Sunday, November 27, 2011

Antara Dilema seorang Wanita dengan Dilema seorang Muslimah..


Sungguh sejak akhir-akhir ini, hati ini sentiasa resah. Kadang-kadang sibuk memikirkan soal keduniaan, kadang-kadang juga rungsing soal ukhrawi. Allah, berat sungguh dilema diriku ini. PadaMu Allah tempat ku berserah.

Andai kalian menjadi diri ku, manakah menjadi keutamaan kalian wahai para wanita juga yang bergelar muslimah? Jika ditanya pada diri ini, sudah pasti jawapannya dilema muslimah yang akan dipandang berat berbanding dilema seorang wanita yang juga ada pada diri ini. Kerana ianya adalah urusan remeh berbanding soal aqidah dan perjuangan yang jauh lebih penting dari segalanya. Namun, dilema wanita itu yang lebih menyesakkan fikiran walau sedaya mungkin cuba dijauhkan. Sungguh syaitan itu tidak pernah berputus asa mengganggu hamba yang sedang cuba menjadi terbaik di sisi Allah..

Pasti kalian tertanya-tanya apa bezanya dilema wanita berbanding muslimah yang di maksudkan. Bagi diriku, jika aku ditimpa dilema wanita, ianya adalah kerana aku lebih utamakan pandangan manusia. Dan apabila ditimpa dilema muslimah, ianya kerana aku cukup risaukan pandangan Allah.

Sebagai seorang wanita,
siapa yang tidak mahu kelihatan sempurna di mata manusia,
bila direndahkan yang kita tidak secantik mana-mana wanita yang lain,
pasti ada terselit sedikit kesedihan bahawa mengapa aku tidak secantik dirinya.. 

Namun, perasaan ini ditangkis secepatnya,
kerana aku seorang MUSLIMAH,
tiada masa untuk aku fikir soal cantik di mata manusia,
sedangkan aku punya Allah yang sedang menilai kecantikan hatiku,
keindahan akhlakku serta kesanggupan aku berkorban untuk Islam.

Sebagai seorang wanita,
siapa yang tidak mahu kelihatan sempurna di mata manusia,
bila diejek kita gemuk, tidak seramping model atau pendek kata dirinya,
pasti ada terselit sedikit kesedihan, mengapa aku tidak sekurus dia,
maka sanggup tidak makan, menahan lapar, kemudian mengenakan pakaian cantik berfesyen,
biar dipuji orang, wah dah kurus nampak, apa rahsianya..

Namun, rasa itu dibuang sepantasnya,
kerana aku seorang MUSLIMAH,
masa yang aku ada terlalu singkat,
tidak sempat untuk aku bicara soal kecantikan tubuh badan,
menjadi kurus bukan bermakna cantik,
kerana masa yang berbaki untukku perlu dimanfaatkan untuk merancang strategi perjuangan,
bagaimana nak menumbangkan musuh Islam,
kerana kesihatan yang aku ada perlu digunakan untuk aku berada di barisan hadapan,
menjadi pejuang agama Allah dan syahid, barulah cantik aku di mata Allah..

Sebagai seorang wanita,
siapa yang tidak inginkan kekayaan,
boleh diguna untuk membeli barang-barang perhiasan, make up, baju cantik, kasut dan sebagainya,
cemburu melihat rakan2 yang lain dapat apa sahaja yang mereka minta,
tidak seperti diriku, ingin gunakan RM1 pun perlu berkira-kira, bimbang tidak cukup dikemudian hari..
lalu mengeluh, kenapa aku tidak sekaya dirinya, macam-macam yang dia ada..

Namun, perasaan itu disingkir secepatnya,
kerana aku seorang MUSLIMAH,
aku perlu bersyukur dengan apa yang dimiliki,
kerana ianya lebih baik dari tidak memiliki apa-apa,
wang dan harta boleh lesap sekelip mata,
tetapi kekayaan amal ibadah yang akan ku bawa mati,
mengapa perlu merintih, sedangkan aku ada Allah yang Maha Kaya,
malahan bukan setakat RM1 tetapi RM50 itu tidak perlu teragak-agak untuk aku dermakannya,
kerana aku yakin ganjaran yang lebih baik itu pasti ada walau tidak kira bila waktunya dan apa bentuknya,
kerana bumi Allah ini luas, nikmatnya tidak terkira, maka nikmat yang mana yang kita dustakan.

Sebagai seorang wanita,
aku juga punya perasaan ingin dikasihi,
jika aku tidak belajar agama,
pasti sudah banyak kali aku bercinta, kemudian putus dan bercinta lagi,
mengikut gaya hidup remaja kini,
jika tiada teman lelaki, malulah kerana diri tidak disayangi, 
terpaksa tengok rakan2 kehulur hilir sana sini dengan boyfriend yang rasanya setiap bulan asyik bertukar ganti..

Syukurlah perasaan itu tidak wujud dalam diri,
kerana aku seorang MUSLIMAH,
tiada masa untuk aku habiskan bersama teman lelaki,
kerana masa yang aku ada sibuk digunakan untuk gerak kerja haraki,
biarlah aku tidak mendapat cinta lelaki,
kerana aku ada Allah, matlamat utama hidup dan mati..
pemilik cintaku yang hakiki, untuk aku terus mengejar nikmat syurgawi.

Sungguh, jika aku letakkan diriku sebagai seorang wanita, pasti rasa itu yang datang pada hati, maka Ya Allah, jadikanlah aku muslimah haraki sejati. Jauhkanlah perasaan remeh seorang wanita pada diriku. Kerana tidak sanggup bagiku mensia-siakan masaku memikirkan semua itu. Allah.. MasyaAllah.. Tabarakallah.. Ampunkan aku Ya Allah..

Fikir-fikirkanlah wahai sahabat-sahabatku yang bergelar seorang wanita.. Aku lebih suka andai diriku digelar seorang muslimah walaupun aku tidak layak untuk itu.. 


hargailah aku sebagai seorang MUSLIMAH..