Tirai Ramadhan bakal menjelma. Jika dikira termasuk Ramadhan yang akan tiba nanti, bermakna sudah 5 tahun ana hidup tidak berayah. Pantas masa berlalu. Namun kasih buat abah masih panas di rasakan. Tiada gambar.. Tiada peninggalan. Yang ada hanya kenangan. "Ya Allah, janganlah Engkau lupuskan wajah ayahku dari kotak ingatanku..", getus hatiku.
Kami sekeluarga tidak pernah ambil gambar bersama. Setiap kali hari raya, memang pun kami nak ambil gambar bersama tapi kami tidak ada kamera. Bila kakak dah beli kamera, tanpa sempat mengambil gambar satu keluarga, abah pergi dulu menghadap Ilahi.
Ingat lagi waktu dulu, ana tinggal di asrama. Setiap kali menelefon rumah, pasti dengar suara abah tengah sebak menahan tangisan. Kalau balik rumah, abah pasti menitiskan air mata menyambut kepulangan ana. Apatah lagi bila nak pulang semula ke asrama, abah akan menangis lagi melepaskan ana pergi. Ana tahu, abah menangis kerana mahukan anaknya berjaya. Tapi tangisan abah itu seolah-olah seperti dia tahu bahawa dia tidak akan sempat melihat anak-anaknya membesar dengan berjaya. Kerana masa buatnya hampir tiba.
Ya, memang cemburu melihat semua teman ber ayah, namun ana gagah menjalani hidup sebagai anak yang berdikari. Walaupun abah seorang yang garang, namun kerana pengorbanan dan didikannya, ana menjadi seperti diri ana sekarang. Kerana ana tahu, seorang anak perempuan akan menarik 4 golongan lelaki dalam hidupnya andai berbuat dosa iaitu ayahnya, suaminya, abangnya dan anak lelakinya. Ana tidak ingin menempah tiket buat abah ke neraka. Oleh sebab itulah, ana memilih jalan kebenaran, menjadi seorang muslimah bertudung labuh, berpendirian teguh walaupun diri ana masih banyak kekurangan.
Jika ana tidak ada kesedaran dan tanpa bekal didikan abah dulu, pasti ana sudah memilih jalan yang salah kerana ia pernah terdetik di hati ana dahulu sewaktu darah anak remaja mula mengalir. Ana bertuah, punya keluarga yang lengkap, dari abang, kakak, hinggalah adik perempuan dan adik lelaki. Cukup pakej yang tak semua orang dapat miliki. Itu kelebihan yang Allah beri pada keluarga kami walaupun abah telah dijemput pergi.
Nukilan ini diluahkan kerana beberapa hari yang lepas adalah hari lahir abah. Yang x pernah kami sambut dan hargai. Hanya doa yang mampu diberi. Moga abah bahagia di alam sana. Ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Ameen..
Wahai teman-teman yang punya ayah, hargailah dia. Jangan bila sudah tiada, baru kalian akan menyesali. Hingga ke saat ini, ana masih dahagakan kasih ayah. Pernah satu ketika, ana mendesak kakak ana untuk kahwin cepat. Bukan apa, sebab di fikiran ini, ayah mertua kakak pasti akan menjadi ayah ana juga nanti. Tapi semuanya tidak menjadi kenyataan. Kakak telah pun berkahwin. Tapi ayah mertua itu hanya rapat dengan menantunya. Mungkin itu memang kebiasaan. Hanya ana yang tidak mengetahui lumrah kehidupan. Kerana itulah ana pernah menanamkan hasrat untuk walimah awal. Bukan kerana sudah bersedia atau tidak sabar-sabar, tetapi hanya mahukan belaian seorang ayah. Tapi hasrat ini diketepikan dulu. Kerana ana punya hasrat perjuangan. Andai syahid yang terlebih dahulu menjemput, biar ana bertemu abah di syurga nanti.
Dalam diam, sebenarnya ana pernah menganggap ayah kepada sahabat-sahabat ana sebagai ayah kandung ana sendiri. Namun, bezanya ana tidak mendapat kasih seperti yang dicurahkan kepada mereka. Ana hanya mampu mengharap dalam diam, melihat di kejauhan, merasai di benak jiwa yang mendalam.
Buat al-marhum abah, kasih selamanya buatmu. Maafkan anakmu andai tidak menjadi permata yang terbaik. InsyaAllah azamku menjadi anak solehah seperti idamanmu. Moga abah bahagia melihat anakmu berada di jalan perjuangan ini ke arah mendapatkan redha Allah. Al-fatehah..
rindu kasih abah~
6 comments:
abah saya pun pergi masa ramadhan.. dah 7tahun..
usah risau,bukankah kehdupan sebnar nti di akhirat kelak..? insyaAllah doalah smoga dipertemukan dengan ayah nti di sana dalam sebuah kehidupan yg kekal dan abadi..
Allah...terkenang waktu Nana menangis dulu2 di sekolah bercerita tentang arwah abah kamu berdua.... tabah ye Nani.. moga diberi kekuatan..
semoga ayah nani d tempatkan dlm kalangan org2 yang beriman...dan semoga nani tabah dalam ape yg berlaku...Allah sayang nani sbb tu Allah nak uji nani...kuatkan semangat...all the best...:)
adik yg kuat!! berdoalah tiap pahala langkah kebaikan dlm perjuanganmu disedekahkan buat arwah abah tersayang. doa anak-anak yg soleh adalah mutiara yg tidak akan putus~
semoga menjadi anak solehah yang mendoakan kedua org tuanya.amal kebajikan buat arwah ayahandamu.selamat berbakti naniku.
Post a Comment