalah sebaik-baik perancangan.



Firman Allah S.W.T,

 "Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya". (Ath-Thalaq : 3)


Ya, dan hasrat itu benar2 terjadi. Saya telah didatangi oleh seorang sahabat saya, Arief Othman dan menawarkan  tiket penerbangan untuk ke sana sempena sebuah program yang lebih kurang sama dengan yang kami jalankan pada tahun lepas. Cuma ahli rombongan sahaja yang berbeza. :) Lamarannya saya terima dengan mudah. Seruan dakwah ini memanggil2 saya untuk kembali ke sana setelah dimaklumkan bahawa Ustaz Kancil, insan kecil berjiwa besar yang kami kenali dulu di kampung itu menyatakan rasa rindunya pada kami dan bertanyakan bila kami akan ke sana semula.  



Ustaz Kancil, murabbi kami di sana.


Makanya, jiwa rapuh saya ini meruntun hiba mengenangkan bila agaknya masa itu akan kembali lagi untuk menyempatkan kami ke sana bertemunya. Atas inisiatif dan kesungguhan sahabat saya tadi, beliau mengusahakan satu program dakwah bersama rakan-rakan satu pengajian dengannya iaitu pelajar dari Sains Politik. Dan sengaja beliau memilih kampung Segubang sebagai destinasi program tersebut memandangkan beliau juga pernah mengikuti ziarah yang pertama dahulu dan ingin memenuhi permintaan Ustaz Kancil yang ternanti-nanti kedatangan kami yang tidak kunjung tiba hampir setahun lebih. Hilang menyepi tanpa berita. Namun, di sinilah kami akhirnya. Berpijak di bumi Segubang buat kali kedua dan bermulalah episod perjalanan dakwah kami merentas benua. 




saya bersama rakan2 baru saya dari Sains Politik tahun 2 (mereka sempoi dan membahagiakan.. ^^)


Sungguh, terlalu banyak yang ingin dicoretkan hingga tidak tahu hendak bermula dari mana. Hakikatnya, saya mengambil masa yang cukup lama untuk mencari kekuatan menulis perkongsian ini khususnya buat teman2 ISIUKM saya yang pernah ke sini dahulu. Bukan kerana kekeringan idea, tetapi cuba mencari waktu yang sesuai untuk mengarang panjang lebar. hoho..


Memori lama kembali


Ya, semestinya saya tidak pernah lupa kenangan kita bersama dulu. Kampung Segubang tidak banyak yang berubah. Cuma ada la beberapa pembaharuan. :) Makanya, setiap langkah saya jejaki sepanjang di sana, saya akan teringat memori kita dulu. Terbayang karenah kita semua sewaktu di surau, di rumah ust kancil dan di sekitar kawasan kampung. Apa yang paling penting dan membahagiakan saya adalah penduduk kampung masih sangat ingat pada saya dan pada kalian semua. Sungguh mengharukan. Ketika saya berjalan2 di sekitar kampung dan terserempak dengan mak cik2 di sana, saya terperasan yang mereka sedang memerhatikan saya sambil berbisik2 pada rakannya. Maka, saya berjalan ke arah mak cik2 tersebut dan menyapa mereka. Tanpa sempat saya perkenalkan diri, mak cik itu berkata, "wah, kamu datang sinik lagi ka.. mak cik ingat lagik sama kamu." Masya Allah, tersentuh hati saya. Setahun lebih berlalu tapi kita masih diingati. Lalu, saya menjawab: Ya makcik, saya pernah datang sini tahun lepas.. mak cik kenal saya lagi? seronoknya!! kata saya riang sambil menyambung, saya dan kawan lelaki saya seorang saja yang tahun lepas pernah datang dan sampai ke sini lagi tahun ini (sambil saya menunjuk ke arah Arief Othman). Yang lain semua ada hal." Begitulah ceritanya kalau dipendekkan..kui33.. Kemudian, kami sambung berbual2. Isi perbualan adalah rahsia dan sulit.. :) hehe..



Antara makcik2 yang masih mengenali saya dan sentiasa berada di sekitar surau untuk meraikan kedatangan kami..


Yang lebih melucukan adalah, kalian ingat lagi x pada mak cik bernama bebek 2? Beliau lagi la sangat ingat pada saya hingga terus memeluk saya sewaktu berjumpa dan bermulalah episod ngeri apabila saya sering diekori sepanjang masa oleh beliau.. :)



Mak cik bebek yang tidak pernah berenggang dengan saya.. Adakalanya penat juga melayan karenah beliau. Maka, saya akan serahkan pada cik Fatimah Sabran bila kepenatan.. :)


Jika dulu, ust Aiman Zafri adalah lelaki yang diminati beliau, kini saudara Buntham (peserta non muslim dari Kelantan yg turut serta) pula yang dipikatnya.. hehe.. Bebek mmg stylo.. :)


Sepanjang di sana, program-program yang dijalankan lebih kurang sama dengan yang dahulu. Antaranya seperti sukaneka dengan kanak2 kampung, tayangan video upin-ipin, kenduri dan gotong-royong bersama makcik2 dan pak cik2, masak ayam pangsun (kali ni ada tambahan makan lemang ye..hehe), slot motivasi dan kelas fardhu ain.

Alamak! Panjang sangatlah pulak entry ni. Nantikan sambungan di Part 2 ye.. :)

"Selagi Kudrat, Islam dinobat"

~nanie mujahidah~

Sunday, April 15, 2012

KONFLIK UKHWAH: Renggang Susah, Rapat Pun Susah..

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..


Dalam sesebuah organisasi atau jemaah, jika tidak mempunyai kesefahaman dan keserasian yang benar-benar utuh, maka pasti akan porak peranda gerak langkah organisasi itu. Hal ini kerana masing-masing cuba tampil dengan pemikiran tersendiri tanpa memikirkan ahli yang lain. Maka, permasalahan seperti ini haruslah diatasi dan cuba diperbaiki agar tidak membawa kesan buruk terhadap organisasi tersebut dan orang di bawah kepimpinannya.
 Namun. berlainan pula dengan kami. Saya tidak berapa pasti adakah saya seorang sahaja yang merasakannya atau sahabat-sahabat saya yang lain turut merasai perkara yang sama. Kerana saya mengakui diri saya ini terlalu sentimental, benar-benar menghayati dan mengambil kisah setiap apa yang Allah beri walau sesaat sekalipun. Kisah ini adalah kisah kami, kisah persahabatan di UKM. Dulu, memang kami tidak berapa rapat, sering membawa haluan masing-masing walaupun kami bergerak kerja dalam satu organisasi dan menggalas matlamat yang sama iaitu dakwah Islamiyyah. Namun, kerana kesusahan dan kesenangan yang dikongsi bersama sepanjang memegang taklifan besar ini, akhirnya Allah menyatukan hati-hati kami. Barakah doa rabithah hati yang dibacakan dalam Al-Ma’thurat, yang sekira membacanya, saya akan terbayang wajah sahabat-sahabat saya ini, maka pada saat ini kami bersatu menjadi sebuah keluarga. Gabungan abnaul haraki, berpencak di dunia yang sementara untuk bekalan akhirat yang kekal abadi.



Kemanisan ukhwah ini amat saya syukuri. Apabila kami sibuk melaksanakan kerja-kerja dunia, pasti ada yang mengingatkan tentang ukhrawi, memberi pengisian rohani dan tazkiyyatun nafs, agar perjuangan kami tidak pernah lari dari landasan yang lurus. Apabila ada yang rebah, pasti ada yang akan memberi motivasi dan pendorong hati serta menyakinkan hikmah mengapa Allah menguji. Apabila gembira, pasti ada yang berkongsi agar kami bersama-sama tersenyum dan turut merasai kebahagiaannya.
Mengapa saya mengatakan bahawa apabila rapat pun menjadi susah? Mestilah kerana saat ini, dan tidak lama lagi, sahabat-sahabat saya ini akan menamatkan pengajian mereka di bumi UKM. Mereka akan menyambung perjuangan mereka di medan masyarakat, medan praktikal yang sebenar. Manakala saya masih perlu menghabiskan baki setahun pengajian di sini. Pasti saya akan merindui mereka kerana dahulunya susah senang kami bersama. Dalam beberapa detik bersama yang masih tinggal ini, jika kami tidak bertemu kerana masing-masing sibuk dengan urusan tersendiri, pasti rasa tidak lengkap perjalanan hari itu. Rasa rindu itu pasti ada kerana manisnya ukhwah yang Allah hadirkan apabila segalanya bermula di atas jalan dakwah dan perjuangan.


Saya sering berdoa dan berharap agar kemanisan yang dirasai ini tidak sesekali menjadi penghalang kepada misi dan tujuan kami yang lebih utama iaitu perjuangan Islam dan Mardhatillah. Lebih-lebih lagi selepas ini saya perlu berdiri sendiri tanpa mereka. Alhamdulillah.. Tabarakallah.. Terima kasih Ya Allah atas pinjamanmu ini. Saya cukup bersyukur punya mereka sebagai keluarga saya walaupun mungkin hanya saya seorang sahaja yang merasai seperti ini.


“Ya Allah, Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihiMu, bertemu untuk mematuhi perintahMu, bersatu memikul beban dakwahMu, hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariatMu, maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya. Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini akan jalanNya yang sebenar. Penuhkanlah hati ini dengan cahaya RabbaniMu yang tidak kunjung malap. Lapangkanlah hati-hati ini dengan limpahan iman (keyakinan) dan keindahan tawakkal kepadaMu. Jika Engkau mentakdirkan mati, maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai para syuhada dalamperjuangan agamaMu. Engakulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong.”

Ya Allah, perkenankanlah permintaan ini.


p/s: perkongsian kisah ini adalah agar sesiapa jua yang membacanya menghargai sahabat-sahabat di sisi kalian walaupun pada mulanya seperti ada sahaja yang tidak kena antara kalian semua. Kerana untuk melahirkan rasa ukhwah itu pasti memerlukan sedikit masa seperti kita menantikan hasil buah dari pokok yang ditanam. Lebih-lebih lagi ukhwah yang terbina atas dasar kerana Allah. ^_^

“DI JALAN DAKWAH KAMI BERUKHWAH”

Friday, April 13, 2012

Surat Buatmu Seorang Doktor..

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..

Pada kali ini, saya ingin menyentuh cerita mengenai mereka yang bakal bergelar doktor Islam. Sejak dari dahulu lagi, saya cukup memandang tinggi kerjaya seorang doktor. Namun, saya tidak pernah mendalami perjalanan hidup mereka. Jadinya, perasaan itu saya simpan kemas dalam hati saya.


Sehinggalah baru-baru ini, saya dan sahabat-sahabat kecintaan hati saya menghabiskan masa bersama-sama dalam meneruskan gerak kerja dakwah kami. Salah seorang daripada kami adalah bakal seorang doktor, yang sedang gigih menghabiskan pecutan terakhirnya sebelum menggenggam ijazah dan bergelar doktor muslim. Saya cukup kagum dengannya. Walau dalam kesibukan itu, namun tetap bersungguh untuk bersama kami memandangkan kami adalah satu keluarga dalam sebuah persatuan besar di kampus kami. Amanah yang kami galas ini akan kami pastikan mampu melahirkan rasa cinta terhadap Islam dalam diri setiap orang yang berada di bawah pimpinan kami.

Dan dalam tempoh singkat 3 hari itu, saya menjadi semakin rapat dengannya dan saya telah dapat menghayati kehidupannya dalam bergelar seorang doktor. Ada kalanya, saya pernah datang sendiri padanya dan bertanya, apakah perasaan beliau bergelar seorang doktor dan apakah sumbangan yang seorang doktor dapat berikan untuk Islam. Ya, semakin saya faham mengenai kisah hidup seorang pelajar perubatan, perasaan pedih dalam hati saya juga turut hadir. Saya tidak dapat terus mendiamkan rasa itu kerana ditambah lagi oleh faktor saya terperasan bahawa ramai follower saya kebanyakkannya adalah pelajar perubatan di luar Negara. Saya tidak tahu dari mana mereka menjumpai blog saya yang buruk dan tidak menyeronokkan ini. Saya cukup terharu dan tidak sangka bakal-bakal doktor sudi singgah di teratak buruk saya ini. Jadi, saya ingin meluahkan sesuatu buat kalian. Bukan perasaan cinta tetapi cemburunya saya pada kalian kerana kalian mempunyai kelebihan yang Allah berikan. Hanya tinggal soal kalian mahu atau tidak untuk memanfaatkannya untuk Islam.

Mengapa perlu saya cemburu? Mestilah sebab saya selalu dengar nak jadi doktor ni bukan sesuatu yang mudah. Tengoklah buku-bukunya.. Semua tebal-tebal. Hanya orang-orang pandai dan terpilih sahaja layak mengambil bidang perubatan. Jadi rasa sangat kerdil jika berdepan dengan budak-budak perubatan ni. Sebab itu, saya rasa bahagia bila bertambah rapat dengan sahabat saya yang bakal bergelar doktor tadi. Saya dapat merasakan aura kehebatannya. Lebih-lebih lagi apabila dia memanfaatkan ruang dan peluang yang ada untuk Islam.

Ya, saya tidaklah terlalu cemburu pada mereka yang bersungguh untuk bergelar doktor sahaja tetapi cemburu saya pada insan-insan seperti sahabat saya, bakal doktor tetapi tidak pernah menggunakan alasan kesibukan untuk lari dari tanggungjawab seorang Muslim. Saya cukup cemburu terhadap bakal doktor yang dalam kegigihannya menuntut ilmu perubatan, dia sempat memikirkan apa sumbangannya untuk Islam di kemudian hari nanti. Saya cukup cemburu dengan bakal doktor yang tidak pernah memisahkan kerjayanya dengan gerak kerja dakwah dan fardhu Muslim.


Buat sahabat-sahabat saya yang bakal bergelar doktor, manfaatkanlah kecerdikan yang Allah beri pada kalian. Saya sungguh cemburu terhadap kalian. Namun, kalianlah sumber inspirasi saya. Bidang saya bukan perubatan namun saya juga ada matlamat untuk disumbangkan kepada Islam. Moga kita dapat buat yang terbaik dalam bidang masing-masing..

"MUSLIMAT MANTAP HARAPAN UMMAH"

Wednesday, March 21, 2012

Kita berjuang hingga syahid..

بسم الله الرحمن الرحيم 

Apabila diri telah biasa dilatih dengan kepayahan, keperitan dan cabaran dalam membawa misi Islam dan menyebarkan suasana biah solehah di kampus kecintaan, terasa kosong pula hati dan jiwa apabila fasa yang dilalui kini penuh ketenangan.. Lebih-lebih lagi setelah diumumkan tiadanya pilihanraya kampus untuk semester kali ini.. Ini bermakna tiadanya tentangan dari pihak lawan. Tiada sindiran kononnya kami berpura-pura membawa nama Islam. Semuanya tenang kembali. Bukannya nak kata diri sukakan kekecohan tetapi rasa lain apabila kali ini dapat membawa kesuburan cinta pada agama dengan aman. Subhanallah.. Indah walau sedikit kekok..

Ya, memang perlu menyesuaikan diri.. Kadang-kala ujian keamanan ini lebih melalaikan sesetengah dai'e itu. Kenapa perlu merendahkan semangat untuk membawa agenda dakwah Islam setelah dimaklumkan tiada pilihanraya kampus? Jika begitu jadinya, kita berjuang untuk apa sebenarnya? Adakah untuk kemenangan semata-mata dalam pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar itu? Semestinya tidak.. Ianya hanya merupakan satu wasilah untuk kita. Yang sebetulnya, kita berjuang untuk Islam. Tempoh kita berjuang adalah hingga syahid. Kata seorang sahabat saya walaupun saya tidak mendengarnya sendiri dari mulutnya. Kerana kefahamannya untuk membawa Islam lebih mendalam daripada saya, saya cukup yakin dia akan meneruskan langkahannya yang membawa manfaat untuk Islam. Dan juga kerana matlamat kami, MARDHATILLAH..

Wahai abnaul haraki, gunakanlah sebaiknya nikmat masa yang Allah beri ini. Bimbang kita akan menyesal di kemudian hari. Jangan pernah mengalah. Pasti terus! Untuk Islam, kita berjuang hingga SYAHID. Dan untuk tempoh masa ini, saya bertekad untuk memperkukuhkan muwasafat tarbiyah dalam diri saya. Kerana ibadah seorang pejuang perlu lebih gigih dari orang biasa. Jika tidak, malulah pada Allah.. Kita hanya tahu sembang kemas tanpa persediaan yang benar-benar rapi. Allahuakbar.. hina sungguh aku ini..

 

Saturday, February 4, 2012

Usah kecilkan maksud sebenar 'THABAT' dalam perjuangan..

بسم الله الرحمن الرحيم

Belajar melihat keadaan sekeliling dan menafsir sesuatu daripada pengalaman, banyak ibrah yang saya perolehi melalui itu. Bak kata seorang sahabat saya, perjalanan kehidupan setiap insan itu juga merupakan satu tarbiyah buat diri. Subhanallah.. Dan setelah melalui susah senang hidup ini juga, saya mampu menilai dan cuba memahami orang lain.. 

Untuk kali ini, sukalah saya untuk berbicara soal penilaian setiap dai'e terhadap sahabatnya yang lain mengenai "thabat" ataupun keteguhan mereka dalam setiap agenda perjuangan. Hal ini juga berkait sejauh mana kita bersangka baik mahupun tidak kepada teman seperjuangan kita..


Seringkali saya melihat dalam sketsa kehidupan, sahabat-sahabat selalu menghukum sahabat yang lain telah lari dari perjuangan hanya kerana mereka kerap tidak hadir ke dalam program-program tarbiyah dan siasah mahupun tidak dapat beri komitmen sekiranya diminta melaksanakan sesuatu tugasan dakwah dan siasah. Katanya golongan ini terlalu banyak beralasan. Diri saya juga silap kerana kadangkala pernah terdetik di sanubari bahawa si polan bin polan sudah jarang kelihatan dalam program-program, dihubungi pun tidak dapat. Entah-entah sudah tidak mahu thabat dalam perjuangan, hendak futur lah tu, dan bagai-bagai lagi buruk sangka terhadap sahabat. Dan apabila sesuatu menimpa saya untuk tidak dapat beri komitmen pada program dan juga tugasan yang diberikan, dan apabila saya dapat merasakan ada sahabat-sahabat mula bercakap-cakap bahawa saya sudah tidak komited seperti dulu, saya sudah berubah, dan saya seperti mahu lari dari perjuangan, barulah saya mula mengerti, kemungkinan sahabat yang pernah dikatakan 'hilang' suatu masa dulu juga turut mengalami masalah yang sama seperti saya.

Namun, tidak semua teman seperjuangan akan faham. Mereka mula menyangka kita sudah tidak 'THABAT' dalam perjuangan sebenar. Hanya kerana tidak dapat hadir program dan juga tidak dapat menerima amanah dan laksanakan tugasan. Jika sahabat yang benar-benar telah dipastikan sebab kehilangan adalah memang untuk berhenti dari landasan dakwah, tiada masalah untuk kita menilainya. Itupun dikira salah jika kita memulaukannya kerana bukan mudah untuk mentarbiyah seseorang. Mereka pernah menjadi salah satu produk tarbiyah Islam. 

Sekiranya insan-insan ini berniat untuk meninggalkan jalan perjuangan, kita seharusnya tidak menyalahkan mereka. Ini kerana Allah sedang menguji keimanan mereka. Kelemahan iman mereka menyebabkan benteng diri mereka tidak kukuh sehingga mampu dirobohkan musuh ketat Islam iaitu syaitan agar mereka menjauhi jalan dakwah. Mungkin satu hari nanti, tiba giliran iman kita diuji pula, malah kita menjadi lebih teruk dari mereka. Usahlah kita mengecilkan mereka. Kita seharusnya cuba untuk rapat kepada mereka dan saling menguatkan dan berdoa agar dirinya dan diri kita sentiasa teguh ke arah Redha Allah.

Berbalik kepada tajuk entry saya, saya berharap setiap dari kita yang telah Allah campakkan hidayah dan semangat untuk menjadi penyambung mata rantai perjuangan Rasulullah, janganlah kita mengecilkan maksud "thabat" terhadap sahabat perjuangan yang lain dengan memastikan mereka selalu kelihatan di program-program yang pimpinan anjurkan, selalu berada di barisan hadapan dalam setiap agenda dakwah dan siasah mahupun menjadi orang yang lantang merancang strategi atau pelaksana yang hebat. Sekiranya mereka tidak kelihatan, mereka dianggap futur ataupun mula menyepikan diri, konon beruzlah dan mahu lari dari perjuangan serta tidak memberi sumbangan pada Islam. Usahlah kita berburuk sangka. Hanya Allah yang tahu sejauh mana mereka terus bekerja untuk Islam. Allah tidak pernah meletak nilai ukur untuk melakukan kerja dakwah. Sedangkan sekadar senyum itu juga dakwah. Sekecil-kecil perkara sekalipun yang dapat mendatangkan faedah untuk Islam pasti ada nilai di sisi Allah. 



Bagi saya, thabat dalam perjuangan ini bertitik tolak dengan sejauh mana dalam setiap helaan nafas kita, kita berharap tersebarnya agama Allah walau dengan sekecil-kecil perkara yang mampu kita lakukan dan semuanya didasari kerana Allah. Tidak semua orang memiliki had kekuatan yang sama tinggi. Bagi yang mampu, teruskanlah perjuangan dan sentiasa mendoakan kekuatan umat Islam yang lainnya, fahamilah keadaan mereka yang tidak berkemampuan seperti kita, usah direndahkan dan dipulaukan. Dan bagi yang tidak mampu, buatlah apa yang dapat membantu mendaulatkan Islam dan meraih redha Allah walau usaha itu tidak sebesar mana. Allah sangat memahami hambaNya. Janganlah kita rasa tidak mampu, terus tidak mahu melakukan apa-apa. Sesungguhnya golongan ini pasti dalam kerugian.

Untuk lebih memberi penjelasan, bagi saya, kemungkinan yang menyebabkan seseorang dai'e itu tidak mampu memberi komitmen untuk hadir dalam setiap program dan melaksanakan tugasan yang diamanahkan pimpinan adalah boleh jadi kerana masalah kewangan, masalah keluarga, masalah pengangkutan, menghidapi penyakit, bebanan tugas yang lebih utama serta bertimbun dan sebagainya. Oleh kerana itulah saya berharap agar kita tidak terlalu bersangka buruk terhadap sahabat kita kerana boleh jadi mereka mengalami salah satu dari masalah ini. Dan kita bukannya hendak membantu mereka, malah merendahkan mereka. Sebagai orang yang berkefahaman, selidikilah masalah sahabat kita sebelum kita membuat sebarang penilaian.


Saya juga sempat membaca perjalanan hidup Rasulullah S.A.W. Bagaimana baginda bertolak ansur terhadap orang-orang Islam dalam peperangan Tabuk yang mewajibkan semua orang Islam yang mampu mengangkat senjata untuk turut serta. Namun, baginda terpaksa menolak keinginan beberapa sahabat dan orang Islam yang tidak berkemampuan dari segi kelengkapan perang untuk turut serta dalam peperangan walaupun telah cuba diusahakan serta bagi yang uzur dan sakit. Allah menceritakan berhubung mereka di dalam Al-Quran surah Taubah ayat 91 hingga 93 yang tidak mempunyai sesuatu yang hendak dibelanjakan untuk pergi berjihad pada jalan Allah. 

Hal ini saya ingin kaitkan terhadap sesetengah dai'e yang benar-benar tidak mampu dan mengalami kesempitan. Lebih-lebih lagi, dalam konteks sekarang ini, untuk pergi ke program-program, sudah pasti memerlukan kos pengangkutan. Bukan tidak ingin berkorban, malahan kalau boleh, jika ada sejuta program sekalipun, jika mampu, pasti dihadiri. Namun, untuk makan juga tidak mampu, masakan untuk merantau ke tempat-tempat program. Mungkin ada yang akan mengatakan cubalah usaha untuk tumpang sahabat lain yang berkenderaan. Nah, saya ingin mengajak sahabat2 ke alam realiti. Lumrah hidup berjemaah, jika menumpang, pasti kos perjalanan juga perlu ditanggung bersama. Cuba beritahu saya, siapa sahaja setakat ini yang tidak pernah meminta apa-apa jika menumpangkan sahabat. Bukan hendak berkira untuk  sama-sama berkongsi dan turut menginfakkan harta, tetapi bagi saya kadang-kadang kita perlu faham keadaan rakan kita yang menumpang. Jika semuanya berkemampuan, baguslah. Perlu saling meringankan.. mana tahu pemilik kenderaan juga sedang kesempitan. Cuma, bimbang-bimbang ada antara yang menumpang itu lebih susah. Yang berkenderaan jika tidak mampu juga, pasti tidak akan mempelawa ditumpang ataupun terfikir untuk ke tempat program. 


Hal ini saya utarakan kerana saya pernah alaminya. Oleh sebab itu, saya banyak belajar untuk meraikan pelbagai jenis sahabat. Kerana tidak semuanya sama. Salah satu situasinya, sebagai contoh, saya pernah menumpang sahabat kerana tidak mempunyai wang dan berharap tidak menyusahkan kerana kebetulan satu arah ke destinasi yang sama. Dengan dompet yang kosong dan tinggal beberapa ringgit cukup untuk makan kerana saya mengalami kesempitan tika itu, saya diminta mengeluarkan wang untuk bayaran tol dan makanan dalam perjalanan. Dan dengan malunya terpaksa mengaku tiada wang. Rasa seperti jatuhnya maruah ini dan pasti ada yang dipandang serong oleh sahabat lain. Jika berlaku pada kalian, pasti tidak mahu menumpang lagi kan.. 

Sebab itulah kemungkinan sahabat kita yang diuji dengan masalah kewangan jarang ke program-program yang jauh. Jika program itu tidak memakan kos sekalipun, pasti ada sesuatu halangan berlaku padanya. Pendek kata, usahlah kita berburuk sangka. Dan ingin saya ulangi, janganlah kita mengecilkan maksud sebenar 'thabat' rakan seperjuangan kita hanya dengan melihatnya di program-program dan juga komited dirinya untuk berada dalam setiap siri agenda dakwah dan siasah yang dirancang. Barangkali mereka ada membantu tetapi dengan cara yang lain.


Penceritaan saya ini adalah tulus dari hati dan benar-benar terjadi. Hanya kerana kita ingin setiap sahabat kita menjadi seperti diri kita sedangkan kita tidak tahu mereka mengalami kesukaran yang tidak dialami diri kita. Pesanan saya, BUATLAH SEHABIS MAMPU. KITA BUKAN HENDAK PUJIAN MANUSIA TAPI REDHA ALLAH. Mulia di sisi Allah lebih indah dari mendapat kemuliaan pada pandangan manusia. Kononnya kitalah pejuang sebenar, serikandi sejati, hero Islam.. sedang di sisi Allah, kita kosong, malah tanpa kita, tidak memberi kesan pada perjuangan Islam walau sedikit pun.. Usahlah merasa diri kita cukup hebat berpencak di medan haraki ini.. Nauzubillahi min zalik..

"sesungguhnya solatku,amal ibadahku,hidupku,matiku kerana Allah TUHAN sekalian alam”