Monday, July 12, 2010

Tersungkur di jalan dakwah..

Assalamualaikum buat sahabat2 seperjuangan..
sukalah ana untuk berkongsi tarbiyah yang ana perolehi sepanjang ana tersungkur seketika di jalan dakwah.. sebagai ubat kepada entum agar terus teguh menghadapi mehnah sepanjang meniti hari-hari selaku bergelar pendokong agama Allah.

Secara kebetulan, apa yang disampaikan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam ucapannya sewaktu persidangan SEPAKAT di Kota Bharu baru-baru ini  kelihatan seolah-olah beliau dapat merasakan bahawa diri ana sedang lemah menghadapi dugaan. Taujihad yang diberikan cukup untuk membuat para pejuang tersedar dari khayalan dan keinginan untuk lari sebentar.

Katanya,
الإبتلاء هو الحكمة التي من أجلها خلق الله عز وجل الإنسان في الحياة الدنيا. فينا... من يُمتحن بالبلاء فينجح بالصبر والإيمان والاحتساب، منا من يمتحن بالبلاء فيرسب بالجزع والاعتراض على الله – والعياذ بالله. فللابتلاء له أجر كبير لمن صبر عليه، فالمرض له أجر، والعمى له أجر وهكذا في بقية الإعاقات أو الإصابات والجروح التي تصيب الإنسان قدرا من الله

"Sesungguhnya ujian di dalam hidup ini merupakan satu lumrah yang kerananya diciptakan manusia ini. Ada yang ditimpa ujian lalu dihadapi dengan kesabaran dan keimanan, ada juga yang ditimpa ujian lalu dihadapi dengan kemarahan bahkan semakin berpaling daripada Allah. Ingatlah kita bahawa ujian ini pastinya ada ganjaran besar kepada sesiapa yang bersabar, baik orang sakit ada ganjaran, orang buta ada ganjaran, demikian juga segala macam ujian yang lain yang ditakdirkan oleh Allah SWT…"

Ya, apa yang beliau katakan memang terkena pada diri ana di saat diri mula mempersoalkan ketetapan Allah bilamana dilanda mehnah. Sebagai insan yang serba dhaif ini terkadang seperti mahu mengaku kalah . Hanya aqidah perjuangan yang dibina sekian lama masih teguh membentengi diri .

Namun, kerungsingan hati terus membelenggu. Lalu tangan ana kuatkan untuk menghantar mesej kepada seorang sahabat agar memberi semangat buat diri yang semakin tersungkur.  Jawapan yang ana terima sama seperti yang lain-lain. katanya, ujian itu pasti ada hikmahnya.. ana akui itu dan sudah beberapa kali dikuatkan diri agar terus teguh.  Bukanlah tekanan dan halangan luar yang menjadikan ana lemah, tetapi bila diri terpaksa berdepan dengan tekanan dalaman terutama atas apa yang berlaku pada diri sendiri sedangkan orang lain pastinya tidak mengetahui penderitaan yang sedang ana alami . 

Terkadang hati pejuang ini akan menangis sendirian melepaskan berat beban yang menindih bagi mencari nafas baru dan saki baki kekuatan diri . Mungkin cara ini berkesan untuk meringankan beban perasaan bila berdepan dengan susah sukar perjuangan . Ujian kegagalan terus menerus menimpa diri ini tatkala ana semakin lelah.. terfikir sejenak, pasti Allah hendak tunjukkan sesuatu atau mungkinkah kafarah dosa? Hati ana merintih, Ya Allah, aku sudah tidak mampu.. Di waktu malamnya, sewaktu menghadap Allah, tiba-tiba, perasan malu datang dalam diri. Katanya pejuang agama Allah. Di kampus, ana petah bersuara, ligat bergerak kerja. Tapi baru diuji sikit, sudah merungut. Rela mengibarkan bendera putih  daripada terus berjihad. Hati pula tergamak melintaskan sesuatu yang tidak wajar iaitu tidak sayangkah Allah pada diri ku? Kenapa aku asyik di beri kegagalan sedangkan aku lebih melihat manfaat yang banyak sekiranya aku berjaya dalam perkara itu..  Betapa jahilnya diri ana kerana sanggup berfikiran sempit sebegitu. Tidak yakinkah aku pada janji-janji Allah. Telah dinyatakan di dalam surah Al-Baqarah ayat 284. Allah berfirman yang bermaksud, " Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.."  Ini jelas menunjukkan apa yang ana hadapi adalah ujian yang mampu ana berdepan dengannya.. mengapakah ana mudah mengaku kalah? Bukankah hidup ini adalah untuk bersyukur.. Teringat kata-kata keramat mas'ul ana. =)

Inilah juga yang diajar oleh Nabi saw : [ dalam satu hadis yang dikeluarkan oleh As Samarqandi dalam musnadnya dari Ato' bin Abi Ribah ]

"Apabila seseorang kamu ditimpa musibah maka ingatlah musibah yang turut menimpaku kerana sesungguhnya ia adalah sebesar - besar musibah ."

Pastinya jauh langit dan bumi jika dibanding tahap tekanan dan bebanan yang kita hadapi pada hari ini dengan apa yang dihadapi oleh Rasulullah saw sebagai Rasul ulul A'zmi . Namun jelas , tatkala membaca sirah Rasulullah saw , bagai satu tamparan terhadap diri sendiri betapa tidak layak pun kita nak mengeluh dengan sedikit ujian yang kita hadapi. 


Saat ini, semangat mujahidah kembali ana semarakkan lantaran tersentak dengan kata-kata seorang sahabat lepasan Darul Quran yang secara kebetulan berkait rapat dengan situasi ana. Katanya, " kakak ana selalu berpesan kita jangan sesekali minta diringankan ujian tapi mintalah dikuatkan untuk menghadapinya." Itulah kata-kata yang cukup membuat ana terkilan dengan diri yang kerdil ini. Yang sanggup mempertikaikan takdir Allah. Astagfirullah.. Ampunkan dosa-dosaku Ya Allah.

Kerana itulah, ana menyeru kepada para pejuang agama Allah agar tidak sesekali berasa lemah apabila menghadapi mehnah dan tribulasi dalam jalan jihad ini. Bukankah itu memang sunnah orang berjuang? Tetiba teringat lagu dendangan Hijjaz yang amat diminati oleh sahabat ana, Tajudin dan Ustaz Hafizan.. =) p/s: jangan marah ana selit nama..hehe.. ambillah ibrah dalam setiap yang berlaku. Ingatlah sahabat-sahabat bahawa kita pernah mengikat janji pada Allah untuk memperjuangkan agamaNya dan menegakkan kalimah Lailahaillallah.. 

Akhir kalam, jangan lelah bila mengembangkan dakwah, pantang alah sebelum menang atau syahid sebagai syuhada'. Kemenangan dan kekalahan itu digilirkan Allah mengikut waktudan pastinya agama Allah akan menang jua.. InsyaAllah.. Allahuakbar!

Muslimin hebat3x, muslimat mantap3x!

Al-faqirah ilallah~



1 comment:

mawarberduri said...

tahniah krn sudi berjiwa besar utk berkongsi saat2 diri lemah dilambung mehnah dan tribulasi, dgn taklifan y pelbagai, ditambah dugaan y menderas.

moga shbt2 kita sume dpt ambil ibrah berharga dr blog nani, ameen~