Tuesday, November 2, 2010

Takut hidup tanpa redhaMu...

Salam mujahadah buat sahabat2 pencinta jihad, penyambung rantai dakwah. Dalam episod perjuangan ana kali ini, sukalah ana untuk merespon isu yang menjadi hangat dan sensitif di kalangan umat Islam arus perdana. Bilamana selepas timbulnya isu Islamic Fashion Festival yang cukup mencabar kredibiliti umat Islam, kini lahir pula isu mengenai hub hiburan. Hasrat pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah hub pusat hiburan malam bagi memacu industri pelancongan mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP) adalah sesuatu yang mendukacitakan. Sebagai mahasiswa Islam, kita perlu cakna akan hal ini dan secara tidak langsung melontarkan rasa keprihatinan kita apabila melihat hukum Allah bagaikan diinjak-injak oleh orang Islam itu sendiri. 

Malah satu daripada 12 projek permulaan (EPP) itu adalah melonggarkan syarat ketat bagi penganjuran konsert dan majlis antarabangsa, sebab itulah makin mudah artis seperti Adam Lambert yang membawa unsur gay dan Rihanna yang menyuntik jarum illuminati untuk mengadakan konsert-konsert yang tidak bertatasusila di negara Islam ini. Saya melihat kedudukan Islam dan umat Islam semakin hari semakin diganyang oleh pihak kerajaan bilamana polemik penghinaan terhadap Islam terus-terusan mencetus bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Mana perginya ikrar Perdana Menteri yang mengakui kedudukan Islam sebagai agama rasmi di Malaysia? dan kemana lenyapnya janji Raja-Raja Melayu yang telah berikrar untuk memelihara Islam pada setiap masa seperti yang terdapat di dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan? Nampaknya semua itu hanyalah retorik dan terpateri cantik di dalam Perlembagaan Persekutuan semata-mata. Alahai Malaysia, alahai 1 Malaysia.

Rakyat Malaysia khususnya orang Islam telah disogok dengan pelbagai rancangan hiburan melalui setiap sudut. Sekarang budaya berhibur ini mahu ditambahkan lagi dengan konsert-konsert dan pertunjukan yang langsung tidak mencerminkan budaya masyarakat timur. Dengan kadar jenayah seperti pembunuhan, rogol dan pembuangan bayi yang semakin meningkat, kehadiran hub hiburan malam hanya akan menambahkan lagi statistik jenayah ini sahaja. Dengan membudayakan hub hiburan ini sudah pasti masyarakat Malaysia akan terus pincang dengan kebejatan akhlak dan moral khususnya di kalangan muda-mudi yang sememangnya sudah mencapai tahap parah. Namun, saya melihat pihak kerajaan tidak berfikir panjang soal itu dan hanya mengidamkan aspek keuntungan negara. Mereka sepatutnya perlu sedar bahawa kekayaan ekonomi negara sendiri akan punah sekiranya rakyat hanya mahu berhibur dan tidak berusaha sepenuhnya mencapai kejayaan.

Namun, jauh di sudut hati saya, saya cukup kecewa bilamana terdapat segelintir golongan mahasiswa yang sepatutnya menjadi golongan pemikir untuk kebaikan negara pada masa akan datang yang menyokong sepenuhnya hasrat kerajaan yang kononnya dikatakan murni ini. Malah saya menolak sekeras-kerasnya pandangan mereka yang mengatakan bahawa lontaran idea hub hiburan ini merupakan satu langkah yang cukup bijak bagi mengatasi gejala-gejala negatif yang timbul apabila hiburan disekat sekeras-kerasnya oleh pihak tertentu memandangkan mereka tiada tempat untuk berhibur, dan keadaan inilah yang akan menyebabkan berlakunya masalah seperti pusat-pusat hiburan haram dan gejala lepak di jalanan. Bagi saya, pandangan ini merupakan buah fikiran yang kurang bijak bagi seseorang yang bergelar mahasiswa intelektual yang tidak memandang jauh ke hadapan dan hanya berada di takuk yang lama. Mungkin mereka ini terdiri daripada golongan yang takut untuk menghadapi kenyataan hari mendatang. 

Sekiranya pelan hub hiburan ini dapat direalisasikan, jelaslah pada kita bahawa pihak yang bertanggungjawab telah berjaya menghancurkan rakyat Malaysia khususnya masyarakat Islam. Lebih mengejutkan, EPP mencadangkan penubuhan zon hiburan di lima negeri, termasuk Lembah Klang yang akan menyaksikan terdapat sekurang-kurang 10 kelab malam menjelang 2014. Nauzubillah.. saya cukup takut sekiranya kita hidup di dunia ini tanpa redhaNya. Lihatlah dengan adanya kilang arak terbesar di Asia Tenggara yang terletak di Lembah Kelang, kini hendak ditambah pula dengan kehadiran kelab-kelab malam yang menjadi sarang maksiat.

Oleh itu, sukalah saya untuk menyeru dan mengajak sahabat2 sekalian agar menzahirkan keprihatinan dan sensitiviti kalian terhadap kemuliaan Islam yang semakin dirobek kejam oleh anasir-anasir luar. Jangan kita hanya berdiam diri dan bertindak angguk-angguk, geleng-geleng sahaja. Kerana diam itu tanda setuju dan bermaksud kita menerima bulat-bulat apa yang pemimpin kita jalankan walaupun bertentangan dengan garis panduan Islam yang sebenarnya. Ayuh katakan TIDAK pada hub hiburan. Bantah HEDONISME! Selamatkan ekonomi Malaysia.. ke arah menuju negara Islam yang diredhai...

kerana saya takut untuk hidup tanpa redhaNya bilamana kita diuji dengan cinta dunia, harta, pangkat dan segala-galanya.. wallahua'lam..




Cakna isu semasa,
nanie mujahidah.. ^_^

3 comments:

MOH KEMBARA said...

Salam Adik, katakan 'Tidak' pada pemerintah yang kejam dan yg jauh dari perintahNya dalam PRU13 nanti. Selamat berjuang! Moh ikut blog Cikgu pula, tentang kembara mostly. I follow U. Tima kasih!

Anonymous said...

salam akk.slamat bejuang..

Areyoudys said...

salam..hm..
kesedaran yang semakin malap..
tunggu bala dari-Nya.wallahu'alam..
teringat lagu kumpulan Raihan."demi masa" dan juga Hijjaz. "Fatamorgana"