Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..
Sungguh, perlu diakui, sememangnya saya cukup sedar bahawa sejak belakangan ini, saya sudah kurang menulis. Tahap kemalasan diri mengatasi segalanya. Namun, kali ini, saya menggagahkan kembali jari jemari untuk mencoret sesuatu. Walaupun tidak berapa pasti adakah ianya mampu memberi sedikit sebanyak manfaat buat sahabat-sahabat mahupun tidak, penulisan ini yang pastinya lahir dari hati dan dialami sendiri oleh diri ini. Dan saya cukup yakin, sekiranya saya sendiri telah mengalaminya, pasti ada segelintir yang lain turut berada di posisi yang sama dengan saya. Oleh itu, barangkali kita dapat bersama-sama berkongsi dan mencari solusi atas konflik yang menjajah sanubari kita ini.
Walaupun saya seorang yang jahil, namun semestinya saya telah jelas bahawa kita sebagai manusia perlu merendah diri dan tidak berlaku megah dengan setiap kelebihan yang ada pada diri. Sungguh merendah diri atau bersifat tawadhuk ini sangatlah mulia hinggakan Allah S.W.T berjanji akan meninggikan darjat golongan seperti ini. Dalam sebuah hadis, ada dinyatakan bahawa:
(ومن تواضع لله رفعه الله” (صحيح مسلم
"Dan barangsiapa yang merendah diri kerana ALLAH, ALLAH akan meninggikan darjatnya."
(Riwayat Sohih Muslim)
Namun adakalanya manusia silap membezakan antara merendah diri dengan merendahkan diri. Merendah diri yang dimaksudkan dalam hadis di atas adalah tidak bersikap bongkak dan sombong terhadap segala apa yang dimilikinya, sentiasa zuhud dan tawadhuk serta memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Pencipta kita, Allahurabbi yang tidak putus-putus memberi nikmat kepada kita. Manakala merendahkan diri, pada hemat saya sering merasakan diri ini tidak layak, bukan ahlinya untuk melakukan sesuatu hinggakan satu tahap boleh merencatkan gerak kerja Islam.
Tulisan ini saya catatkan atas kesedaran bahawa terdapat segelintir ahli gerakan yang silap memahami konsep merendah diri hingga membawa mereka kepada sifat terlalu merendahkan diri dan melambatkan gerak kerja dakwah dan sebagainya. Adakalanya perkara yang mudah untuk dilaksanakan pun tidak terlaksana akhirnya rentetan dari sikap terlalu merendahkan diri, merasa tidak layak untuk selesaikan tugasan dan taklifan yang diberikan, sehingga menyukarkan perjalanan time frame yang telah disusun rapi.
Perkara ini terjadi pada anak usrah saya sendiri yang terlalu asyik dengan sikapnya yang suka merendahkan diri walaupun telah puas saya memujuknya dan akhirnya saya terpaksa alihkan tugasan kepada orang lain. Sedangkan dia seorang yang berpotensi tinggi. Bagi saya, sekiranya kita ada keinginan dan kemahuan, pasti Allah akan buka jalan ke arah itu selagi mana segala apa yang kita lakukan, akhirnya di dasari kerana Allah. Kerana itulah, sehingga saat ini, saya sering berpegang kepada falsafah hidup: Jika bukan kita yang melakukan, siapa lagi.. Jika bukan sekarang, bila lagi.. Jika bukan di sini, di mana lagi..
Kerana pegangan inilah, sekiranya saya tidak mampu untuk lakukan, saya perlu untuk terus menekan diri saya agar melakukannya. Dari sudut pandang sisi saya, sekiranya ahli gerakan tiada sikap ini, dan kesemuanya sering merendahkan diri, natijahnya, segala gerak kerja akan ditolak-tolak antara satu sama lain dengan mengatakan "engkau lebih layak dari aku, jadinya engkau yang perlu lakukannya bukan aku". Ahh, semua ini hanya melambatkan gerak kerja yang akhirnya bisa membawa kepada masalah hati.
BERSEDERHANALAH dalam setiap perkara rakan-rakanku. Usah merasakan kita yang PALING hebat, juga usah merasakan kita yang PALING hina. Kita semua adalah penyambung mata rantai perjuangan. Jika engkau benar2 tidak mahu, Islam itu tidak pernah akan rugi. Kerana Allah akan gantikan dengan insan yang lebih layak lagi. Dan ketika itu, hinalah diri kamu sehina-hinanya kerana lari dari perjuangan Islam yang suci. Saya juga kadangkala mempunyai perasaan merendahkan diri itu. Kerana sememangnya saya merasakan saya cukup tidak layak berbanding orang lain, tapi semuanya bergantung bagaimana kita mampu membawa diri kita dan kemampuan yang sedikit yang kita ada itu untuk menyumbang kepada Islam. Wallahua'lam.
Fikir2kan dan semoga kita semua menjadi hamba yang beroleh keredhaan Allah. Astagfirullah al-azim. Segala kelemahan itu pastinya datang dari diri saya sendiri.
No comments:
Post a Comment