Wednesday, November 24, 2010

Kenapa mesti ada neraka kalau Allah itu Maha Baik?

بسم الله الرحمن الرحيم

Salam jihad buat sahabat2 kecintaan ana. Untuk pengisian kali ini, sukalah ana untuk berkongsi sesuatu yang ana perolehi sewaktu sedang membaca artikel2 di laman sesawang sebentar tadi. Persoalan ini pernah diajukan kepada ana oleh seorang mad'u, jadi ana berpendapat tidak mustahil jika ianya juga akan menjadi tanda tanya pada sahabat2.. Jadi, moleklah jika ana berkongsi jawapan2 yang ana perolehi yang ana lihat sedikit sebanyak dapat membantu kita berfikir secara telus dan rasional akan pertanyaan2 yang jika kita salah mentafsir dan tidak bijak dalam memberi penjelasan, mampu menggoyahkan aqidah sebagai seorang Muslim. 

Ini kisah benar.. Kisah seorang gadis Melayu, beragama Islam, tapi cetek pengetahuan tentang agama. Ceritanya begini, di sebuah negeri yang melaksanakan dasar 'Membangun Bersama Islam', kerap kali pihak berkuasa tempatan menjalankan pemeriksaan mengejut di premis-premis perniagaan dan kompleks beli-belah, untuk memastikan para pekerja di premis berkenaan menutup aurat. Lazimnya dalam setiap operasi sebegini, seorang ustaz ditugaskan bersama dengan para pegawai pihak berkuasa tempatan. Tugasnya adalah untuk menyampaikan nasihat secara berhemah, kerana hukuman dan denda semata-mata tidak mampu memberi kesan yang mendalam. 
Dalam satu insiden, ketika operasi yang dijalankan sekitar 2005, seorang gadis yang bekerja di salah satu lot premis perniagaan di  sebuah pasaraya  telah didapati melakukan kesalahan tidak menutup aurat.
Maka dia pun kena denda.
Setelah surat saman dihulurkan oleh pegawai PBT, ustaz ni pun bagi la nasihat, "lepas ini diharap saudari insaf dan dapat mematuhi peraturan.
Peraturan ni bukan semata-mata peraturan Majlis perbandaran, tapi menutup aurat ni termasuk perintah Allah. Ringkasnya, kalau taat segala perintahNya, pasti Dia akan membalas dengan nikmat di syurga.
Kalau derhaka tidak mematuhi perintahNya, takut nanti tidak sempat bertaubat, bakal mendapat azab di neraka Allah.
Tuhan Maha Penyayang, Dia sendiri tidak mahu kita campakkan diri ke dalam neraka."
Gadis tersebut yang dari awal mendiamkan diri, tiba-tiba membentak "Kalau Tuhan tu betul-betul baik, kenapa buat neraka?
Kenapa tidak sediakan syurga sahaja? Macam itu ke Tuhan Maha Penyayang?" Mungkin dari tadi dia sudah panas telinga, tak tahan dengar nasihat ustaz. Sudah  la hati panas kena denda sebab dia tak pakai tudung.
Ustaz tu terkedu sekejap. Bahaya budak ni. Kalau dibiarkan boleh rosak akidah dia.
Setelah habis gadis tu membebel, ustaz tu pun jawab: "Dik, kalau Tuhan tak buat neraka, saya tak jadi ustaz.
Berapa sen sangat gaji saya sekarang. Baik saya jadi tokey judi, atau bapa ayam.
Hidup senang, lepas mati pun tak risau sebab gerenti masuk syurga.
Mungkin awak ni pun saya boleh culik dan jual jadi pelacur.
Kalau awak nak lari, saya bunuh je. Takpe, sebab neraka tak ada. Nanti kita berdua jumpa lagi kat syurga. Kan Tuhan tu baik?"
Gadis tu terkejut. Tergamak seorang ustaz cakap macam tu? Sedang dia terpinga-pinga dengan muka confused, ustaz tu pun jelaskan:
"Perkara macam tadi akan berlaku kalau Tuhan hanya sediakan syurga. Orang baik, orang jahat, semua masuk syurga.
Maka apa guna jadi orang baik? Jadi orang jahat lebih seronok. Manusia tak perlu lagi diuji sebab semua orang akan 'lulus' percuma.
Pembunuh akan jumpa orang yang dibunuh dalam syurga. Perogol akan bertemu lagi dengan mangsa rogol di syurga.
Selepas tu boleh rogol lagi kalau dia nak. Tak ada siapa yang terima hukuman. Sebab Tuhan itu 'baik'.
Adakah Tuhan macam ni yang kita nak? Awak rasa, adil ke?" Tanya ustaz.
"Mana adil macam tu. Orang jahat takkan la terlepas macam tu je." Rungut si gadis.
Ustaz tersenyum dan menyoal lagi: "Bila tuhan tak adil, boleh ke dianggap baik?"
Gadis tu terdiam.
Ustaz mengakhiri kata-katanya:
"Adik, saya bagi nasihat ni kerana kasih sesama umat Islam. Allah itu Maha Penyayang, tapi Dia juga Maha Adil.
Sebab tu neraka perlu wujud. Untuk menghukum hamba-hambaNya yang derhaka, yang menzalimi diri sendiri dan juga orang lain.
Saya rasa awak dah faham sekarang. Kita sedang diuji di atas dunia ni.
Jasad kita bahkan segala-galanya milik Allah, maka bukan hak kita untuk berpakaian sesuka hati kita.
Ingatlah, semuanya dipinjamkan olehNya, sebagai amanah dan ujian.
Semoga kita dapat bersabar dalam mentaati segala perintahNya, untuk kebaikan diri kita juga."

It's your turn!!

Salam perjuangan.. hari ini hari ketiga peperiksaan SPM berlangsung. Ini bermakna, hari ketiga juga adik lelaki saya berjuang memuntahkan segala ilmu yang diperolehi.. Sejak akhir-akhir ini, soleh jugak dia ye.. nak exam la katekan. 


Adik lelaki saya ni misteri jugak kadang2.. selalu kalau ujian bulanan atau peperiksaan kat sekolah, mesti dapat keputusan yang tidak memberangsangkan. Tapi bila peperiksaan besar, alhamdulillah pasti cemerlang. Biasalah, lelaki kan kuat main. Mase dia UPSR dulu, setiap kali peperiksaan, mesti berderet gred D dan E. tapi keputusan UPSR sebenar, dpat 5A. Arwah abah sangat gembira sampaikan menitis air mata. Sebab waktu 2, saya pula menduduki PMR dan mendapat 9A. Kami berdua dapat hadiahkan abah sesuatu sebelum abah pergi buat selamanya.. =(

Masa adik saya ni PMR, macam biasa la, setiap kali exam, cantik je slip die.. semua C, D, E. Surat amaran pindah sekolah pun dah berapa banyak kali dapat memandangkan dia bersekolah di sebuah sekolah terkenal, tapi exam sebenar, alhamdulillah dapat 6A 2B.. ok la tu kan.. hurm..

Apa2pun, semoga dia dapat buat yang terbaik dan mencipta kemisterian lagi untuk SPM kali ini walaupun peperiksaan bulanan selalu dapat teruk jugak.. Dalam hidup dia, bola sepak je dia tahu. Semoga berjaya diucapkan kepada Mohd Anuar bin Jumahir... satu-satunya adik lelaki saya.. =) Now, it's your turn. Buat yang terbaik. Jangan jadi mcm kak nanie, tersungkur masa SPM, x dapat nak pi blaja oversea... sob.. sob.. tapi blaja kat Malaysia pun ok what! hehe.. 

~All da best dari kami sekeluarga buat adikku~


Tuesday, November 2, 2010

Takut hidup tanpa redhaMu...

Salam mujahadah buat sahabat2 pencinta jihad, penyambung rantai dakwah. Dalam episod perjuangan ana kali ini, sukalah ana untuk merespon isu yang menjadi hangat dan sensitif di kalangan umat Islam arus perdana. Bilamana selepas timbulnya isu Islamic Fashion Festival yang cukup mencabar kredibiliti umat Islam, kini lahir pula isu mengenai hub hiburan. Hasrat pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah hub pusat hiburan malam bagi memacu industri pelancongan mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP) adalah sesuatu yang mendukacitakan. Sebagai mahasiswa Islam, kita perlu cakna akan hal ini dan secara tidak langsung melontarkan rasa keprihatinan kita apabila melihat hukum Allah bagaikan diinjak-injak oleh orang Islam itu sendiri. 

Malah satu daripada 12 projek permulaan (EPP) itu adalah melonggarkan syarat ketat bagi penganjuran konsert dan majlis antarabangsa, sebab itulah makin mudah artis seperti Adam Lambert yang membawa unsur gay dan Rihanna yang menyuntik jarum illuminati untuk mengadakan konsert-konsert yang tidak bertatasusila di negara Islam ini. Saya melihat kedudukan Islam dan umat Islam semakin hari semakin diganyang oleh pihak kerajaan bilamana polemik penghinaan terhadap Islam terus-terusan mencetus bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Mana perginya ikrar Perdana Menteri yang mengakui kedudukan Islam sebagai agama rasmi di Malaysia? dan kemana lenyapnya janji Raja-Raja Melayu yang telah berikrar untuk memelihara Islam pada setiap masa seperti yang terdapat di dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan? Nampaknya semua itu hanyalah retorik dan terpateri cantik di dalam Perlembagaan Persekutuan semata-mata. Alahai Malaysia, alahai 1 Malaysia.

Rakyat Malaysia khususnya orang Islam telah disogok dengan pelbagai rancangan hiburan melalui setiap sudut. Sekarang budaya berhibur ini mahu ditambahkan lagi dengan konsert-konsert dan pertunjukan yang langsung tidak mencerminkan budaya masyarakat timur. Dengan kadar jenayah seperti pembunuhan, rogol dan pembuangan bayi yang semakin meningkat, kehadiran hub hiburan malam hanya akan menambahkan lagi statistik jenayah ini sahaja. Dengan membudayakan hub hiburan ini sudah pasti masyarakat Malaysia akan terus pincang dengan kebejatan akhlak dan moral khususnya di kalangan muda-mudi yang sememangnya sudah mencapai tahap parah. Namun, saya melihat pihak kerajaan tidak berfikir panjang soal itu dan hanya mengidamkan aspek keuntungan negara. Mereka sepatutnya perlu sedar bahawa kekayaan ekonomi negara sendiri akan punah sekiranya rakyat hanya mahu berhibur dan tidak berusaha sepenuhnya mencapai kejayaan.

Namun, jauh di sudut hati saya, saya cukup kecewa bilamana terdapat segelintir golongan mahasiswa yang sepatutnya menjadi golongan pemikir untuk kebaikan negara pada masa akan datang yang menyokong sepenuhnya hasrat kerajaan yang kononnya dikatakan murni ini. Malah saya menolak sekeras-kerasnya pandangan mereka yang mengatakan bahawa lontaran idea hub hiburan ini merupakan satu langkah yang cukup bijak bagi mengatasi gejala-gejala negatif yang timbul apabila hiburan disekat sekeras-kerasnya oleh pihak tertentu memandangkan mereka tiada tempat untuk berhibur, dan keadaan inilah yang akan menyebabkan berlakunya masalah seperti pusat-pusat hiburan haram dan gejala lepak di jalanan. Bagi saya, pandangan ini merupakan buah fikiran yang kurang bijak bagi seseorang yang bergelar mahasiswa intelektual yang tidak memandang jauh ke hadapan dan hanya berada di takuk yang lama. Mungkin mereka ini terdiri daripada golongan yang takut untuk menghadapi kenyataan hari mendatang. 

Sekiranya pelan hub hiburan ini dapat direalisasikan, jelaslah pada kita bahawa pihak yang bertanggungjawab telah berjaya menghancurkan rakyat Malaysia khususnya masyarakat Islam. Lebih mengejutkan, EPP mencadangkan penubuhan zon hiburan di lima negeri, termasuk Lembah Klang yang akan menyaksikan terdapat sekurang-kurang 10 kelab malam menjelang 2014. Nauzubillah.. saya cukup takut sekiranya kita hidup di dunia ini tanpa redhaNya. Lihatlah dengan adanya kilang arak terbesar di Asia Tenggara yang terletak di Lembah Kelang, kini hendak ditambah pula dengan kehadiran kelab-kelab malam yang menjadi sarang maksiat.

Oleh itu, sukalah saya untuk menyeru dan mengajak sahabat2 sekalian agar menzahirkan keprihatinan dan sensitiviti kalian terhadap kemuliaan Islam yang semakin dirobek kejam oleh anasir-anasir luar. Jangan kita hanya berdiam diri dan bertindak angguk-angguk, geleng-geleng sahaja. Kerana diam itu tanda setuju dan bermaksud kita menerima bulat-bulat apa yang pemimpin kita jalankan walaupun bertentangan dengan garis panduan Islam yang sebenarnya. Ayuh katakan TIDAK pada hub hiburan. Bantah HEDONISME! Selamatkan ekonomi Malaysia.. ke arah menuju negara Islam yang diredhai...

kerana saya takut untuk hidup tanpa redhaNya bilamana kita diuji dengan cinta dunia, harta, pangkat dan segala-galanya.. wallahua'lam..




Cakna isu semasa,
nanie mujahidah.. ^_^