Tuesday, July 12, 2011

Potret Bersih 2.0..


Bahangnya masih terasa
Derita rakyat terus menyala
kenangan itu tak kan dilupa
tatkala "manusia hitam" itu merobek jiwa

Siapa aku usah dipersoal
hanya insan biasa punya rasa
tindakan 'mereka' buat ku mual
sanggup menggadai anak bangsa

mereka kata kita punca segalanya
tidakkah mereka fikir mengapa kita bertindak sedemikian rupa
adakah kerana takut bayangan peribadi
yang akhirnya memakan diri sendiri

rakyat kini bijak menilai
siapa mulia dan siapa yang keji
sanggup menipu untuk duniawi
hinggakan Allah hilang di hati

Wahai semua, ayuh bangkit
usah takut dan berfikiran sempit
yakin dengan perjuangan walau dihimpit
abaikan saja ugutan dan ancaman yang dipalit

Kita ada Allah dan Rasul
pertolonganNya yang dahsyat pasti menyusul
pantang menyerah pantang berundur
demi pertahankan negara yang kian mundur


Hari demi hari berlalu. Namun, ana dan sahabat2 tidak pernah puas berbicara tentang peristiwa itu. Kita datang dengan aman, namun dihalau dengan pelbagai ancaman dan herdikan. Ana melihat pelbagai derita. Sungguh tergamak 'mereka-mereka' itu bertindak hingga ke tahap yang sungguh ana tidak percaya. Sudah hilangkah nilai kemanusiaan dalam diri mereka. Sedangkan haiwan kini jauh lebih mulia. Fikirlah wahai manusia. 

Ya, mungkin ada yang akan bicara, siapa suruh kita ingkar kata. Baik duduk diam sahaja di rumah, menonton drama. Namun, sejauh mana kita mampu berdiam diri. Meng'iya'kan perkara yang kita sendiri tidak puas hati. Melainkan sesetengah manusia itu. Barangkali telah dididik menjadi generasi pengikut setia. Walau dipijak kepala sekalipun, namun tetap menyanjung pemerintah yang zalim atas alasan mereka yang menyara dan memberi rezeki pada kita. 

Astagfirullah al-azim, perbaikilah aqidah Islami. Sesungguhnya rezeki itu Allah yang beri. Walau di ceruk mana pun kita cuba lari, jika Allah kata 'Kun Fayakun', maka itulah yang pastinya akan terjadi"

fikir-fikirkanlah. Mana yang dirasakan benar, mana yang perlu dibaiki. 

We just walk for democracy.. BUT u hurt your own citizens...

You Are WRONG!!!





Sunday, July 3, 2011

Marah itu mudah, cubalah bersabar wahai diri...


Sa’eed bin Musayyeb berkata: Pada suatu ketika, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam duduk-duduk bersama dengan para Sahabat. Muncul seorang lelaki lalu dia mencela dan memaki hamun Abu Bakar radhiyallahu ‘anhu hingga menyebabkan Abu Bakar ’sakit’ mendengarnya. Tetapi Abu Bakar terus mendiamkan diri. Lelaki itu meneruskan lagi celaan dengan bahasa yang lebih kasar terhadap Abu Bakar, namun beliau masih terus mendiamkan diri. Masuk kali ketiga, apabila lelaki itu terus menyakiti Abu Bakar dengan lisannya, Abu Bakar bingkas mahu menjawab balik.

Lalu Baginda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bangun. Abu Bakar radhiyallaahu ‘anhu bertanya: apakah engkau marah denganku wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Tidak. Cuma semasa kamu mendiamkan diri, Malaikat turun dari Langit bertindak terhadap kata-kata lelaki itu. Tetapi sebaik sahaja kamu mula membalas cacian lelaki itu, Malaikat melarikan diri lalu Syaitan datang dan duduk. Aku tidak boleh duduk di tempat yang Syaitan duduk di situ.” [ Hadith riwayat Abu Dawud]

"berdiam itu lebih baik kerana di situ, ada redha Allah.. "
Senyum itu lebih indah, kerana ianya satu sedekah..



Saturday, July 2, 2011

27 Rejab: Bukan Hanya Sekadar Peristiwa..


Gambar sekadar hiasan.. ^_^
Tanggal 27 Rejab telah berlalu. Diari 1 Syaaban pula mula membuka tirai. Namun, bagi ana, masih belum terlambat untuk ana merungkai kembali akan sebuah kisah yang cukup bermakna bilamana Rasulullah telah diangkat untuk bertemu Allah bagi menerima kewajipan ibadah solat. Kisah ini adalah kisah sepanjang hayat. Bukannya sekadar peristiwa biasa semata-mata. Malahan, bukan sekadar sejarah yang akan diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang dan dibiarkan luput dari ingatan bila berlabuhnya tabir Rejab. Ianya perlu diingati dalam setiap helaan nafas kita agar manusia sentiasa mengambil pengajaran daripada apa yang terkandung dalam peristiwa Isra' Mikraj yang berlaku pada malam 27 Rejab itu bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Kisah yang disisipi 1001 makna ini memperlihatkan pelbagai kejadian yang seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaanNya. Namun, berapa ramai kah manusia yang masih menyedari akan hakikat ini?? Adakah kalian tergolong dalam kalangan manusia yang akan mengatakan:

1. Eh, dah berlalu ke bulan Rejab? x sedar pun. Bila ye 27 Rejab 2?

2. Nape dengan bulan Rejab? ada peristiwa yang istimewa ke?

3. Malas la nak ingat bulan-bulan Islam ni. Yang berlalu, biarkan berlalu. Life must go on beb.


Fikir-fikirkanlah, adakah kalian termasuk dalam golongan manusia ini. Moga kita dijauhkan. Kerana ianya adalah peristiwa pokok kepada rutin harian yang sering kita lakukan sepanjang hari sebagai kewajipan bergelar seorang Muslim. Ketika inilah, Rasulullah menerima perintah solat sebanyak 50 rakaat. Tetapi akhirnya telah dikurangkan kepada 5 rakaat. Namun, berapa ramaikah manusia yang bersyukur?

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik sahaja Nabi bercerita kepada mereka. Kebenaran peristiwa ini telah pun tercatat dalam Kalam Allah. Adakah kita masih mahu menafikannya?
Mafhum Firman Allah S. W. T. : “Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah Al-Israa’: Ayat 1).


Peristiwa Israk dan Mikraj ini merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam. Peristiwa yang termaktub pada 27 Rejab ini bukanlah hanya sekadar satu peristiwa tapi satu rahmat buat sekalian alam. 


wallahua'lam.


SELAMAT DATANG WAHAI SYAABAN.. MOGA REJAB YANG BERLALU MEMBERI MAKNA BUAT DIRIKU. DAN RAMADHAN YANG BAKAL TIBA MEMBAWA AKU KE DAKAPAN REDHA MU YA ALLAH. ^_^