Saturday, February 4, 2012

Usah kecilkan maksud sebenar 'THABAT' dalam perjuangan..

بسم الله الرحمن الرحيم

Belajar melihat keadaan sekeliling dan menafsir sesuatu daripada pengalaman, banyak ibrah yang saya perolehi melalui itu. Bak kata seorang sahabat saya, perjalanan kehidupan setiap insan itu juga merupakan satu tarbiyah buat diri. Subhanallah.. Dan setelah melalui susah senang hidup ini juga, saya mampu menilai dan cuba memahami orang lain.. 

Untuk kali ini, sukalah saya untuk berbicara soal penilaian setiap dai'e terhadap sahabatnya yang lain mengenai "thabat" ataupun keteguhan mereka dalam setiap agenda perjuangan. Hal ini juga berkait sejauh mana kita bersangka baik mahupun tidak kepada teman seperjuangan kita..


Seringkali saya melihat dalam sketsa kehidupan, sahabat-sahabat selalu menghukum sahabat yang lain telah lari dari perjuangan hanya kerana mereka kerap tidak hadir ke dalam program-program tarbiyah dan siasah mahupun tidak dapat beri komitmen sekiranya diminta melaksanakan sesuatu tugasan dakwah dan siasah. Katanya golongan ini terlalu banyak beralasan. Diri saya juga silap kerana kadangkala pernah terdetik di sanubari bahawa si polan bin polan sudah jarang kelihatan dalam program-program, dihubungi pun tidak dapat. Entah-entah sudah tidak mahu thabat dalam perjuangan, hendak futur lah tu, dan bagai-bagai lagi buruk sangka terhadap sahabat. Dan apabila sesuatu menimpa saya untuk tidak dapat beri komitmen pada program dan juga tugasan yang diberikan, dan apabila saya dapat merasakan ada sahabat-sahabat mula bercakap-cakap bahawa saya sudah tidak komited seperti dulu, saya sudah berubah, dan saya seperti mahu lari dari perjuangan, barulah saya mula mengerti, kemungkinan sahabat yang pernah dikatakan 'hilang' suatu masa dulu juga turut mengalami masalah yang sama seperti saya.

Namun, tidak semua teman seperjuangan akan faham. Mereka mula menyangka kita sudah tidak 'THABAT' dalam perjuangan sebenar. Hanya kerana tidak dapat hadir program dan juga tidak dapat menerima amanah dan laksanakan tugasan. Jika sahabat yang benar-benar telah dipastikan sebab kehilangan adalah memang untuk berhenti dari landasan dakwah, tiada masalah untuk kita menilainya. Itupun dikira salah jika kita memulaukannya kerana bukan mudah untuk mentarbiyah seseorang. Mereka pernah menjadi salah satu produk tarbiyah Islam. 

Sekiranya insan-insan ini berniat untuk meninggalkan jalan perjuangan, kita seharusnya tidak menyalahkan mereka. Ini kerana Allah sedang menguji keimanan mereka. Kelemahan iman mereka menyebabkan benteng diri mereka tidak kukuh sehingga mampu dirobohkan musuh ketat Islam iaitu syaitan agar mereka menjauhi jalan dakwah. Mungkin satu hari nanti, tiba giliran iman kita diuji pula, malah kita menjadi lebih teruk dari mereka. Usahlah kita mengecilkan mereka. Kita seharusnya cuba untuk rapat kepada mereka dan saling menguatkan dan berdoa agar dirinya dan diri kita sentiasa teguh ke arah Redha Allah.

Berbalik kepada tajuk entry saya, saya berharap setiap dari kita yang telah Allah campakkan hidayah dan semangat untuk menjadi penyambung mata rantai perjuangan Rasulullah, janganlah kita mengecilkan maksud "thabat" terhadap sahabat perjuangan yang lain dengan memastikan mereka selalu kelihatan di program-program yang pimpinan anjurkan, selalu berada di barisan hadapan dalam setiap agenda dakwah dan siasah mahupun menjadi orang yang lantang merancang strategi atau pelaksana yang hebat. Sekiranya mereka tidak kelihatan, mereka dianggap futur ataupun mula menyepikan diri, konon beruzlah dan mahu lari dari perjuangan serta tidak memberi sumbangan pada Islam. Usahlah kita berburuk sangka. Hanya Allah yang tahu sejauh mana mereka terus bekerja untuk Islam. Allah tidak pernah meletak nilai ukur untuk melakukan kerja dakwah. Sedangkan sekadar senyum itu juga dakwah. Sekecil-kecil perkara sekalipun yang dapat mendatangkan faedah untuk Islam pasti ada nilai di sisi Allah. 



Bagi saya, thabat dalam perjuangan ini bertitik tolak dengan sejauh mana dalam setiap helaan nafas kita, kita berharap tersebarnya agama Allah walau dengan sekecil-kecil perkara yang mampu kita lakukan dan semuanya didasari kerana Allah. Tidak semua orang memiliki had kekuatan yang sama tinggi. Bagi yang mampu, teruskanlah perjuangan dan sentiasa mendoakan kekuatan umat Islam yang lainnya, fahamilah keadaan mereka yang tidak berkemampuan seperti kita, usah direndahkan dan dipulaukan. Dan bagi yang tidak mampu, buatlah apa yang dapat membantu mendaulatkan Islam dan meraih redha Allah walau usaha itu tidak sebesar mana. Allah sangat memahami hambaNya. Janganlah kita rasa tidak mampu, terus tidak mahu melakukan apa-apa. Sesungguhnya golongan ini pasti dalam kerugian.

Untuk lebih memberi penjelasan, bagi saya, kemungkinan yang menyebabkan seseorang dai'e itu tidak mampu memberi komitmen untuk hadir dalam setiap program dan melaksanakan tugasan yang diamanahkan pimpinan adalah boleh jadi kerana masalah kewangan, masalah keluarga, masalah pengangkutan, menghidapi penyakit, bebanan tugas yang lebih utama serta bertimbun dan sebagainya. Oleh kerana itulah saya berharap agar kita tidak terlalu bersangka buruk terhadap sahabat kita kerana boleh jadi mereka mengalami salah satu dari masalah ini. Dan kita bukannya hendak membantu mereka, malah merendahkan mereka. Sebagai orang yang berkefahaman, selidikilah masalah sahabat kita sebelum kita membuat sebarang penilaian.


Saya juga sempat membaca perjalanan hidup Rasulullah S.A.W. Bagaimana baginda bertolak ansur terhadap orang-orang Islam dalam peperangan Tabuk yang mewajibkan semua orang Islam yang mampu mengangkat senjata untuk turut serta. Namun, baginda terpaksa menolak keinginan beberapa sahabat dan orang Islam yang tidak berkemampuan dari segi kelengkapan perang untuk turut serta dalam peperangan walaupun telah cuba diusahakan serta bagi yang uzur dan sakit. Allah menceritakan berhubung mereka di dalam Al-Quran surah Taubah ayat 91 hingga 93 yang tidak mempunyai sesuatu yang hendak dibelanjakan untuk pergi berjihad pada jalan Allah. 

Hal ini saya ingin kaitkan terhadap sesetengah dai'e yang benar-benar tidak mampu dan mengalami kesempitan. Lebih-lebih lagi, dalam konteks sekarang ini, untuk pergi ke program-program, sudah pasti memerlukan kos pengangkutan. Bukan tidak ingin berkorban, malahan kalau boleh, jika ada sejuta program sekalipun, jika mampu, pasti dihadiri. Namun, untuk makan juga tidak mampu, masakan untuk merantau ke tempat-tempat program. Mungkin ada yang akan mengatakan cubalah usaha untuk tumpang sahabat lain yang berkenderaan. Nah, saya ingin mengajak sahabat2 ke alam realiti. Lumrah hidup berjemaah, jika menumpang, pasti kos perjalanan juga perlu ditanggung bersama. Cuba beritahu saya, siapa sahaja setakat ini yang tidak pernah meminta apa-apa jika menumpangkan sahabat. Bukan hendak berkira untuk  sama-sama berkongsi dan turut menginfakkan harta, tetapi bagi saya kadang-kadang kita perlu faham keadaan rakan kita yang menumpang. Jika semuanya berkemampuan, baguslah. Perlu saling meringankan.. mana tahu pemilik kenderaan juga sedang kesempitan. Cuma, bimbang-bimbang ada antara yang menumpang itu lebih susah. Yang berkenderaan jika tidak mampu juga, pasti tidak akan mempelawa ditumpang ataupun terfikir untuk ke tempat program. 


Hal ini saya utarakan kerana saya pernah alaminya. Oleh sebab itu, saya banyak belajar untuk meraikan pelbagai jenis sahabat. Kerana tidak semuanya sama. Salah satu situasinya, sebagai contoh, saya pernah menumpang sahabat kerana tidak mempunyai wang dan berharap tidak menyusahkan kerana kebetulan satu arah ke destinasi yang sama. Dengan dompet yang kosong dan tinggal beberapa ringgit cukup untuk makan kerana saya mengalami kesempitan tika itu, saya diminta mengeluarkan wang untuk bayaran tol dan makanan dalam perjalanan. Dan dengan malunya terpaksa mengaku tiada wang. Rasa seperti jatuhnya maruah ini dan pasti ada yang dipandang serong oleh sahabat lain. Jika berlaku pada kalian, pasti tidak mahu menumpang lagi kan.. 

Sebab itulah kemungkinan sahabat kita yang diuji dengan masalah kewangan jarang ke program-program yang jauh. Jika program itu tidak memakan kos sekalipun, pasti ada sesuatu halangan berlaku padanya. Pendek kata, usahlah kita berburuk sangka. Dan ingin saya ulangi, janganlah kita mengecilkan maksud sebenar 'thabat' rakan seperjuangan kita hanya dengan melihatnya di program-program dan juga komited dirinya untuk berada dalam setiap siri agenda dakwah dan siasah yang dirancang. Barangkali mereka ada membantu tetapi dengan cara yang lain.


Penceritaan saya ini adalah tulus dari hati dan benar-benar terjadi. Hanya kerana kita ingin setiap sahabat kita menjadi seperti diri kita sedangkan kita tidak tahu mereka mengalami kesukaran yang tidak dialami diri kita. Pesanan saya, BUATLAH SEHABIS MAMPU. KITA BUKAN HENDAK PUJIAN MANUSIA TAPI REDHA ALLAH. Mulia di sisi Allah lebih indah dari mendapat kemuliaan pada pandangan manusia. Kononnya kitalah pejuang sebenar, serikandi sejati, hero Islam.. sedang di sisi Allah, kita kosong, malah tanpa kita, tidak memberi kesan pada perjuangan Islam walau sedikit pun.. Usahlah merasa diri kita cukup hebat berpencak di medan haraki ini.. Nauzubillahi min zalik..

"sesungguhnya solatku,amal ibadahku,hidupku,matiku kerana Allah TUHAN sekalian alam”




1 comment: