Wednesday, October 5, 2011

Hadiah cinta dari Allah...


Sungguh, tahun ini Allah telah memberi peluang sekali lagi untuk diri meneruskan saki baki hidup di atas muka bumi. Wahai Allah, pemilik nyawaku, hadiah yang Engkau berikan padaku tahun ini setelah 21 tahun mempelajari erti hidup, cukup yakin untukku untuk terus teguh di jalan ini. Tabahkanlah hatiku dalam memperjuangkan agamaMu.

Untuk kali kedua, dilepaskan oleh Allah dari medan kematian, membuatkan diri memuhasabahkan bagaimana perjalanan hidup andai Allah bukan menjadi matlamat utama. Pasti malang jiwa batinku. Menyambut ulangtahun kelahiran dalam ketidakupayaan, membawa diri belajar soal pengharapan pada Ya Khaliq. Banyak perkara bermain di fikiran. bagaimana kemalangan yang dihadapi, yang cukup untuk menarik nyawaku, namun fungsi tangan dan kakiku masih Allah pelihara. Aku masih mampu bernafas lega. Dan kini kesihatanku juga beransur pulih walaupun doktor menjangkakan ianya mengambil masa berbulan2. Semuanya atas kekuasaan Allah dan juga doa sahabat2.

Apabila berkait soal nyawa, air mata mengenang dosa juga mampu mengalir membasahi wajah. Tidak mampu untuk berkata apa2 melainkan Ya Allah, moga dosa-dosaku yang lalu terhapus dan aku mampu meneruskan sisa hidup ini untuk redhaMu Ya Allah, untuk jalan perjuangan yang telah mengkhitbah diriku, untuk kewajipan menuntut ilmu untuk keagungan agamaMu. permudahkanlah urusanku Ya Allah.

sabda Nabi Sallallahu'alaihiwasallam “Rebutlah lima perkara sebelum lima perkara: Hidup sebelum mati, sihat sebelum sakit, lapang sebelum sibuk, muda sebelum tua dan kaya sebelum fakir.” (Riwayat Hakim dan Baihaqi daripada Ibnu Abbas)

Ya Allah, aku sambut hadiah cintaMu sempena ulangtahun kelahiranku, iaitu sebuah musibah yang membawa sinar hidayah.. membawa aku kembali kepada fitrah, sebagai manusia dan hambaMu Allah.. 

Wahai Dzat yang membolak-balikkan hati, teguhkan hati kami di atas agama-Mu.” (HR. Ahmad dan at Tirmidzi)