Thursday, February 16, 2012

Sungguh indahnya Dhuha buatMu Allah..

Berkata Abu Murrah Ath-Tha’ifi r.a. bahawasanya Nabi s.a.w. telah bersabda : Allah telah berfirman:
“Wahai anak Adam! Bersembahyanglah untuk Aku di awal pagi, niscaya Aku akan mencukupimu di akhirnya.”(Riwayat Ahmad)
Hadis Qudsi ini menganjurkan kita mengerjakan Solat Dhuha yang mana antara faedahnya, Allah Ta’ala memberi jaminan akan melaksanakan segala keperluan-keperluan keduniaan manusia setiap hari.
Allahuakbar.. Janji Allah itu pasti. Sungguh dua rakaat dhuha itu boleh menarik rezeki dan menolak kepapaan seperti sabda Rasulullah S.A.W yang tertulis dalam kitab "An-Nurain". Pelbagai keagungan dan kebesaranNya yang Allah tunjukkan padaku melalui barakah solat Dhuha.


Maka, nikmat apalagi yang ingin engkau dustakan wahai manusia.. Hanya itu yang mampu saya katakan andai masih ada lagi yang tidak ingin berpegang dengan kalimah Allah dan membenarkan kekuasaan Allah..
Sungguh sukar untuk saya menafsirkan apa yang saya rasakan. Tapi saya cukup yakin sahabat-sahabat mampu memahami maksud yang ingin saya sampaikan. Sepanjang saya melalui hari-hari yang kadang kala penuh keperitan dan kesempitan, Allah turunkan nikmat buat hambaNya. Ya Allah.. Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Dengan berkat Solat Dhuha yang tulus buat penciptanya dan pengharapan yang tinggi pada Allah yang satu, Allah pasti tidak kedekut untuk meringankan beban hambanya.
Ya, saya bukanlah insan yang cukup istiqomah untuk melakukan solat dhuha. Dan kerana itulah saya cukup malu dan merasa hina untuk berhadapan dengan Allah kerana setiap kali diri ini kesusahan, dan solat Dhuha dilakukan, pasti Allah makbulkan. Pelbagai peristiwa yang berlaku pada saya yang sungguh buat saya cukup bersyukur padaMU Allah.. Hidup sememangnya untuk bersyukur. Namun, x ramai yang sedar dan mampu melakukannya. Mereka tidak pernah merasa cukup dengan nikmat Allah. Dan kemungkinan saya juga tergolong dalam kalangan itu tanpa saya sedari. "Ya Allah, andai aku lalai dan leka, maka sedarkanlah, janganlah Engkau jadikan aku hambaMu yang tidak bersyukur."
Sekadar berkongsi, pernah satu ketika, saya pergi ke satu program seminar bersama rakan MPP yang lain. Dalam hati saya, cukup pasrah dan berharap agar tidak menggunakan wang langsung sepanjang berada di sana memandangkan semuanya ditanggung oleh pihak penganjur. Memandangkan perjalanan yang cukup jauh dan memenatkan, jadi setelah tiba, rakan2 saya mengajak untuk pergi makan di satu restoran bersama-sama memandangkan program masih belum bermula. Pada waktu itu, saya tidak membawa sebarang wang langsung. Lalu, saya cuba menolak ajakan mereka tetapi didesak untuk pergi bersama. Semestinya malu untuk saya memaklumkan saya tiada wang. Namun, Allah telah membantu saya. Tiba-tiba, saya tersedar di poket blazer saya ada wang kertas berjumlah RM10. Alhamdulillah waktu itu saya dapat mengisi perut yang kekosongan. Saya cukup yakin itu semua pertolongan Allah buat saya. Bila-bila masa sahaja yang Allah kehendaki untuk memberi rezeki pada kita, maka ianya pasti terjadi. Berkat waktu DhuhaNya...
Dan banyak lagi yang ingin dikongsikan. Namun, saya tidak berniat untuk memberitahu setiap peristiwa yang Allah bantu saya untuk menyatakan bahawa sayalah orang yang bertuah. Pokoknya apa yang lebih utama yang ingin saya kongsikan adalah Allah itu sungguh Maha Pemurah. Janganlah kita sombong dan tidak ingin meluangkan masa melakukan solat Dhuha dua rakaat untuk memohon diperluaskan rezeki dan beroleh keberkatan dari Allah. 
Sungguh indahnya Dhuha itu jika kita memanfaatkan sebaiknya buat Pencipta kita..
Jom Dhuha!! (",)

Tuesday, February 14, 2012

Sediakah untuk menuju jalan ini??


Saya bukanlah orang yang gemar untuk membicarakan soal ini. Malah, apabila terlintas untuk memikirkannya, timbul rasa yang cukup hina dan malu untuk berhadapan dengan matlamat hidup saya yang lebih utama iaitu Allahu Rabbi. Namun, menyedari umur yang semakin matang dan meningkat dewasa, saya tahu, masanya akan tiba buat saya. 

"Melihat rumah tangga seseorang berbeza dengan mengalami sendiri alam berumah tangga itu."

Ya, saya akui kata-kata di atas. Kemanisan, kelazatan, kenikmatan dan keberuntungan dalam kehidupan adalah kita dianugerahi pasangan hidup yang meneduhkan jiwa. Melihat, menatap dan saat hidup bersamanya – kita sentiasa disimbahi dengan kesabaran, ketabahan, ketenangan, & kebahagiaan. Dan, tanda hubungan suami isteri itu bahagia dan barakah apabila kedua-duanya semakin dekat, hampir dan sayang kepada Allah SWT.


As-Syahid Imam Hassan Al-Banna pernah berpesan katanya :

“ Kebahagiaan kita tidak terletak pada Harta, tidak pada penampilan diri, tidak juga pada gemerlapan perhiasaan dan keindahan dunia. Ukuran kebahagiaan terikat erat pada HATI dan ruh manusia yang mendamba redha Allah SWT.”

Kerana itulah, persediaan jiwa dan hati sangat penting untuk mengharungi dan menghadapi apa jua ujian-ujian dan kemanisan sepanjang tempoh ini. 

Semoga dengan jalan ini akan menghadirkan rasa cinta yang lebih mendalam dalam diri saya buat Allah yang menciptakan diri ini dan sekalian manusia.. 

Saya bukan mencari lelaki soleh yang saya cintai, tetapi saya mencari lelaki soleh yang mencintai Allah. Kerana lelaki pilihan saya adalah lelaki yang dipilih Allah S.W.T..

Ya Allah, permudahkan urusanku dalam menuju redhaMU..

Saturday, February 11, 2012

Disebalik Anime Naruto: ku persembahkan buat para pejuang Islam..

بسم الله الرحمن الرحيم

Meniti jangka masa cuti yang semakin pantas berlalu, saya sedikit bimbang andainya saya tidak memanfaatkan waktu yang berbaki ini dengan sebaiknya. Jika diikutkan jadual saya, banyak sebenarnya program yang memanggil-manggil. Namun, atas keterbatasan diri dan kesempitan kewangan buat masa ini, saya terpaksa melupakan beberapa program penting dan terperaplah di dalam rumah yang tidak memerlukan sebarang kos. hoho.. 


Sepanjang bergelar mahasiswa di kampus, tidak pernah saya merasai cuti yang amat kosong seperti ini. Saya perlu mengisinya sebagai bekalan hari-hari dalam hidup saya dan barulah menepati ciri-ciri cuti seorang 'Amilin. Tak begitu jah? Tapi bagaimana?? Jauh renungan saya mendarat.. Mencari-cari hiburan mengisi kebosanan hidup.. Susunan buku-buku haraki ada yang sudah dibaca dan masih juga banyak yang belum tapi kebanyakannya bahasa indonesia.. subtitle pulak x de.. payah deh nak paham..hihi.. (getus hati yang pandai je nak lari dari membaca buku kan.. hadoyai..)

Akhirnya, saya terdetik untuk menonton rancangan anime Naruto Shippuden memandangkan ia satu-satunya rancangan yang boleh diterima dek akal pada waktu itu. 



Dulu, saya langsung tidak teruja untuk menonton cerita ini. Tapi kali ini lain dari yang lain. Ada sesuatu yang menarik minat saya iaitu kehenseman Sasuke Uchiha.. :) Ni ulasan sebahagian diri yang masih lagi berjiwa kebudak-budakan.. Namun, jiwa haraki saya pula rajin menganalisis apa yang ada disebalik cerita ini. Dengan melihat, saya cuba untuk menghayati dan menafsir. Sungguh, jalan ceritanya perlu dimanfaatkan oleh para pejuang Islam sekalian. Sambil berhibur, saya belajar untuk mentarbiyah diri. Saya persembahkan beberapa perkara yang penting buat teman seperjuangan..


1) Tidak pernah mengalah dengan pelbagai taktik musuh walau sedahsyat macam mana sekalipun dan yakin dengan kemampuan diri.

~Saya cukup terkesan dengan kata-kata Ustaz Nasrudin Hassan semasa Himpunan 30K Pemuda iaitu: "Dalam kita memperjuangkan agama Allah, segala perancangan dan taktik musuh bukanlah cabaran besar buat kita. Yang menjadi ancaman besar buat kita adalah kelemahan diri kita sendiri"

~Dan dalam kisah Naruto ini, saya melihat Naruto tidak pernah mengalah walaupun musuh mempunyai pelbagai taktik jahat untuk menjatuhkannya. Malah, saya ada terdengar Naruto mengatakan bahawa "i will never give up". Dan akhirnya Naruto menang juga dalam pertarungan itu walaupun sudah terlalu lemah. Jadi benarlah, jangan terus menerus dengan kelemahan yang kita ada, kelak akan memakan diri. Zahirkan kelebihan kita yang sedikit itu untuk menjatuhkan pihak musuh.

2) Saling melengkapi dengan kebolehan masing-masing

~Seperti juga dalam sesuatu organisasi, kita perlu memanfaatkan kebolehan setiap orang. Tidak perlu memaksa orang itu menjadi diri kita atau merendahkan kebolehan yang dia miliki. Kita tidak akan mampu berdiri seorang tanpa adanya sahabat lain. Ya, kemungkinan kita berjaya mungkin ada, tapi waktu itu, pasti kita sudah hampir-hampir tewas dengan diri sendiri.

~Dalam kisah Naruto, ade satu adegan yang saya lihat, kadang-kadang dengan kebolehan  Naruto seorang sahaja, dia tidak mampu untuk menumpaskan musuh. Dia perlu bergabung dengan kekuatan yang ada pada Sakura, Kakashi dan Sasuke untuk menang. Gabungan taktik serangan pada masa yang sama mampu melemahkan pihak musuh. Sampaikan musuh tidak berpeluang untuk menyerang. Semua taktiknya dipatahkan dari segenap sudut.

3) kebersamaan yang mantap

~susah senang bersama. Bergerak dalam satu kumpulan. Seperti yang kita boleh lihat kebersamaan antara Naruto, Sasuke dan Sakura dalam membantu orang-orang yang baik dan menumpaskan orang yang jahat dengan dipantau oleh gurunya Kakashi.


4) True, hard friendship (persahabatan yang sungguh menakjubkan)

~Sahabat yang dahulunya rapat dengan kita dan sentiasa bersama, walaupun telah berubah dan tidak menjadi seperti dirinya yang dahulu, tidak sekali-kali kita sisihkan. Malah kita berusaha untuk mengembalikan dirinya yang asal.

~ Dalam cerita ini, saya melihat Naruto sentiasa menganggap Sasuke sebagai sahabatnya dan berusaha untuk mengembalikan diri Sasuke yang baik memandangkan dia telah dikuasai oleh kuasa hitam yang ada pada dirinya. Malah, Naruto sanggup mengorbankan dirinya untuk menyelamatkan Sasuke. Sasuke pula walaupun seperti tidak mengendahkan Naruto lagi, namun dalam hatinya, dia masih lagi kasih pada sahabatnya. Buktinya, dia bersungguh-sungguh menyerang musuh yang menyakiti Naruto. Kemudian, setelah Naruto cuba menyelamatkannya pula, dia merenung Naruto dari jauh sambil tersenyum. Sweet kan persahabatan mereka.

~Saya kenal Sasuke dalam cerita ini sebagai seorang yang berkarakter control macho tp hakikatnya ada kebaikan dihatinya demi sahabatnya, Naruto.

5) Kuat semangat

6) perancangan strategi memperdaya musuh

~untuk yang ini pula, saya beri contoh melalui adegan apabila ade 3 orang ninja ni, saya lupa namanya, yang merancang untuk memperdaya musuh dengan cara seorang keluar dari tempat persembunyian dan bergerak ke sarang musuh. Kemudian apabila musuh lihat seorang je yang nak menyerang mereka, mereka hanya menggelakkan ninja tersebut. sedangkan ninja itu hanya ingin mengalihkan pandangan musuh dari melihat rakannya yang lain yang akan menyerang sarang mereka dari arah berbeza tanpa disedari. Dengan bantuan ninja2, akhirnya mereka berjaya meletupkan kawasan musuh tersebut.

~oleh itu, perancangan yang sistematik diperlukan untuk menembus benteng musuh walau ketat macam mana sekalipun kawalan yang dilakukan.

Dan banyak lagi ibrah yang saya dapat dari cerita ini. Untuk merasai apa yang saya rasa, mungkin anda juga perlu menontonnya..

Dalam setiap langkah kita, pasti ada sesuatu tarbiyah buat diri. Manfaatkanlah ia..

~BELAJAR, MELIHAT, MENILAI DAN MENAFSIR~


Sunday, February 5, 2012

Hari bersejarah suatu masa dulu..

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..

Pagi yang hening seperti selalu. Namun aura yang berbeza. Saya cukup yakin bahawa semua orang di setiap pelosok dunia sudah sedia maklum bahawa hari ini adalah tanggal keputeraan  Nabi akhir zaman yang diutuskan buat manusia. Walau tidak pernah bertemu, tetapi bagi umat Islam, kita menyakini bahawa Rasulullah S.A.W adalah pesuruh Allah S.W.T yang menjadi ikutan sepanjang zaman. Malah keperibadian Baginda yang dicatatkan di dalam Al-Quran dan juga kitab-kitab sirah menjadi contoh teladan buat semua. Allahuakbar... 


Jauh di sudut hati saya, saya cukup bimbang dan takut sekiranya saya hanya sekadar mengingati hari bersejarah ini tanpa memaknai segala peristiwa bersejarah yang terkandung padanya. Oleh kerana itulah saya berkira-kira untuk mengucapkan Salam Maulidur Rasul kepada sesiapa mahupun menjadikannya status FB saya. Alangkah hinanya saya andai ianya tidak disertakan dengan penyerapan rasa cinta yang cukup mendalam buat Nabi utusan Allah  ini. Dan malunya saya andai hanya mengungkapnya di bibir tanpa menjadikan Baginda sebagai "role model" dalam setiap langkah kehidupan ini. Allah.. Allah.. Moga saya cukup kuat untuk berubah ke arah yang lebih baik untuk mencapai Mardhatillah..

Walaubagaimanapun, satu harapan saya sempena tarikh penuh barakah, 12 Rabiulawal 1433H ini tercapai juga akhirnya. Saya berjaya mengkhatamkan satu buku coretan Biografi Perjalanan Hidup Rasulullah yang saya kira cukup tebal. Banyak peristiwa yang dapat saya ketahui dan banyak ibrah yang dapat saya tafsirkan. Moga ianya sedikit sebanyak memberi kesan dalam hidup saya. 


Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” [Al-Ahzaab 33: 56]

HAYATILAH APA YANG ADA DISEBALIK PERJALANAN HIDUP RASULULLAH S.A.W..

Allahumma Solli a'la Sayyidina Muhammad.. Allahumma Solli a'la Sayyidina Muhammad.. Allahumma Solli a'la Sayyidina Muhammad..



Saturday, February 4, 2012

Usah kecilkan maksud sebenar 'THABAT' dalam perjuangan..

بسم الله الرحمن الرحيم

Belajar melihat keadaan sekeliling dan menafsir sesuatu daripada pengalaman, banyak ibrah yang saya perolehi melalui itu. Bak kata seorang sahabat saya, perjalanan kehidupan setiap insan itu juga merupakan satu tarbiyah buat diri. Subhanallah.. Dan setelah melalui susah senang hidup ini juga, saya mampu menilai dan cuba memahami orang lain.. 

Untuk kali ini, sukalah saya untuk berbicara soal penilaian setiap dai'e terhadap sahabatnya yang lain mengenai "thabat" ataupun keteguhan mereka dalam setiap agenda perjuangan. Hal ini juga berkait sejauh mana kita bersangka baik mahupun tidak kepada teman seperjuangan kita..


Seringkali saya melihat dalam sketsa kehidupan, sahabat-sahabat selalu menghukum sahabat yang lain telah lari dari perjuangan hanya kerana mereka kerap tidak hadir ke dalam program-program tarbiyah dan siasah mahupun tidak dapat beri komitmen sekiranya diminta melaksanakan sesuatu tugasan dakwah dan siasah. Katanya golongan ini terlalu banyak beralasan. Diri saya juga silap kerana kadangkala pernah terdetik di sanubari bahawa si polan bin polan sudah jarang kelihatan dalam program-program, dihubungi pun tidak dapat. Entah-entah sudah tidak mahu thabat dalam perjuangan, hendak futur lah tu, dan bagai-bagai lagi buruk sangka terhadap sahabat. Dan apabila sesuatu menimpa saya untuk tidak dapat beri komitmen pada program dan juga tugasan yang diberikan, dan apabila saya dapat merasakan ada sahabat-sahabat mula bercakap-cakap bahawa saya sudah tidak komited seperti dulu, saya sudah berubah, dan saya seperti mahu lari dari perjuangan, barulah saya mula mengerti, kemungkinan sahabat yang pernah dikatakan 'hilang' suatu masa dulu juga turut mengalami masalah yang sama seperti saya.

Namun, tidak semua teman seperjuangan akan faham. Mereka mula menyangka kita sudah tidak 'THABAT' dalam perjuangan sebenar. Hanya kerana tidak dapat hadir program dan juga tidak dapat menerima amanah dan laksanakan tugasan. Jika sahabat yang benar-benar telah dipastikan sebab kehilangan adalah memang untuk berhenti dari landasan dakwah, tiada masalah untuk kita menilainya. Itupun dikira salah jika kita memulaukannya kerana bukan mudah untuk mentarbiyah seseorang. Mereka pernah menjadi salah satu produk tarbiyah Islam. 

Sekiranya insan-insan ini berniat untuk meninggalkan jalan perjuangan, kita seharusnya tidak menyalahkan mereka. Ini kerana Allah sedang menguji keimanan mereka. Kelemahan iman mereka menyebabkan benteng diri mereka tidak kukuh sehingga mampu dirobohkan musuh ketat Islam iaitu syaitan agar mereka menjauhi jalan dakwah. Mungkin satu hari nanti, tiba giliran iman kita diuji pula, malah kita menjadi lebih teruk dari mereka. Usahlah kita mengecilkan mereka. Kita seharusnya cuba untuk rapat kepada mereka dan saling menguatkan dan berdoa agar dirinya dan diri kita sentiasa teguh ke arah Redha Allah.

Berbalik kepada tajuk entry saya, saya berharap setiap dari kita yang telah Allah campakkan hidayah dan semangat untuk menjadi penyambung mata rantai perjuangan Rasulullah, janganlah kita mengecilkan maksud "thabat" terhadap sahabat perjuangan yang lain dengan memastikan mereka selalu kelihatan di program-program yang pimpinan anjurkan, selalu berada di barisan hadapan dalam setiap agenda dakwah dan siasah mahupun menjadi orang yang lantang merancang strategi atau pelaksana yang hebat. Sekiranya mereka tidak kelihatan, mereka dianggap futur ataupun mula menyepikan diri, konon beruzlah dan mahu lari dari perjuangan serta tidak memberi sumbangan pada Islam. Usahlah kita berburuk sangka. Hanya Allah yang tahu sejauh mana mereka terus bekerja untuk Islam. Allah tidak pernah meletak nilai ukur untuk melakukan kerja dakwah. Sedangkan sekadar senyum itu juga dakwah. Sekecil-kecil perkara sekalipun yang dapat mendatangkan faedah untuk Islam pasti ada nilai di sisi Allah. 



Bagi saya, thabat dalam perjuangan ini bertitik tolak dengan sejauh mana dalam setiap helaan nafas kita, kita berharap tersebarnya agama Allah walau dengan sekecil-kecil perkara yang mampu kita lakukan dan semuanya didasari kerana Allah. Tidak semua orang memiliki had kekuatan yang sama tinggi. Bagi yang mampu, teruskanlah perjuangan dan sentiasa mendoakan kekuatan umat Islam yang lainnya, fahamilah keadaan mereka yang tidak berkemampuan seperti kita, usah direndahkan dan dipulaukan. Dan bagi yang tidak mampu, buatlah apa yang dapat membantu mendaulatkan Islam dan meraih redha Allah walau usaha itu tidak sebesar mana. Allah sangat memahami hambaNya. Janganlah kita rasa tidak mampu, terus tidak mahu melakukan apa-apa. Sesungguhnya golongan ini pasti dalam kerugian.

Untuk lebih memberi penjelasan, bagi saya, kemungkinan yang menyebabkan seseorang dai'e itu tidak mampu memberi komitmen untuk hadir dalam setiap program dan melaksanakan tugasan yang diamanahkan pimpinan adalah boleh jadi kerana masalah kewangan, masalah keluarga, masalah pengangkutan, menghidapi penyakit, bebanan tugas yang lebih utama serta bertimbun dan sebagainya. Oleh kerana itulah saya berharap agar kita tidak terlalu bersangka buruk terhadap sahabat kita kerana boleh jadi mereka mengalami salah satu dari masalah ini. Dan kita bukannya hendak membantu mereka, malah merendahkan mereka. Sebagai orang yang berkefahaman, selidikilah masalah sahabat kita sebelum kita membuat sebarang penilaian.


Saya juga sempat membaca perjalanan hidup Rasulullah S.A.W. Bagaimana baginda bertolak ansur terhadap orang-orang Islam dalam peperangan Tabuk yang mewajibkan semua orang Islam yang mampu mengangkat senjata untuk turut serta. Namun, baginda terpaksa menolak keinginan beberapa sahabat dan orang Islam yang tidak berkemampuan dari segi kelengkapan perang untuk turut serta dalam peperangan walaupun telah cuba diusahakan serta bagi yang uzur dan sakit. Allah menceritakan berhubung mereka di dalam Al-Quran surah Taubah ayat 91 hingga 93 yang tidak mempunyai sesuatu yang hendak dibelanjakan untuk pergi berjihad pada jalan Allah. 

Hal ini saya ingin kaitkan terhadap sesetengah dai'e yang benar-benar tidak mampu dan mengalami kesempitan. Lebih-lebih lagi, dalam konteks sekarang ini, untuk pergi ke program-program, sudah pasti memerlukan kos pengangkutan. Bukan tidak ingin berkorban, malahan kalau boleh, jika ada sejuta program sekalipun, jika mampu, pasti dihadiri. Namun, untuk makan juga tidak mampu, masakan untuk merantau ke tempat-tempat program. Mungkin ada yang akan mengatakan cubalah usaha untuk tumpang sahabat lain yang berkenderaan. Nah, saya ingin mengajak sahabat2 ke alam realiti. Lumrah hidup berjemaah, jika menumpang, pasti kos perjalanan juga perlu ditanggung bersama. Cuba beritahu saya, siapa sahaja setakat ini yang tidak pernah meminta apa-apa jika menumpangkan sahabat. Bukan hendak berkira untuk  sama-sama berkongsi dan turut menginfakkan harta, tetapi bagi saya kadang-kadang kita perlu faham keadaan rakan kita yang menumpang. Jika semuanya berkemampuan, baguslah. Perlu saling meringankan.. mana tahu pemilik kenderaan juga sedang kesempitan. Cuma, bimbang-bimbang ada antara yang menumpang itu lebih susah. Yang berkenderaan jika tidak mampu juga, pasti tidak akan mempelawa ditumpang ataupun terfikir untuk ke tempat program. 


Hal ini saya utarakan kerana saya pernah alaminya. Oleh sebab itu, saya banyak belajar untuk meraikan pelbagai jenis sahabat. Kerana tidak semuanya sama. Salah satu situasinya, sebagai contoh, saya pernah menumpang sahabat kerana tidak mempunyai wang dan berharap tidak menyusahkan kerana kebetulan satu arah ke destinasi yang sama. Dengan dompet yang kosong dan tinggal beberapa ringgit cukup untuk makan kerana saya mengalami kesempitan tika itu, saya diminta mengeluarkan wang untuk bayaran tol dan makanan dalam perjalanan. Dan dengan malunya terpaksa mengaku tiada wang. Rasa seperti jatuhnya maruah ini dan pasti ada yang dipandang serong oleh sahabat lain. Jika berlaku pada kalian, pasti tidak mahu menumpang lagi kan.. 

Sebab itulah kemungkinan sahabat kita yang diuji dengan masalah kewangan jarang ke program-program yang jauh. Jika program itu tidak memakan kos sekalipun, pasti ada sesuatu halangan berlaku padanya. Pendek kata, usahlah kita berburuk sangka. Dan ingin saya ulangi, janganlah kita mengecilkan maksud sebenar 'thabat' rakan seperjuangan kita hanya dengan melihatnya di program-program dan juga komited dirinya untuk berada dalam setiap siri agenda dakwah dan siasah yang dirancang. Barangkali mereka ada membantu tetapi dengan cara yang lain.


Penceritaan saya ini adalah tulus dari hati dan benar-benar terjadi. Hanya kerana kita ingin setiap sahabat kita menjadi seperti diri kita sedangkan kita tidak tahu mereka mengalami kesukaran yang tidak dialami diri kita. Pesanan saya, BUATLAH SEHABIS MAMPU. KITA BUKAN HENDAK PUJIAN MANUSIA TAPI REDHA ALLAH. Mulia di sisi Allah lebih indah dari mendapat kemuliaan pada pandangan manusia. Kononnya kitalah pejuang sebenar, serikandi sejati, hero Islam.. sedang di sisi Allah, kita kosong, malah tanpa kita, tidak memberi kesan pada perjuangan Islam walau sedikit pun.. Usahlah merasa diri kita cukup hebat berpencak di medan haraki ini.. Nauzubillahi min zalik..

"sesungguhnya solatku,amal ibadahku,hidupku,matiku kerana Allah TUHAN sekalian alam”