Tuesday, October 12, 2010

Antara tanggungjawab dan kemuliaan..

“Tapi dia pelajar tahfiz, hafal 30 juzu”

Saya biasa dengar alasan tu.

“Dia pelajar sekolah agama. Dia mesti tahu itu halal ke haram”

Ya, ini pun biasa saya dengar.

“Eh, dia ni orang pergi usrah. Mesti dia dah faham”

Ya, ini pun banyak kali saya dengar.

Begitulah. Alasan-alasan yang keluar. Bagi menghalalkan dosa yang dilakukan.

“Boyfriend saya pelajar tahfiz, hafal 30 juzu’, sekolah agama, anak imam. Dia ok je couple dengan saya”

“Kawan saya pakai tudung labuh. Selamba je mengumpat dengan saya”

Apa, alasan-alasan itu boleh dipakaikah untuk menghalalkan perbuatan buruk?

Islam adalah Islam. Mereka hanyalah orang Islam. Apakah keaslian Islam itu terganggu dengan keburukan akhlak orang Islam?

Tidak.

Ah… Kau bukan budak agama. Kau faham apa..

Sesungguhnya, tiada kemuliaan antara pelajar agama dengan yang bukan dari jurusan agama. Yang mulia hanyalah mereka yang memahami agama dan mengamalkannya.

Sebab itu, pelajar agama, anak pak imam, tahfiz 30 juzu’, belum tentu lagi lebih mulia daripada doktor, jurutera, pelukis, taukeh kedai. Yang mulia antara manusia, hanya mereka yang berjaya membumikan Islam dalam kehidupan mereka.

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” Surah Al-Hujurat ayat 13.

Menjadi ‘budak agama’ bukanlah lesen untuk kita merendahkan orang lain. Bahkan menjadi tanggungjawab kepada ‘budak agama’ untuk mnejadi khadam kepada Allah bagi menyebarkan agama Allah dengan seluas-luasnya.

‘Budak agama’ sepatutnya tunduk merendah diri, sedar bahawa dirinya juga manusia.

Bukan malaikat yang tidak akan punya dosa.

Justeru, dalam langkahannya sebagai ‘budak agama’, perlulah dia memahami posisi dirinya yang penting di dalam masyarakat itu sebagai satu TANGGUNGJAWAB bukannya KEMULIAAN.

Ia adalah satu TAKLIF(Tanggungjawab) bukannya TASYRIF(kemuliaan).

Jangan menjadi seperti mereka yang telah berpaling.

Agama kristian rosak kerana penyelewengan ahli-ahli kitabnya. Begitu juga Agama orang Yahudi, rosak kerana penyelewengan ahli-ahlinya.

Allah SWT melaknat mereka atas penyelewengan mereka terhadap kitab-kitab Allah.

“Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari orang-orang yang telah diberikan Kitab (iaitu): “Demi sesungguhnya! Hendaklah kamu menerangkan isi Kitab itu kepada umat manusia, dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya”. Kemudian mereka membuang (perjanjian setia) itu ke belakang mereka, serta mereka menukarnya dengan mengambil faedah dunia yang sedikit. Maka amatlah buruknya apa yang mereka dapati dari penukaran (Kalamullah dan janjiNya) itu.” Surah Ali Imran ayat 187.

Maka diturunkan Al-Quran yang tidak mampu diselewengkan isinya, dirubah pokoknya.

Tetapi, Allah masih menguji manusia dengan membuka jiwa manusia kepada penyelewengan diri. Harta, pangkat, pujian, kepentingan diri dan sebagainya membuatkan jiwa manusia bergerak untuk menggunakan apa yang ada pada dirinya, ke jalan yang merosakkan.

Maka, tidak pantas hakikatnya ‘budak agama’ menjadi sebahagian dari penyelewengan ini.

Hal ini kerana, apabila ‘budak agama’ menyeleweng, maka terselewenglah seluruh ummat.

Sepatutnya, ‘budak agama’ memahami Islam dengan kefahaman yang jelas, dan membumikannya ke dalam kehidupan.

Bukan menjadi fitnah kepada masyarakat.

Kalau sekadar tahu, mereka juga mampu.

Jangan lah jadi seperti di kampus2 kini. Mereka yang ada kefahaman Islam 2 lah yang cuba melanggarnya. "Budak agama" itulah yang galak berkepit dengan kekasih hatinya. Bila ditegur, dibalas dengan hadis pula nampaknya. Ini sudah dikira penyelewengan terhadap landasan-landasan Islam.

Islam tidak akan mampu digerakkan dengan sekadar tahu. Islam adalah agama yang bertaut rapat dengan hati, berkait rapat dengan iman. Kita meyakini Allah, Malaikat, Qada’ Qadar, Hari Akhirat yang tidak kita lihat. Kita diikat dengan peraturan yang cantik serta kemas di dalam Islam.

Sekiranya kita hanya sekadar tahu rukun iman ada 5, dan mampu menyebut ke semuanya, tetapi kita tidak mampu memahaminya, maka melayang-layanglah kita tanpa arah di atas dunia ini.

Kalau sekadar tahu, maka kita telah melihat ramai sahaja orientalis-orientalis yang menghafal 30 juzu’ Al-Quran, yang mengkaji hukum-hukum Islam, yang berusaha mengetahui siapakah Allah, mendalami kehidupan Rasulullah SAW dan para sahabat. Malah, kebanyakan mereka lebih mengetahui Islam berbanding ‘budak-budak agama’ kita.

“Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian).” Surah Al-Baqarah ayat 146.

Tetapi, mereka hanya mengetahui.

Mereka tidak mampu memahami.

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” Surah Al-A’raff ayat 179.

Sebab itu mereka tidak mampu membumikan Islam di dalam kehidupan kita.

Sebab itu walaupun mereka telah membuat kajian, mendalami dan meneliti, mereka tetap tidak beriman. Malah mereka bergerak pula mencaci dan menghina Islam serta menyatakan Islam penuh cacat cela.

Kalau sekadar tahu, itulah jadinya.

Adakah kita, ‘budak agama’, juga seperti mereka?

‘Budak agama’ jangan jadi fitnah.

Ini pesanan saya buat diri saya yang juga merupakan ‘budak agama’. Jangan kita menjadi fitnah. Jangan sampai Islam itu tercalar disebabkan peribadi kita.

‘Budak agama’ adalah pewaris Rasulullah SAW. Manusia akan melihat dan memerhati ‘budak agama’ walaupun ‘budak agama’ tidak perasan akannya.

Bila ‘budak agama’ couple, mereka akan kata couple itu boleh. Bila ‘budak agama’ mencarut, mereka akan kata mencarut itu boleh. Bila ‘budak agama’ buat benda tak elok, mereka akan kata buat benda tak elok itu boleh.

Sebab, kebanyakan masyarakat adalah manusia yang tidak mengetahui, jahil terhadap hakikat Islam yang sebenar. Maka ‘budak agama’ adalah dalil bagi mereka. Mereka melihat ‘budak agama’ sebagai contoh dalam kehidupan mereka.

Kalau mereka tidak tersasar dengan perangai buruk ‘budak agama’, paling kurang pun mereka akan hilang kepercayaan kepada ‘budak agama’. Lebih buruk, mereka hilang kepercayaan kepada Islam itu sendiri.

“Dan sesungguhnya, di antara mereka (Ahli Kitab itu) ada (Ketua-ketua ugamanya) yang memutar-mutar lidahnya semasa membaca Kitab Taurat (dengan mengubah maknanya), supaya kamu menyangkanya sebahagian dari Kitab Taurat padahal ia bukanlah dari Kitab itu. Dan mereka pula berkata: “(bahawa) ia adalah (datangnya) dari sisi Allah”, padahal ia bukanlah dari sisi Allah; dan mereka pula tergamak berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta).” Surah Ali Imran ayat 78.

Pernah satu ketika, terdengar suara-suara mereka yang menggelar diri mereka "bukan budak agama".

“Aku ni, pernah tengok dengan mata kepala aku sendiri, perempuan tudung labuh bercumbu dalam kereta. Dulu, aku memang hajat isteri aku orang pakai tudung labuh. Tapi lepas tengok tu, hampeh, aku dah tak percaya sesiapa dah”

Dan dia berkata kepada saya begitu, sebab dia tahu saya ‘budak agama’.

Jangan jadi fitnah. Nanti di akhirat kelak, tengkuk-tengkuk kita akan terikat bersama dosa-dosa orang lain yang melakukan dosa disebabkan mereka mengikuti kita.



Penutup: Kenapa tak tegur mereka?

Ya. Akan ada dari kalangan ‘budak agama’ yang melenting bila membaca tulisan saya. Pasti akan ada yang berkata: “Ala, takkan cakap fasal budak agama kut? Budak lain lagi teruk”
 
Saya tak akan rasa hairan kalau orang yang tidak belajar agama, melakukan perlanggaran kepada arahan Allah SWT. Hal ini kerana, mereka tidak tahu. Maka menjadi tanggungjawab orang yang belajar agama, yang faham dakwah dan tarbiyah, untuk mengajak mereka yang tidak tahu ini.

Tetapi saya akan merasa hairan, kalau orang yang belajar agama, melakukan perlanggaran kepada arahan Allah SWT. Tambah menghairankan saya, dia melanggar arahan Allah SWT dalam keadaan langsung tidak takut, tidak malu, seakan-akan perlanggaran itu satu perkara yang biasa. Sedangkan mereka mengetahui, mempelajari Islam itu sendiri.

Kita boleh lihat perkara ini dalam dua hadith. Pertama, hadith seorang badwi kencing di masjid nabawi. Sahabat-sahabat hendak memarahinya, tetapi Rasulullah menghalang sahabat-sahabat baginda. Bahkan membiarkan sahaja badwi itu kencing sehingga habis. Hal ini kerana, Rasulullah SAW tahu bahawa arab badwi itu tidak mengetahui.

Satu lagi Hadith menceritakan bagaimana Abu Dzar Al-Ghifari memanggil Bilal bin Rabah dengan panggilan: “Hei anak hitam!” Rasulullah pantas menegur dengan bersabda: “Wahai Abu Dzar, aku melihat pada dirimu masih ada sisa jahiliyyah” Teguran Rasulullah ini membuatkan Abu Dzar menangis dan meletakkan kepalanya ke tanah untuk dipijak oleh Bilal. Kenapa Rasulullah menegur sedemikian? Hal ini kerana Rasulullah tahu bahawa Abu Dzar mengetahui sepatutnya adalah tidak patut seorang Mu’min menghina saudara mu’minya yang lain.

‘budak agama’ adalah mengetahui, mempelajari. Sebab itu dengan title ‘budak agama’, kita automaticly menjadi perhatian dan contoh kepada masyarakat. Jangan kerana kita, Islam yang sempurna ini rosak dan menjauhkan mad'u-mad'u untuk mendekati kita..

petikan dari blog: hilal asyraf/ langit ilahi dan ditambah dengan sedikit nukilan sendiri.. =)


sama2lah beristigfar.. Astagfirullah al-azim..
~dalam fasa menginsafi kelemahan diri dan berusaha untuk memperbaiki.. wallahua'lam~

Monday, October 11, 2010

adakah dia sahabatku??

 بسم الله الرحمن الرحيم

Sudah lama menyepikan diri dalam layar penulisan. Dek kerana lelah mencari-cari diri yang sebenar memandangkan sejak akhir-akhir ini sering dilanda konflik diri dan identiti. Entah apa sebabnya. Ditambah pula dengan bebanan assigmen yang datang bergolek di setiap penghujung semester. "Aku perlu gagahkan langkahku kerana pejuang agama tidak akan sesekali tersungkur hanya dengan ujian ringan yang menimpa," monologku dengan diri sendiri. Betulkah aku pejuang agama? Berasa malu dengan Allah tatkala fitrah manusia datang menjengah kotak hati, membuatkan aku perlu bermujahadah tinggi, menganggu hati untuk berjuang, peritnya seperti menelan garam, malah merungsingkan diri dengan mainan perasaan.. 

Di saat diri jadi begini, mungkin sahabatlah yang aku cari. tapi siapakah dia? yang sudi memahami diri, menasihati kelemahan yang makin aku serlahkan kian hari. Sememangnya mempunyai satu sahabat sejati lebih berharga dari seribu teman yang mementingkan diri sendiri. Apa yang kita alami demi teman kadang-kadang melelahkan dan menjengkelkan, tetapi itulah yang membuat persahabatan mempunyai nilai yang indah. 

Semua orang pasti menginginkan sahabat sejati, namun tidak semua orang berhasil mendapatkannya. Banyak pula orang yang telah menikmati indahnya persahabatan, namun ada juga yang begitu hancur karena dikhianati sahabatnya.
 
Tiba-tiba, aku teringat kali terakhir diri ini berada dalam kesulitan. Siapa yang berada di sampingku ???
Siapa yang mengasihiku saat aku merasa tidak dicintai ?? Siapa yang  bersamaku saat aku tak bisa memberikan apa-apa dalam gerak kerja?? Ya, aku yakin dialah sahabat itu. Kerana tiap kali dia tiada di sisi, aku menjadi kesedihan, memikirkan pada siapa harus diluahkan masalah ini. Pada siapa harus aku muhasabah diri untuk bersama-sama mencari resolusi akan masalah hati seorang da'ie. Syukran jiddan pada sahabatku yang amat dicintai, teman susah senang dalam rentak perjuangan di bumi waqafan UKM, Siti Zubaidah Ismail. Mungkin diri ini berani menyatakan bahawa tanpa engkau, aku tidak mampu bertahan lagi. 

Moga kita bersama menjadi muslimah solehah. Tidak memandang dan tidak suka dipandang. kerana kita mempunyai harga diri. Betapa mahalnya muslimah yang cintakan perjuangan. Engkau bertuah kerana tidak diuji masalah hati seperti diri yang hina ini. Aku berdoa agar Allah satukan hati kita dan meneguhkan diri kita di jalan dakwah ini. Jika hari ini hari terakhir, diri ini berjumpa kamu, satu harapan daku, agar engkau membaca coretan hati ini. Yang diilhamkan setelah aku menghadap Pencipta, agar aku diberikan ketenangan dari masalah2 yang menimpa.

Akhir kalam, dalam masa kejayaan, teman-teman mengenal kita. Dalam kesengsaraan, kita mengenal teman-teman kita. Di dalam kekayaan, sahabat kita mengenal kita; di tengah kekurangan, kita mengenal siapa sahabat kita. Terimalah sebuah lagu rindu buatmu.. teman sejati..
  
Selama ini Ku mencari-cari Teman yang sejati Buat menemani Perjuangan suci Bersyukur kini PadaMu Illahi Teman yang dicari Selama ini Telah kutemui Dengannya di sisi Perjuangan ini Senang diharungi Bertambah murni Kasih Illahi KepadaMu Allah Kupanjatkan doa Agar berkekalan Kasih sayang kita Kepadamu teman Ku pohon sokongan Pengorbanan dan pengertian Telah ku ungkapkan Segala-galanya... KepadaMu Allah Kupohon restu Agar kita kekal bersatu Kepadamu teman Teruskan perjuangan Pengorbanan dan kesetiaan Telah ku ungkapkan Segala-galanya Itulah tandanya Kejujuran kita
 
Al-faqirah ilallah,
nanie mujahidah..

Sunday, September 26, 2010

Semakin suntuk untukku...

بسم الله الرحمن الرحيم 

Ku hadapkan kesyukuran padaMU Ya Allah atas kesempatan yang masih Engkau berikan buatku pada tika ini.. Tanggal 24 September yang lalu, bersamaan 15 Syawal 1431H di hari Jumaat penuh barakah,  genaplah kehidupanku di alam fana ini selama 20 tahun, menghitung dosa-dosa yang telah aku lakukan, sudah cukup membuatku menitiskan air mata keinsafan. Sejauh mana aku menyumbang pada Islam..

Terima kasih Ya Allah untuk usia yang telah Engkau berikan. Terima kasih juga untuk setiap rezeki yang Engkau kurniakan. Terima kasih untuk setiap cubaan yang Engkau turunkan.Terima kasih untuk bakat dan ilham yang Engkau anugerahkan. Sesungguhnya terlalu banyak yang telah Engkau berikan kepadaku...dan terlalu sedikit pengabdianku terhadapMu.


Engkau tetap menerima walau terkadang aku alpa, aku lupa, aku tersilap dan khilaf menafsir makna setiap kurniaan dan dugaan. Namun begitu besar kasihMu...Engkau tetap melindungi aku walaupun terkadang aku kalut merungut ketika saat-saat lemahku datang.Aku tidak pernah menafikan hakMu sebagai Khaliq walaupun terkadang aku terbuai dengan kesedihan dan kesakitan yang amat pedih.


Ampunkan aku Ya Allah pabila aku merintih nasibku di hadapanMu. Kalau bukan kepadaMu, kepada siapa lagi harus ku mengadu? Aku tidak pernah menyesali kewujudanku ini Ya Allah...namun aku hanyalah hambaMu yg dhaif dan lemah. Adakalanya aku kurang kesabaran. Ada masanya aku goyah keimanan. Ada masanya aku hampir terikut bisikan syaitan. Namun dengan limpahan kasih sayangMu, Engkau menarikku kembali jauh daripada kesesatan.


Dalam usia begini...aku ingin menjadi lebih dekat padaMu Ya Rahman. Dalam usia yang makin jauh ini...aku ingin lebih merinduiMu Ya Rahiim. Dalam usia meniti senja ini...aku ingin sekali menyambut panggilan KaabahMu Ya Al Malik.Dalam usia ubanan ini yang ku inginkan hanyalah ketenangan, kekusyukan beribadah, segala kesederhanaan dan kerendahan hati tanpa berhenti menghulur kasih pada yang sudi.


Ya Muhaimin...pimpinlah tangan hambaMu ini...pimpinlah hati hambaMu ini...pimpinlah langkah hambaMu ini akan sentiasa berpijak di atas jalan kebenaran. Ya Al Quddus... sebagai hambaMu yang hina dina, aku takkan mungkin mencapai sempurna, tapi kasihanilah aku... bimbinglah aku sentiasa agar aku mampu meniti titian siratulmustakimMu dengan tenang dan mudah tanpa cela.


Ya Al Hakiim...berikanlah ilham kepadaku agar aku mampu terus berkarya. Agar aku terus mampu memberikan sedikit ikhtibar dan dakwah dengan caraku. Hulurkan kepadaku bijaksana agar aku mampu terus memacu kalam keinsanan sehingga tiba masanya Engkau menjemputku pergi.


Terima kasih Ya Allah atas segala takdir yang telah Engkau tentukan untukku. Engkaulah Ya Maha Besar... peliharalah aku si yatim piatu ini agar terus berpegang teguh pada taliMu.


Terimalah permohonan hambaMu yang sedang bermusafir di bumiMu ini Ya Al Mudzill.

Amin Ya Rabbul Alamin. 

Sahabat2ku, andai esok tiada lagi buatku, maka teruskanlah perjuangan kamu semua untuk Islam.. kerana itu adalah cita-citaku, namun atas kelalaianku, waktu terus berlalu dan masa ku semakin suntuk..  Ampunkan aku Ya Rabb atas segala dosa-dosaku. Buat ibuku, terima kasih kerana telah melahirkanku dan mendidikku dengan keteguhanmu. Buat ayahku, pemergianmu amat aku rindui. kini aku hidup tanpa kasih sayang ayah buatku.. Namun aku tahu, impianmu agar aku menjadi anak perempuan yang solehah agar sentiasa mendoakanmu di alam sana.. teramat rindu ayah.. Buat semua sahabatku, terimalah huluran maafku andai sepanjang hidupku, menyakiti kamu adalah rutin harianku. 

Selamat Hari Lahir buat diriku... sesungguhnya mati menghampiriku.. kini masa semakin suntuk untukku.. Astagfirullah al-azim..3x



Salam penuh cinta,

nanie mujahidah..