Sunday, July 8, 2012

Lumrah hidup aku seorang budak hostel..

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..

Malam ini, saya gigihkan lagi jari-jemari saya untuk melakarkan sebuah perkongsian mengenai perjalanan hidup saya yang bergelar seorang budak hostel. Ya, setelah dikira-kira, rupanya  telah 10 tahun saya menjalani hari-hari dalam kehidupan selaku budak hostel. Mendapat tawaran ke asrama sejak dari tingkatan satu lagi sedikit sebanyak mengajar saya erti berdikari dan tidak memanjakan diri sendiri. Dan apa yang kalian lihat pada diri saya kini, adalah hasil pentarbiyahan selama 10 tahun itu dalam mencari identiti diri yang akhirnya membawa saya untuk menggalas taklifan sebagai seorang dai'e. Tidak layak untuk mengakui saya adalah seorang dai'e, sekadar mahu memberi peringatan pada diri bahawa saya punya tugasan penting di muka bumi. Dan bukan diciptakan untuk menikmati keseronokan duniawi semata-mata. Ohh, jauh sungguh saya melencong rupanya.. Hakikatnya, lain yang ingin saya sampaikan pada entry kali ini. hoho.. :)

Menamatkan kehidupan asrama selama 5 tahun di sekolah menengah bukanlah menjanjikan pengakhiran buat saya dari berpisah dengan keluarga apabila mendapat tawaran meneruskan pengajian di peringkat matrikulasi selama 1 tahun dan 4 tahun di kampus UKM. Ini bermakna, selama 10 tahun itu saya kerap kali melangkah kaki keluar dari rumah untuk meninggalkan keluarga demi tuntutan mengutip ilmu pengetahuan. 

Nak tak nak, saya perlu mengakui bahawa walaupun saya sudah meningkat dewasa, namun perasaan homesick itu masih ada. Lebih-lebih lagi bila pulang ke rumah sebentar dan perlu kembali semula ke kampus, memang liat hendak meninggalkan perkarangan rumah. Namun, demi mengekalkan kemachoan diri, maka saya tetap berlalu pergi dengan wajah yang tenang. Walaupun di hati dah banjir dengan takungan air mata. Cewah! Nak dijadikan ceritanya, bila dah berada di alam kampus ni, saya jarang pulang ke rumah berbanding zaman sekolah dan matrikulasi dulu. Nak kata sibuk, tak la terlalu sibuk. Tetapi hinggakan tahap mak saya terpaksa telefon suruh pulang ke rumah. Bukannya tidak rindu pada keluarga, namun apabila telah biasa duduk jauh dari mereka, tidak sampai hati nak susahkan kerana sekiranya saya pulang ke rumah nanti, kakak atau abang saya perlu menghantar saya semula ke kampus. Nak naik kenderaan awam, amatlah memerlukan tahap kesabaran yang tinggi melebihi tahap dewa. (al-maklumlah mengambil masa yang lama untuk jarak rumah yang dekat. Klang je kot. Kalau dengan Bangi, sekangkang kera je beb.. Bak kata orang jauh la.. aiseyy..)

Dan seperkara lagi, yang membuatkan saya jarang pulang ke rumah adalah kerana mak saya akan memastikan dia membekalkan wang saku untuk saya setiap kali sebelum saya kembali meninggalkan rumah. Hal ini kerana saya jarang meminta-minta wang pada keluarga walaupun berada dalam kesempitan. Ini semua atas hasil pembentukan sifat berdikari apabila duduk di asrama pada jangka masa yang lama. Oleh kerana itulah, mak saya terlalu bimbangkan saya sekiranya kurang makan. Padahal, berat badan dah menaik pun masih kata anak dia kurus. Berat nanang ni. Jadinya, saya cukup tidak selesa dengan situasi jika saya pulang ke rumah, mak saya akan tidak keruan untuk mencari wang untuk dijadikan wang saku saya walaupun saya tidak memerlukannya. Saya merasakan seolah-olah kepulangan saya lebih merungsingkan keluarga. 

Natijahnya, untuk semua ini, mak saya pernah berpesan kepada saya, setelah tamat belajar nanti, saya tidak boleh terus berkahwin kerana bimbang saya akan kembali meninggalkan keluarga. Mak saya pernah meluahkan bahawa dia sangat sedih sekiranya saya berkahwin nanti. Alamak, parah jugak kalau jadik anak yang baik dan solehah ni.. kui33. 

Makanya, inilah kisah perjalanan hidup saya sebagai seorang budak hostel yang sering terpaksa meninggalkan kampung halaman. Saat ini, terngiang-ngiang lagu "Balik Kampung" nyanyian Allahyarham Sudirman. :) Lagi setahun untuk saya menamatkan pengajian secara keseluruhan. Oh, tidak sabar rasanya untuk membuang title "budak hostel" ni. Nantikan kepulanganku mak.. 


Ok setakat ini sahaja.. Moral of the story, majulah sukan untuk negara.. Opppss... ada kena-mengena ke? kui33..

Selamat malam.. :)

No comments: