Wednesday, July 27, 2011

Nilai Aku di matamu Sahabat...


Sahabat selamanya.. satu ungkapan yang cukup indah terutama bagi mereka yang sedang memupuk ukhwah.. Begitu juga pada ana. Kerana ana juga punyai sahabat dan boleh jadi ana juga diiktiraf sebagai sahabat kepada seseorang yang ana tidak ketahui. Sungguh bahagia jika kita bersahabat untuk setia. Namun, sejauh mana ianya hanya menjadi ungkapan semata-mata, praktikalnya tiada.. 

Siapakah ana di mata sahabat-sahabat sebenarnya.. persoalan ini terus menjadi tanda tanya..
Dan biarlah ianya tidak berjawab kerana ana memang sedia tahu, mendapat nilaian yang mulia di mata manusia bukanlah apa-apa. Kerana apa yang dikejar adalah nilaian Allah yang lebih menggamit jiwa, meruntun rasa cinta.. Cukuplah setakat ini kita berdrama dan hentikan sketsa kehidupan ini, Semoga satu hari ukhwah sejati itu dapat ana rasai,
sebelum ajal menanti tiba di sisi..

Ya Allah, di malam ini, bimbang untuk ana menutup mata. Kerana barangkali esok adalah pengakhiran bagi diri yang hiba.. Oleh itu, ku ungkapkan kata memaafkan buat semua sahabat yang ana cinta.. dan moga mereka turut memaafkan diri ana yang hina..

Sungguh ku tak sangka, ana adalah antara insan yang tidak layak merasai nikmatnya sahabat setia di sisi.. Biarkan rasa ini menghilang, kerana ana bimbang ianya akan menghantui matlamat perjuangan sebenar diri, iaitu untuk mengejar keberkatan dari Ilahi.. Bersederhanalah dalam persahabatan. InsyaAllah kita tidak akan melihat kelemahan sebagai satu kelemahan..

Pinta akhirku,
Janganlah jadikan ana sahabat andai kerana kelebihan ana,
Janganlah jadikan ana sahabat andai kerana kebaikan ana,
Tetapi, Jadikan ana sahabat kerana Allah matlamat kita yang sama..

Aku mencintai sahabatku dengan segenap jiwa ragaku, seakan-akan aku mencintai sanak saudaraku. Sahabat yang baik adalah yang sering sejalan denganku dan yang menjaga nama baikku ketika aku hidup atau selepas aku mati. Aku selalu berharap mendapatkan sahabat sejati yang tidak luntur baik dalam keadaan suka atau duka. Jika itu aku dapatkan, aku berjanji akan selalu setia padanya. Kuhulurkan tangan kepada sahabatku untuk berkenalan kerana aku akan berasa senang.


Semakin ramai aku peroleh sahabat, aku semakin percaya diri. Mencari sahabat pada waktu susah. Belum pernah kutemukan di dunia ini seorang sahabat yang setia dalam duka. Pada hal hidupku sentiasa berputar-putar antara suka dan duka. Jika suka melanda, aku sering bertanya: “Siapakah yang sudi menjadi sahabatku?” Pada waktu aku senang, sudah biasa ramai yang akan iri hati, namun bila giliran aku susah mereka pun bertepuk tangan. Pasang surut persahabatan. Aku dapat bergaul secara bebas dengan orang lain ketika nasibku sedang baik.



Namun, ketika musibah menimpaku, kudapatkan mereka tidak ubahnya roda zaman yang tidak mahu bersahabat dengan keadaan. Jika aku menjauhkan diri daripada mereka, mereka mencemuh dan jika aku sakit, tidak seorang pun yang menjengukku.


Jika hidupku berlumur kebahagiaan, banyak orang iri hati, jika hidupku berselimut derita mereka bersorak sorai. Mengasingkan diri lebih baik daripada bergaul dengan orang jahat. Apabila tidak ke temu sahabat yang takwa, lebih baik aku hidup menyendiri daripada aku harus bergaul dengan orang jahat.


~Al-faqirah ilallah,
nanie mujahidah..

Wednesday, July 20, 2011

Merungkai kisah Dia yang dinanti..


Bulan Ramadhan bukan hanya terkenal sebagai pusat latihan ibadah kepada umat Islam, malah ia juga terkenal dengan peristiwa besar dalam sejarah Islam.Berikut diringkaskan beberapa peristiwa besar yang berlaku dalam bulan Ramadhan sebagai inspirasi kepada kita semua:
Bulan yang diturunkan di dalamnya (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk untuk manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pemisah antara yang benar dan salah. Para pakar tafsir dan hadis merekodkan, Allah juga menurunkan kitab-kitab dan suhuf iaitu kitab-kitab kecil selain Zabur, Taurat, Injil dan Al Quran kepada para rasul terdahulu pada bulan Ramadhan.
2-PERISTIWA BADAR
Pada hari Jumaat 2 Ramadhan tahun ke-2 Hijrah berlakunya perang pertama dalam Islam yang dikenali sebagai Perang Badar. Badar adalah nama tempat di sebuah lembah yang terletak di antara Madinah dan Mekah. Tentera Islam mengawal lokasi strategik dengan menguasai sumber air yang terdapat di situ.
Perang ini melibatkan tentera Islam seramai 313 anggota berhadapan dengan 1,000 anggota tentera musyrikin Mekah yang lengkap bersenjata. Dalam peperangan ini, tentera Islam memenangi pertempuran dengan 70 tentera musyrikin terbunuh, 70 lagi ditawan manakala bakinya melarikan diri.
Peperangan ini adalah suatu yang luar biasa apabila tentera Islam yang kurang jumlah, lemah daripada sudut kelengkapan dan berpuasa dalam bulan Ramadhan memenangi pertempuran. Ini membuktikan puasa bukan penyebab umat Islam bersikap lemah dan malas sebaliknya berusaha demi mencapai keredhaan Allah. Orang yang berjuang demi mencapai keredhaan Allah pasti mencapai kemenangan yang dijanjikan. Allah menegaskan dalamSurah Ali ‘Imran ayat 123:
‘’Sesungguhnya Allah menolong kamu dalam Perang badar, sedangkan pada masa itu kamu orang yang lemah. Sebab itu bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mensyukurinya.’’
3-ISLAM MEMBUKA KOTA MEKAH
Peristiwa ini berlaku pada 10 Ramadhan tahun ke-6 Hijrah. Peristiwa kemuncak ini berlaku apabila musyrikin Mekah melanggar perjanjian Hudaibiah yang termeterai dengan orang Islam. Antara kandungan perjanjian ini menyebut, setiap suku Arab boleh memilih sama ada menjadi sekutu Muhammad ataupun sekutu Quraisy. Kedua-dua pihak tidak boleh berperang dalam tempoh 10 tahun dan tidak boleh membantu pihak lain berperang. Malangnya, dalam suku-suku Arab yang bersekutu itu, ada golongan yang bertelagah iaitu Bani Bakar dan Khuza’ah. Bani Bakar bersekutu dengan Quraisy Mekah manakala Khuza’ah memilih bersekutu dengan Nabi Muhammad.
Pada satu malam, Bani Bakar dengan pertolongan Quraisy Mekah menyerang perkampungan suku Khuza’ah di lembah Watir. Apabila berita itu sampai ke pengetahuan Nabi Muhammad, beliau mengerahkan ratusan ribu umat Islam mara ke Mekah tanpa pengetahuan penduduk musyrikin Mekah. Beliau menolak sebarang rundingan dengan pihak Quraisy sehingga kemaraan umat Islam hanya diketahui apabila hampir memasuki Kota Mekah. Penduduk musyrikin, tanpa sebarang persiapan, hanya bersembunyi di bukit, rumah ibadat dan rumah Abu Sufian.
Akhirnya umat Islam memasuki kota Mekah tanpa sebarang pertumpahan darah. Peristiwa ini menggambarkan pertolongan Allah kepada hamba-hamba yang ikhlas kepadaNya. Allah menyebut dalam Al Quran Surah Al Fath ayat 1:
“Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata.”

Sebahagian pakar tafsir Al Quran memberi maksud ‘kemenangan’ dengan kemenangan bermaksud membuka Mekah.
4- PERISTIWA PERJALANAN NABI MUHAMMAD SAW KE TABUK
Apabila pengaruh Nabi Muhammad SAW tersebar ke pelosok Semenanjung Tanah Arab, ia memberikan tamparan hebat kepada Rom yang menjadi kuasa besar pada masa itu. Lantas Hercules, Maharaja Rom Timur (Bizantin) memutuskan untuk menyekat pengaruh umat Islam di utara Tanah Arab.
Apabila berita itu sampai ke pengetahuan Nabi Muhammad SAW, beliau mengarahkan umat Islam berkumpul bagi menghadapi Rom dan mengutip zakat. Pada masa itu tanah Arab dilanda panas dan kesusahan. Iman umat islam ketika itu benar-benar teruji. Namun, mereka tetap taat kepada perintah Nabi Muhammad. Beliau sendiri memimpin tentera seramai 30,000 anggota ke utara Madinah.
Apabila tentera Islam tiba di Tabuk, tentera Rom tidak berada di situ. Sebaliknya Rom menarik diri apabila mengetahui kemaraan tentera Nabi Muhammad SAW yang ramai. Tentera Islam terus mengasak Rom sehingga termeterai perjanjian antara Islam dan Rom. Sebagai persetujuan, Rom tunduk dan bernaung di bawah pemerintahan Nabi Muhammad SAW dan dikenakan cukai sebanyak 3,000 dinar setiap tahun.
Yaman terletak di selatan Semenanjung Tanah Arab. Nabi Muhammad mengutuskan Ali bin Abu Talib dengan membawa surat untuk penduduk Yaman khususnya suku Hamdan. Dalam tempoh satu hari, kesemua mereka memeluk agama Islam secara aman. Peristiwa bersejarah itu berlaku pada bulan Ramadhan tahun ke-10 Hijrah.
6-KHALID BIN AL WALID MERUNTUHKAN BERHALA AL ‘UZZA
Selepas umat Islam membebaskan kota Mekah, Nabi Muhammad SAW menyucikannya dengan memusnahkan 360 patung di sekeliling Kaabah. Lima hari sebelum berakhirnya Ramadhan tahun ke-9 hijrah, beliau menghantar Khalid al Walid bagi memusnahkan patung al ‘Uzza di Nakhla.
Menurut kepercayaan Arab jahiliyyah, al ‘Uzza adalah patung dewi terbesar di situ. Ia sering disebut oleh masyarakat Arab apabila melafazkan sumpah. Khalid al Walid melaksanakan tugas itu dengan bergerak menuju ke Nakhla lalu menghancurkan patung al ‘Uzza. Selepas itu, penyembahan patung pun berakhir.
7-PENYERAHAN BANDAR TAIF
Bandar Taif pernah mencatatkan sejarah apabila penduduknya menghalau Nabi Muhammad SAW semasa berdakwah di sana. Selepas baginda dan umat Islam berjaya membebaskan Mekah, golongan Bani Thaqif berkeras tidak mahu tunduk kepada Nabi Muhammad SAW. Nabi Muhammad SAW dan tentera Islam mara ke Taif lalu mengepungnya dalam tempoh yang lama. Akhirnya rombongan mereka datang ke Mekah pada bulan Ramadhan tahun ke-9 Hijrah dengan menyerahkan bandar Taif sebagai tanda menyerah kalah. Patung al Laata yang dipuja sebelum ini dimusnahkan.
8-PEMBUKAAN ANDALUS (SEPANYOL)
Andalus adalah nama Arab yang diberikan kepada wilayah-wilayah bahagian Semenanjung Iberia yang diperintah oleh orang Islam selama beberapa waktu bermula tahun 711 hingga 1492 Masihi. Pada 28 Ramadhan tahun ke-92 Hijrah, panglima Islam bernama Tariq bin Ziyad dihantar oleh pemerintahan Bani Umaiyah bagi menawan Andalus.
Tariq memimpin armada Islam menyeberangi laut yang memisahkan Afrika dan Eropah. Selepas pasukan tentera Islam mendarat, Tariq membakar kapal-kapal tentera Islam supaya mereka tidak berfikir untuk berundur. Akhirnya Andalus ditawan dan menyelamatkan rakyatnya yang dizalimi. Islam bertapak di Andalus selama lapan abad dan meninggalkan kesan tamadun yang tinggi nilainya kepada dunia barat.
Peristiwa ini berlaku selepas subuh hari Jumaat, bulan Ramadhan tahun 459 Hijrah. Ketika itu, berlaku kebangkitan Dinasti Murabit di Afrika Utara. Gabenor Cordova, al Muktamin meminta bantuan Sultan Dinasti Murabit, Yusuf bin Tasyifin bagi memerangi al Fonso VI. Tentera Kristian yang diketuai oleh al Fonso VI yang berjumlah 80,000 tentera berjaya dikalahkan. Dalam masa yang singkat Sultan Yusuf berjaya menguasai seluruh Sepanyol dan menyelamatkan umat Islam. Selepas itu, Sepanyol Dinasti Murabit berdiri sejak 1090 hingga 1147 Masihi.
Pada tahun 126 hingga 1405 masihi, kaum Monggol melebarkan penaklukannya hampir kesemua benua Asia. Menurut rekod, empayar penaklukan mereka meliputi seluas 33 juta kilometer persegi. Jeneral tentera Monggol dikenali sebagai Genghis Khan. Dalam misi penaklukan itu, mereka membunuh melebihi sejuta rakyat negara yang ditakluki. Penaklukan mereka menjangkau hingga ke Moscow dan Kiev.
Pada tahun 1258, tentera pimpinan Jeneral Hulagu Khan merempuh kota Baghdad yang menjadi kemegahan Dinasti Abbasiah. Dalam serangan itu, ramai umat Islam terbunuh dan banyak buku karangan sarjana Islam dibuang ke dalam Sungai Furat dan Dajlah sehingga airnya menjadi hitam kerana dakwatPada 15 Ramadhan 658 Hijrah bersamaan 1260 Masihi, angkatan tentera Islam bangkit membuat serangan balas. Tentera Islam dan para ulama pimpinan Sultan Qutuz dari Dinasti Mamluk, Mesir mara ke Palestin selepas Monggol menguasainya. Kedua-dua pihak bertemu di ‘Ain Jalut.
Dalam pertempuran itu, tentera Islam meraih kemenangan dan berjaya menawan Kitbuqa Noyen, seorang Leftenan Kristian yang memberi nasihat kepada Hulagu Khan bagi menyerang Baghdad. Kitbuqa akhirnya dihukum bunuh. Kemenangan itu adalah suatu yang luar biasa apabila Mongol yang terkenal dengan keganasan akhirnya kalah kepada tentera Islam.
Pada 15 Ramadhan 1294 Hijrah, bala tentera Islam Dinasti Uthmaniah yang dipimpin oleh Ahmad Mukhtar Basya dengan jumlah 34,000 anggota mengalahkan tentera Rusia yang berjumlah 740,000. Seramai 10,000 tentera Rusia terbunuh dalam pertempuran itu. Ia menjadi kebanggaan umat Islam mempertahankan agama yang diancam oleh kerajaan Tzar di Rusia.
Dalam sejarah moden, berlaku Perang Yom Kippur yang melibatkan tentera Islam pakatan Mesir dan Syria dengan tentera Yahudi Israel pada 10 Ramadhan 1390 Hijrah bersamaan 6 Oktober hingga 22 atau 24 Oktober 1973 Masihi.Perang Yom Kippur, juga dikenali sebagai Peperangan Arab-Israel 1973,Perang Oktober, dan Perang Ramadhan.
Ia adalah sebahagian daripada konflik Arab-Israel sejak dari tahun 1948. Pada bulan Jun 1967, berlaku Perang Enam Hari antara Israel dengan Mesir, Syria dan Jordan. Dalam pertempuran itu , Israel berjaya menduduki Bukit Golan, Syria di utara serta Semenanjung Sinai, Mesir di selatan sehingga ke Terusan Suez. Selepas itu, Israel membina barisan pertahanan di SInai dan Bukit Golan. Pada tahun 1971, Israel memperuntukkan 500 juta dolar Amerika bagi membina kubu dan kerja tanah raksasa yang dinamai Garis Bar Lev sempena nama Jeneral Israel, Haim Ber Lev.
Israel bermegah dengan kubu Bar Lev yang didakwa ‘tidak dapat ditawan’ kerana mempunyai kekebalan dan teknologi peralatan yang canggih. Namun, tentera Islam berjaya menawan kubu itu sekaligus mengalahkan Israel. Antara peristiwa menarik dalam peperangan ini adalah peranan seorang sarjana Islam merangkap sebagai Imam Masjid Bandar Suez ,al Marhum Syeikh Hafiz Salamah yang mengambil alih pimpinan operasi peperangan.
Beliau menggantikan jawatan ini apabila gabenor daerah bersedia menyerah kalah. Akhirnya para mujahidin gabungan tentera Mesir, Syria dan penduduk bandar Suez berjaya megasak tentera Israel yang terpaksa berundur sehingga terpaksa menyerahkan Semenanjung Sinai dan Bukit Golan.

Subhanallah. Marilah sama-sama kita memanfaatkan Ramadhan Mubarak yang bakal tiba.. Allahu Akram.. 


Tuesday, July 19, 2011

Kasih Selamanya Buat Abah..


Tirai Ramadhan bakal menjelma. Jika dikira termasuk Ramadhan yang akan tiba nanti, bermakna sudah 5 tahun ana hidup tidak berayah. Pantas masa berlalu. Namun kasih buat abah masih panas di rasakan. Tiada gambar.. Tiada peninggalan. Yang ada hanya kenangan. "Ya Allah, janganlah Engkau lupuskan wajah ayahku dari kotak ingatanku..", getus hatiku.

Kami sekeluarga tidak pernah ambil gambar bersama. Setiap kali hari raya, memang pun kami nak ambil gambar bersama tapi kami tidak ada kamera. Bila kakak dah beli kamera, tanpa sempat mengambil gambar satu keluarga, abah pergi dulu menghadap Ilahi.

Ingat lagi waktu dulu, ana tinggal di asrama. Setiap kali menelefon rumah, pasti dengar suara abah tengah sebak menahan tangisan. Kalau balik rumah, abah pasti menitiskan air mata menyambut kepulangan ana. Apatah lagi bila nak pulang semula ke asrama, abah akan menangis lagi melepaskan ana pergi. Ana tahu, abah menangis kerana mahukan anaknya berjaya. Tapi tangisan abah itu seolah-olah seperti dia tahu bahawa dia tidak akan sempat melihat anak-anaknya membesar dengan berjaya. Kerana masa buatnya hampir tiba.

Ya, memang cemburu melihat semua teman ber ayah, namun ana gagah menjalani hidup sebagai anak yang berdikari. Walaupun abah seorang yang garang, namun kerana pengorbanan dan didikannya, ana menjadi seperti diri ana sekarang. Kerana ana tahu, seorang anak perempuan akan menarik 4 golongan lelaki dalam hidupnya andai berbuat dosa iaitu ayahnya, suaminya, abangnya dan anak lelakinya. Ana tidak ingin menempah tiket buat abah ke neraka. Oleh sebab itulah, ana memilih jalan kebenaran, menjadi seorang muslimah bertudung labuh, berpendirian teguh walaupun diri ana masih banyak kekurangan. 


Jika ana tidak ada kesedaran dan tanpa bekal didikan abah dulu, pasti ana sudah memilih jalan yang salah kerana ia pernah terdetik di hati ana dahulu sewaktu darah anak remaja mula mengalir. Ana bertuah, punya keluarga yang lengkap, dari abang, kakak, hinggalah adik perempuan dan adik lelaki. Cukup pakej yang tak semua orang dapat miliki. Itu kelebihan yang Allah beri pada keluarga kami walaupun abah telah dijemput pergi. 

Nukilan ini diluahkan kerana beberapa hari yang lepas adalah hari lahir abah. Yang x pernah kami sambut dan hargai. Hanya doa yang mampu diberi. Moga abah bahagia di alam sana. Ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Ameen..


Wahai teman-teman yang punya ayah, hargailah dia. Jangan bila sudah tiada, baru kalian akan menyesali. Hingga ke saat ini, ana masih dahagakan kasih ayah. Pernah satu ketika, ana mendesak kakak ana untuk kahwin cepat. Bukan apa, sebab di fikiran ini, ayah mertua kakak pasti akan menjadi ayah ana juga nanti. Tapi semuanya tidak menjadi kenyataan. Kakak telah pun berkahwin. Tapi ayah mertua itu hanya rapat dengan menantunya. Mungkin itu memang kebiasaan. Hanya ana yang tidak mengetahui lumrah kehidupan. Kerana itulah ana pernah menanamkan hasrat untuk walimah awal. Bukan kerana sudah bersedia atau tidak sabar-sabar, tetapi hanya mahukan belaian seorang ayah. Tapi hasrat ini diketepikan dulu. Kerana ana punya hasrat perjuangan. Andai syahid yang terlebih dahulu menjemput, biar ana bertemu abah di syurga nanti. 


Dalam diam, sebenarnya ana pernah menganggap ayah kepada sahabat-sahabat ana sebagai ayah kandung ana sendiri. Namun, bezanya ana tidak mendapat kasih seperti yang dicurahkan kepada mereka. Ana hanya mampu mengharap dalam diam, melihat di kejauhan, merasai di benak jiwa yang mendalam.  

Buat al-marhum abah, kasih selamanya buatmu. Maafkan anakmu andai tidak menjadi permata yang terbaik. InsyaAllah azamku menjadi anak solehah seperti idamanmu. Moga abah bahagia melihat anakmu berada di jalan perjuangan ini ke arah mendapatkan redha Allah. Al-fatehah.. 

rindu kasih abah~