Friday, March 18, 2011

Iktibar dari Jepun buat ummat..

بسم الله الرحمن الرحيم
Salam Perjuangan..

Beberapa hari yang lalu, kita telah dikejutkan dengan paparan tragedi yang dikira paling dahsyat bukan sahaja untuk fasa pertama bagi tahun 2011 malah juga tergempar sepanjang 140 tahun Jepun bertahan dengan teknologi pengawal bencana yang direka cipta. Bencana tsunami yang digeruni manusia kini kembali mengganas di perairan laut Jepun selepas peristiwa menyayat hati di bumi Serambi Makkah, iaitu Acheh.


389da50d17 Video Tsunami di Jepun Terburuk Dalam Tempoh 140 Tahun

Kuasa Allah, tiada siapa yang mampu melawan Qada' dan QadarNya..

Pada hemat saya, segala kejadian yang Allah tentukan itu pasti ada sesuatu yang tersirat disebaliknya. Dan untuk bencana yang menimpa Jepun ini sebagai satu amaran dari Allah agar ummat manusia kembali ke pangkal jalan. Seharusnya kita menjadikan ia sebagai satu peringatan buat diri dan kembali kepada fitrah bahawa kita diciptakan untuk menyembah Allah, melakukan ibadah kepadaNya dan sebagai khalifah di muka bumi ini. Bukannya dengan terjadinya fenomena mengerikan ini lebih menjauhkan diri daripada Allah yang Maha Kuasa. 

Firman Allah yang bermaksud:

Dan sesungguhnya dia (Luth) telah memperingatkan mereka akan azab-azab Kami, maka mereka mendustakan ancaman-ancaman itu. (Surah al-Qamar: 36)

Telah jelas tertulis di dalam lembaran Kalam Allah akan bencana-bencana dan malapetaka yang akan ditimpakan kepada kaum yang ingkar. Malah, dinyatakan juga kisah-kisah kaum terdahulu yang ditimpa azab Allah di dunia kerana kemungkaran yang dilakukan. Namun, sebilangan besar ummat manusia tidak mengambil iktibar. Nah, Allah telah mengotakan janjiNya dengan menurunkan azab kepada manusia kerana mendustakan ancaman-ancaman yang dikatakan. 

Tidakkah kita terfikir bahawa peristiwa Tsunami ini mempunyai persamaan dengan bencana banjir besar yang berlaku pada zaman Nabi Nuh Alaihissalam suatu ketika dulu.  Cuma bezanya ia berlaku meliputi keseluruhan muka bumi manakala Tsunami Jepun ini hanya merangkumi bumi Jepun sahaja. Seharusnya kita bersyukur dan mengambil langkah untuk mendekatkan diri kepada Allah agar malapetaka yang lebih dahsyat lagi tidak ditimpakan kepada ummat manusia. Saya yakin akan peristiwa ini bahawa Allah mahu mengingatkan kita kembali kepadaNya kerana manusia kini semakin lalai dihanyutkan nikmat duniawi. Sesungguhnya Allah SWT mengekalkan ingatan umat manusia kepada peristiwa di zaman Nabi Nuh itu supaya ia terus menjadi peringatan, amaran dan pengajaran bagi sekalian umat manusia, mukmin dan kafir. 

Firman Allah SWT di dalam surah al-Haaqqah ayat 11-12:

“Sesungguhnya ketika air banjir itu melampau-lampau limpahannya, Kami telah damparkan kamu dengan selamat di dalam bahtera (Nabi Nuh) itu. Agar dengan itu Kami jadikan peristiwa tersebut sebagai teladan bagi kamu. Dan untuk didengar serta diambil ingat oleh telinga orang-orang yang mahu menerima pengajaran”
tsu002 150x150 Video Tsunami di Jepun Terburuk Dalam Tempoh 140 Tahun

Janganlah kita terlalu saintifik dan berpegang kepada teori sains semata-mata sehingga menafikan bahawa bencana ini adalah amaran Allah kepada hambaNya baik yang beriman mahpun kafir. Jangan sampai Allah menjatuhkan malapetaka yang lebih maha menakutkan di Malaysia barulah berbondong-bondong manusia merayu-rayu meminta pertolongan dari Allah. Cukuplah apa yang kita telah lihat terjadi di negara-negara jiran. Ambillah iktibar daripadanya wahai ummat sebelum masa sudah terlambat, pintu taubat tertutup rapat.

Firman Allah yang bermaksud:

Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu, dan berserah dirilah kepada Nya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi). Dan ikutilah sebaik-baik apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu sebelum datang azab kepadamu dengan tiba-tiba, sedang kamu tidak menyedarinya, supaya jangan ada orang yang menyatakan, “Amat besar penyesalanku atas kelalainku dalam (menunaikan kewajipan) terhadap Allah, sedang aku sesungguhnya termasuk orang-orang yang memperolok-olokkan (agama Allah). (Surah az-Zumar: 54-56)

peringatan bersama buat diri yang lupa,

nanie mujahidah..

No comments: