Friday, March 30, 2012

Cukuplah sampai di sini..


Melewati hari-hari dalam hidup ini, saya kerap berusaha untuk memperbaiki diri. Ya, semestinya manusia itu tidak pernah sempurna. Lebih-lebih lagi, apabila kita telah menginfakkan diri untuk berbakti di jalan dakwah ini, banyak mehnah dan tribulasi yang datang bertubi-tubi.. 

Belajar dari kesilapan lalu, saya semakin berhati-hati agar tidak rebah lagi.. Namun, untuk menepis masalah hati, saya masih tidak mempunyai kepakaran tersendiri. Sehebat mana pun kita berpencak, saya cukup pasti semua sahabat pasti akan menghadapi situasi seperti ini.

Cukuplah sampai di sini. Cukuplah saya seringkali mengenepikan perhatian Allah dan cintaNya yang hakiki.  Buat ketika ini, jiwa saya telah kosong dan bersih dari masalah duniawi.. Sungguh saya orang yang rugi sebelum ini. Saya perlu melakukan sesuatu untuk mengaut kembali Mardhatillah itu di setiap langkahan kaki ini.

Oleh itu, saya cukup tegas untuk berpesan pada mereka yang sedang bahagia dan telah selesai urusannya, janganlah terlalu asyik bicara mengenainya dihadapan orang seperti ku ini, kerana ia amat perit ditanggung jiwa nurani. Sedangkan kami punya wawasan dan perjuangan haraki yang lebih utama untuk dikendali. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui yang terbaik buatku.

Dan buat masa ini dan selamanya, cukuplah Allah bagiku.. dan saya akan berhenti berharap pada sesuatu yang tidak pasti sehingga Allah tetapkan ianya yang terbaik buat diri. Cukuplah, aku akan berhenti.. berhenti berharap..

Wednesday, March 21, 2012

Kita berjuang hingga syahid..

بسم الله الرحمن الرحيم 

Apabila diri telah biasa dilatih dengan kepayahan, keperitan dan cabaran dalam membawa misi Islam dan menyebarkan suasana biah solehah di kampus kecintaan, terasa kosong pula hati dan jiwa apabila fasa yang dilalui kini penuh ketenangan.. Lebih-lebih lagi setelah diumumkan tiadanya pilihanraya kampus untuk semester kali ini.. Ini bermakna tiadanya tentangan dari pihak lawan. Tiada sindiran kononnya kami berpura-pura membawa nama Islam. Semuanya tenang kembali. Bukannya nak kata diri sukakan kekecohan tetapi rasa lain apabila kali ini dapat membawa kesuburan cinta pada agama dengan aman. Subhanallah.. Indah walau sedikit kekok..

Ya, memang perlu menyesuaikan diri.. Kadang-kala ujian keamanan ini lebih melalaikan sesetengah dai'e itu. Kenapa perlu merendahkan semangat untuk membawa agenda dakwah Islam setelah dimaklumkan tiada pilihanraya kampus? Jika begitu jadinya, kita berjuang untuk apa sebenarnya? Adakah untuk kemenangan semata-mata dalam pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar itu? Semestinya tidak.. Ianya hanya merupakan satu wasilah untuk kita. Yang sebetulnya, kita berjuang untuk Islam. Tempoh kita berjuang adalah hingga syahid. Kata seorang sahabat saya walaupun saya tidak mendengarnya sendiri dari mulutnya. Kerana kefahamannya untuk membawa Islam lebih mendalam daripada saya, saya cukup yakin dia akan meneruskan langkahannya yang membawa manfaat untuk Islam. Dan juga kerana matlamat kami, MARDHATILLAH..

Wahai abnaul haraki, gunakanlah sebaiknya nikmat masa yang Allah beri ini. Bimbang kita akan menyesal di kemudian hari. Jangan pernah mengalah. Pasti terus! Untuk Islam, kita berjuang hingga SYAHID. Dan untuk tempoh masa ini, saya bertekad untuk memperkukuhkan muwasafat tarbiyah dalam diri saya. Kerana ibadah seorang pejuang perlu lebih gigih dari orang biasa. Jika tidak, malulah pada Allah.. Kita hanya tahu sembang kemas tanpa persediaan yang benar-benar rapi. Allahuakbar.. hina sungguh aku ini..

 

Thursday, March 8, 2012

Lamaran buat sang "muzzammil" yang ditolak..

Malam itu berlalu seperti malam-malam biasa. Namun, sedikit bezanya apabila hati ini cukup bersungguh untuk bertemu pemilik cintaku, Allah Ya Rahman Ya Rahim.. Ya, terlalu cukup bersungguh..

Dan sebelum merebahkan diri di pembaringan dan kain selimut ditarik rapi, kedua tapak tangan ditadah kemas dan hasratku diluahkan.. Ya Allah, moga malam ini aku dapat tidur seketika dan bangun untuk menghadapmu di sepertiga malam terakhir. Dan mataku mula terlelap mula meninggalkan alam nyata..

Maka bermulalah mimpiku.. mimpi yang tidak pernah dialami sebelum ini. Takjub.. Kaku.. Ya, mimpiku penuh diselubungi dengan alunan bacaan surah Muzzammil.. 


 yang bermaksud:

Wahai orang yang berselimut! Bangunlah di malam hari, kecuali sedikit.  Satu perduanya atau kurangilah daripadanya sedikit.  Atau lebih daripadanya. Dan bacalah al-Qur’an itu dengan perlahan-lahan.  Sesungguhnya Kami (Allah) akan menurunkan kepada engkau perkataan yang berat.  Sesungguhnya bangun di waktu malam adalah lebih mantap dan bacaan lebih berkesan.  Sesungguhnya bagi engkau pada siang hari, urusan yang panjang.  Sebutlah nama Rab (Tuhan) engkau, dan beribadahlah kepada-Nya (kepada Allah) dengan sebenar-benar ibadah.

Namun, dengan fikiran yang tidak mampu berjalan, jiwa yang kekosongan, akhirnya terasa diri tenggelam dalam keheningan malam. Tiba-tiba aku tersedar dari tidur.. rasa sungguh sekejap lelapku itu. Allahuakbar.. pukul 6.30 pagi.. lalu bergegas mengambil wudhu' untuk menunaikan solat subuh.. usai solat, aku termenung jauh mengingati perjalanan tidurku.. Dengan rasa yang cukup hiba kerana hasrat hati yang terlalu ingin berqiamullail malam itu telah lesap dengan terjaganya dari tidur yang boleh dikira sedikit lewat.

Dan aku cuba muhasabahkan diriku dan termenung jauh.. Ya, malam tadi aku telah bermimpi surah Muzzammil. Surah buat orang-orang yang berselimut agar bangkit menghadap Allah Azza Wajalla. Allah.. Allah.. Hinanya aku.. Tidakkah aku sedar bahawa itu adalah lamaran Allah buatku.. Ya, buat ku, orang yang berselimut. Namun aku tewas dengan keenakan tidur. Sungguh cukup malu di hadapan Allah. Aku telah meluahkan rasa cintaku, namun bila ALlah melamarku, aku hanya diam seribu.. Moga Engkau ampunkan dosaku Ya Allah dan memberi kesempatan waktu untukku bermunajat padaMU di sepertiga malam terakhir..

Dan pada malam itu, lamaran buat "Muzzammil" telah ditolak.. Maafkan ku Ya Allah..